Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usahawan muda boleh jadi inspirasi kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan: Dr Maliki

Menjadikan usahawan-usahawan sebagai sumber inspirasi bagi anak-anak muda daripada keluarga-keluarga berpendapatan rendah untuk berjaya dalam kehidupan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjadikan usahawan-usahawan sebagai sumber inspirasi bagi anak-anak muda daripada keluarga-keluarga berpendapatan rendah untuk berjaya dalam kehidupan mereka.

Demikian yang diharapkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Maliki Osman semasa menyerikan acara amal anjuran syarikat TAQ Wealth Associates (TAQWA) di Masjid Khalid pada Selasa (11 Apr).

Di bawah inisiatif tersebut, syarikat TAQWA mengumpul dana dan menghulurkan bantuan kepada seratus keluarga memerlukan di merata Singapura.

USAHASAMA ANTARA SYARIKAT-SYARIKAT BAGAI AUR DENGAN TEBING

Tahun ini merupakan kali pertama syarikat TAQWA menganjurkan acara amal kelolaannya sendiri.

Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, syarikat tersebut sering menyertai usahasama anjuran badan-badan lain untuk membantu golongan memerlukan pada bulan Ramadan.

Dalam inisiatif kali ini, sebanyak 100 keluarga dapat dibantu hasil kerjasama TAQWA dengan hampir 10 badan lain.

Ini termasuk syarikat Global Ehsan Relief, Maidex Employment, Satay Ummi, Your Reno Works, Agent Shahid & Associates, PADA Services dan EduDebt.

'

Pengerusi TAQWA, Encik Qayyim Isa berkata: “Kita suka sikap bergotong-royong. Dengan lebih ramai rakan kongsi, kita dapat mengumpul lebih banyak dana dan membantu lebih banyak orang pada bulan Ramadan ini.”

Bahkan Encik Qayyim mengatakan bahawa usaha syarikat beliau itu melebihi sekadar mengagihkan barangan keperluan sahaja.

“Pada masa yang sama, tugas kita sebagai perancangan kewangan, kita ingin memberi nasihat mengenai peri pentingnya membuat perancangan kewangan,” ujar Encik Qayyim.

Bagi menjayakan usaha tersebut, sekitar 50 relawan dan kakitangan dari badan-badan menyingsing lengan di Masjid Khalid untuk membungkus pek-pek agihan.

Setiap keluarga antaranya menerima kuih-muih dan snek untuk Hari Raya selain lauk-pauk segera yang boleh dijadikan juadah lebaran kelak.

'

Menurut pihak penganjur, setiap habuan untuk keluarga-keluarga kurang berkemampuan bernilai sekitar S$200.

USAHAWAN MUDA INSPIRASI KEPADA ANAK-ANAK DARIPADA KELUARGA KURANG BERKEMAMPUAN

Acara amal anjuran syarikat TAQWA turut diserikan lagi dengan kehadiran Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman.

Dr Maliki mengalu-alukan usaha syarikat-syarikat yang terlibat dalam acara amal itu untuk mendampingi keluarga-keluarga kurang berkemampuan.

"Saya lihat anak-anak muda, anak-anak kecil di bawah Projek DIAN dan sebagainya yang tinggal di flat-flat sewa, kalau mereka lihat usahawan-usahawan daripada TAQWA dan syarikat-syarikat lain, saya harap ia menjadi satu inspirasi kepada mereka, melihat bagaimana satu hari mereka juga boleh menjadi berjaya seperti usahawan-usahawan muda ini," kata Dr Maliki.

Dr Maliki terharu melihat banyak syarikat yang diterajui usahawan-usahawan muda tampil ke hadapan untuk bergabung tenaga dan sumber untuk membantu keluarga-keluarga memerlukan.

Dr Maliki berkata, "Ia menunjukkan satu isyarat positif kepada masyarakat kita bagaimana masyarakat muda prihatin akan keperluan masyarakat lain dan bagaimana mereka dapat terus menjadi lebih aktif."

"Saya harap ini merupakan satu langkah permulaan untuk mereka terus menyumbang kepada visi kami sebagai masyarakat cemerlang dan menggalak lebih ramai relawan muda seperti mereka untuk membantu keluarga memerlukan," tambah beliau lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan