Usahawan muda ini mahu teruskan legasi ayam percik ibunya, dari HBB kini buka restoran
SINGAPURA: Setelah diberhentikan kerja sebagai juruanalisis media sosial pada Oktober 2022, Muhammad Afiq Irwan tidak sekadar berpeluk tubuh.
Malah ia menjadi pembakar semangat buat pemuda berusia 30 tahun itu untuk melakukan sesuatu.
"Saya berasa keliru dan tidak tahu harus lakukan apa kerana pada waktu itu saya pun baru berkahwin," kongsi Encik Afiq kepada wartawan Haney Khairunnisa.
Ini yang mendorongnya untuk memberikan seluruh tumpuan kepada meneruskan perniagaan ibunya yang menjual ayam percik.
"Ibu saya memang sudah biasa berjualan Ayam Percik di pasar malam sejak tahun 1999 jadi kami putuskan untuk mulakan perniagaan Perghchicks pada tahun 2020.
"Apabila COVID-19 melanda rakyat Singapura tidak dibenarkan ke Malaysia jadi permintaan bagi Ayam Percik kami meningkat dan dapur kami tidak cukup untuk memenuhi permintaan pelanggan," kata Encik Afiq.
Ibunya cuba memenuhi permintaan dengan menyediakan hidangan dan berniaga dari rumah.
Ibunya kemudian membuka kedai di pusat penjaja di Blk 414 Jurong West pada Ogos 2020.
Namun menurut Encik Afiq, ia tidak menerima sambutan di gerai di Jurong West kerana di situ kebanyakannya merupakan penduduk lebih berumur.
"Orang tua memang sudah tahu dan gemar Ayam Percik tetapi misi saya adalah memelihara dan memperkenalkan makanan tradisional Melayu kepada generasi muda," kata Encik Afiq.
Memegang pada azam tersebut, Encik Afiq membuka kedai di Bali Lane untuk menarik lebih ramai anak muda untuk mencuba Ayam Percik.
"Di Bali Lane ada banyak kafe yang dikunjungi anak muda jadi kami berharap dapat menarik perhatian mereka," kata Encik Afiq.
Encik Afiq juga menggunakan wadah media sosial untuk mempromosikannya.
Ayam Percik yang dihidangkan bersama nasi mentega yang diwarnakan biru menggunakan bunga telang popular juga di kalangan yang bukan Melayu.
"Di Singapura kerana kami berbilang kaum, saya juga menerima pelanggan daripada bangsa yang bukan Melayu, mereka lebih terbuka untuk mencuba ayam percik," kongsi Encik Afiq kepada BERITA Mediacorp.
Encik Afiq berharap lebih ramai orang dapat mencuba ayam percik di Pergh!Chicks jika ingin tahu rasa Ayam Percik yang asli, menurut beliau.
Lebih banyak lagi kisah menarik tentang Encik Afiq boleh anda ikuti dalam siri "Makan Apa Tu?" di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.