Skip to main content

Singapura

Usaha ubah budaya kerja supaya lebih mesra keluarga bukan mudah: Indranee

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha ubah budaya kerja supaya lebih mesra keluarga bukan mudah: Indranee

Selain sokongan kewangan, pemikiran dan norma tempat kerja adalah antara bidang yang dipertimbangkan ketika Singapura berusaha untuk menjadi lebih mesra keluarga. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 25 Aug 2026 06:48PM
  • Pemerintah Singapura, diketuai oleh Indranee Rajah dan Lawrence Wong, mengumumkan langkah baru untuk menyokong ibu bapa bekerja dan golongan bujang.
  • Antara inisiatif ialah cuti penjagaan anak lebih panjang, yuran prasekolah lebih rendah, serta kenaikan siling pendapatan HDB untuk bujang.
  • Perubahan norma tempat kerja dan aturan kerja fleksibel sedang dikaji bagi memastikan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.
  • Semakan menyeluruh dasar perkahwinan dan keibubapaan, termasuk isu kesuburan dan tekanan pendidikan, dijangka siap awal 2027.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mengubah sikap dan amalan di tempat kerja terhadap ibu bapa bekerja akan menjadi anak kunci kepada usaha Singapura untuk menjadikan negara ini lebih mesra keluarga, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah pada Isnin (24 Ogos).

Beliau berkata demikian kepada Mediacorp sehari selepas pelbagai langkah untuk menyokong ibu bapa diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Walaupun langkah-langkah terbaharu menangani kebimbangan berkaitan kewangan, perumahan dan penjagaan, pemerintah turut meneroka bagaimana norma tempat kerja boleh diubah supaya rakyat Singapura berasa mereka boleh mempunyai anak tanpa mengorbankan kerjaya, kata Cik Indranee.

Sumber-sumber kewangan berada dalam kawalan pemerintah, tetapi “bahagian yang jauh lebih sukar ialah mengubah pemikiran dan sikap”, kata Cik Indranee, yang mengetuai Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD).

“Justeru, norma, budaya dan amalan di tempat kerja adalah antara bidang yang sedang kita teliti,” katanya.

Usaha itu sebahagian daripada kajian lebih menyeluruh oleh Kumpulan Kerja Penetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan, yang dijangka mengeluarkan laporan penuh pada awal 2027.

LANGKAH-LANGKAH BERTUJUAN MEYAKINKAN RAKYAT SINGAPURA

Cik Indranee menyifatkan langkah-langkah yang diumumkan PM Wong pada Ahad (23 Ogos) sebagai “gelombang pertama” semakan semula tersebut.

Antaranya ialah cuti penjagaan anak yang lebih panjang, yuran prasekolah lebih rendah serta sokongan kewangan lebih besar untuk keluarga apabila anak-anak membesar.

“Dalam satu ayat, saya akan katakan bahawa pelbagai langkah ini bertujuan memberikan rakyat Singapura lebih keyakinan dan jaminan lebih besar dalam perjalanan perkahwinan dan keibubapaan mereka,” kata Cik Indranee.

Di bawah perubahan yang diumumkan itu, setiap ibu atau bapa akan mendapat lapan hari cuti penjagaan anak setahun jika mempunyai seorang anak, 10 hari jika mempunyai dua anak dan 12 hari jika mempunyai tiga anak atau lebih.

Cuti itu meliputi anak warga Singapura berusia 12 tahun dan ke bawah, dengan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan kemudian.

Cik Indranee mengakui pemberian cuti tambahan kepada ibu bapa menimbulkan cabaran praktikal bagi majikan.

Tiada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua sektor ekonomi, katanya, kerana setiap industri mempunyai keperluan tenaga kerja dan operasi yang berbeza.

Pihak syarikat boleh menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong pekerja, mereka bentuk semula pekerjaan supaya tanggungjawab lebih mudah dibahagikan apabila seseorang bercuti, atau mewujudkan kumpulan pekerja sementara yang boleh mengambil alih apabila diperlukan.

Aturan kerja fleksibel juga boleh melangkaui bekerja dari rumah, kata Cik Indranee.

“Masa yang dihabiskan di luar tempat kerja bermakna daya penghasilan akan terjejas melainkan ada orang lain yang mengambil alih,” katanya.

“Maka itu, kita perlu mereka bentuk tempat kerja dengan cara yang membolehkan seseorang mengambil cuti, namun kerja mereka tetap dapat dilaksanakan.”

Cik Indranee berkata majikan dan pekerja perlu bekerjasama dalam aturan yang mengimbangi tuntutan tempat kerja dengan keperluan pekerja.

BUJANG, SOKONGAN KESUBURAN JUGA SEBAHAGIAN DARIPADA SEMAKAN

Cik Indranee juga menyentuh tentang kebimbangan daripada golongan bujang dan pasangan berkahwin tanpa anak mengenai pengumuman Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Beliau mengulangi apa yang Encik Wong katakan bahawa golongan bujang tidak dilupakan, sambil menambah bahawa pemerintah sedang melihat apa lagi yang boleh dilakukan untuk mereka, terutamanya dalam sektor perumahan.

Sebagai contoh, siling pendapatan untuk pembeli rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi golongan bujang yang layak berumur 35 tahun ke atas telah dinaikkan daripada S$7,000 kepada S$8,000 pada hari Isnin, membolehkan lebih ramai golongan bujang layak mendapat perumahan bersubsidi.

Perbincangan dengan golongan bujang juga mendapati bahawa ramai yang mahukan lebih banyak peluang untuk bertemu orang lain dan menjalin hubungan, katanya, sambil menambah bahawa kerja dan komitmen lain sering menyebabkan mereka mempunyai sedikit masa untuk meluaskan lingkungan sosial mereka.

Pemerintah akan mempertimbangkan bagaimana masyarakat boleh mewujudkan lebih banyak peluang untuk "aktiviti bermakna dan interaksi secara bermakna", kata Cik Indranee.

Sokongan untuk mereka yang menghadapi masalah kesuburan adalah satu lagi bidang yang sedang dikaji sebagai sebahagian daripada semakan perkahwinan dan keibubapaan.

Cik Indranee berkata semakan itu juga akan melihat pendidikan, daya saing dan tekanan.

Matlamatnya adalah supaya ibu bapa tidak melihat pendidikan sebagai semestinya menekan, dan supaya ibu bapa dan anak-anak dapat melalui sistem pendidikan "dengan ketenangan yang munasabah", tambahnya.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita