Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usahawan buka kedai Epok-Epok 'raksasa', sediakan pekerjaan bagi ibu tunggal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selama sedekad, Encik Radin Amir, 54 tahun, yang mengendalikan perniagaan membuat adunan A+ Dough Man membantu ramai ibu dan bapa tunggal dengan menawarkan pekerjaan kepada mereka.

"Semakin saya berusia, saya mula muhasabah diri - tentang apa yang saya mahu ubah dalam hidup saya dan cara untuk membantu orang lain. Dahulu, ramai ibu atau bapa tunggal bekerja dengan saya, dari situ tercetus idea membangunkan perniagaan baru untuk memberikan mereka lebih banyak peluang untuk bekerja," Encik Amir memberitahu Mediacorp.

Baru-baru ini, beliau membuka kedai Epok Epok Nyé, iaitu sebuah kedai kecil menjual epok-epok di Arab Street. Kedai tersebut hanya menawarkan khidmat membawa pulang dan pelanggan tidak boleh duduk makan di sana.

Gambar: 8 Days
Encik Amir membelanjakan S$30,000 untuk menubuhkan kedai itu sebagai pemilik tunggal. Kedai itu dikendalikan oleh seorang kakitangannya, iaitu ibu tunggal Ruminah Karimon, 46 tahun dan empat orang anaknya yang berusia 16 hingga 26 tahun. Cik Ruminah juga mempunyai seorang anak perempuan yang berumur enam tahun.

"Saya sudah bekerja dengan Encik Amir (dalam perniagaan membuat adunan ini) sekitar lima tahun dan beliau seorang rakan baik dan mentor kepada saya dan anak-anak saya. Beliau mahukan kami maju dan mencadangkan untuk memulakan perniagaan ini kerana beliau tahu saya suka membuat epok epok," kongsi Cik Ruminah.

"Beliau membantu ibu atau bapa tunggal seperti saya dengan memberikan pekerjaan dan ramai orang yang bekerja dengan beliau di kedai adunan juga. Beliau mahu kami menjadi lebih berdikari dan tidak meminjam wang daripada orang lain. Apabila kami bekerja, kami timba kemahiran baru juga."

Selain daripada epok-epok, kedai itu juga menjual snek lain seperti roti boyan dan jagung kukus.

Encik Amir pernah mengusahakan kedai epok-epok dan menjual epok-epok bersaiz besar. Keputusan untuk membuka kedai epok-epok bukan sesuatu yang aneh. A+ Dough Man membekalkan adunan epok-epok kepada perniagaan-perniagaan yang lain dan Encik Amir sendiri juga menjual epok-epok.

Hampir 10 tahun lalu, beliau mengendalikan Khalsom Street Food di kedai kopi Sembawang dengan seorang rakan. Asalnya sebuah gerai nasi padang, ia kini menjadi popular disebabkan epok-epok 'raksasa' tersebut.

"Orang ramai makan epok-epok sebagai snek tetapi saya menganggapnya sebagai makanan ruji. Makanan sudah menjadi lebih mahal dan ramai orang hendak mengisi perut mereka, jadi kami membuat epok-epok lebih besar supaya meraka boleh menjadikan ia makanan segera," kongsi Encik Amir.

"Kedai Khalsom semakin berjaya jadi saya rasa sudah sampai masa saya tinggalkan perniagaan itu untuk mulakan perniagaan yang lain. Saya tidak menjual perniagaan itu kepada rakan kongsi saya atau mengambil sebarang wang kembali. Sama dengan Epok Epok Nyé, apabila pekerja di sini boleh jayakan kedai ini sendiri, saya akan meninggalkan mereka dan membuka perniagaan baru. Kami kendalikan perniagaan ini seperti perniagaan keluarga, saya hanya di sini untuk mengajar mereka. Harap-harap mereka dapat menggantikan saya," ujar beliau.

Epok Epok Nyé menawarkan lapan jenis epok-epok. Selain daripada epok-epok kentang, sardin dan sayur, terdapat perisa baru seperti carbonara, telur asin dan lada hitam. Harga bermula dari S$2 untuk epok-epok klasik seperti kentang hingga S$4 untuk carbonara.

Perisa popular merupakan sardin, kentang kari dan carbonara.

Inti dibuat sendiri menggunakan resipi Cik Ruminah dan kumpulannya, manakala adunan dibuat dari A+ Dough Man. Menurut Encik Amir, adunan dibuat daripada campuran tepung dan tepung roti dengan mentega,"jadi ia tidak terlalu lembab atau garing".

Walaupun Epok Epok Nyé hanya dibuka pada 23 Oktober, tular berita mengenai epok-epoknya yang besar dan lazat kemudian kedai itu melihat orang ramai beratur sebelum ia membuka bidai pada pukul 10.00 pagi.

“Kami menyediakan kira-kira 150 epok-epok sewaktu buka kedai dan ia akan laris terjual dalam masa 15 minit kerana sesetengah pelanggan membelinya dalam jumlah yang banyak,” kata Cik Sofiyah, anak perempuan Cik Ruminah.

“Kami tidak jangkakan sambutan yang hangat. Kami fikir kami boleh bekerja dengan perlahan pada mulanya, tetapi kami terima sambutan yang baik setiap hari. Epok-epok habis dijual pada pukul 3.00 petang pada hari pembukaan kami.”

Untuk memenuhi permintaan hangat, pasukan itu kini mengeluarkan "tiga kali ganda" jumlah epok-epok setiap hari, sekitar 1,000 epok-epok dengan jumlah terhad bagi perisa istimewa.
Sumber : 8 Days/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan