Skip to main content

Singapura

Usaha tingkatkan kesedaran terhadap barah pangkal rahim diperluas, libatkan masjid, kumpulan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat Melayu/Islam tentang barah pangkal rahim akan terus diperkukuh dan dipergiatkan.

Ini ekoran kemerosotan dalam jumlah wanita Singapura yang menjalani ujian saringan barah pangkal rahim.

Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2024, hanya sekitar 44.9 peratus wanita Singapura berusia 25 hingga 74 tahun menjalani ujian saringan tersebut, berbanding 48.2 peratus yang dicatatkan pada 2019.

Ini meskipun barah pangkal rahim merupakan antara 10 barah yang paling lazim dideritai, dan bahkan, merupakan punca kematian kelapan paling tinggi bagi wanita di Singapura.

Bagi wanita Melayu, kadarnya 32.9 peratus, paling rendah berbanding kaum lain - Cina (47.2 peratus), India (41.6 peratus) tahun lalu.

"Kita maklum bahawa jumlah yang menjalani saringan (dalam kalangan masyarakat kita) adalah kurang sedikit berbanding dengan masyarakat lain," jelas Menteri Negara Kesihatan, Rahayu Mahzam kepada wartawan Syazwani Sanep.
 
Menteri Negara Kesihatan, Rahayu Mahzam berucap di satu acara Kesihatan Wanita yang dianjurkan bersama M³@Jurong dan M³@Chua Chu Kang pada Sabtu (6 Dis). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Ini menunjukkan adanya kepentingan untuk memberi kesedaran dan juga memastikan yang wanita yang kita pergi untuk mendapatkan saringan dengan lebih awal kerana kalau tidak apa yang kita dapati adalah mereka yang mendapat tahu tentang keadaan mereka mungkin terlambat sedikit,” tambah Cik Rahayu yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Jurong East-Bukit Batok.

Beliau ditemui para wartawan di luar satu acara Kesihatan Wanita yang dianjurkan bersama M³@Jurong dan M³@Chua Chu Kang.

Inisiatif sedemikian merupakan antara usaha untuk meningkatkan lagi pelibatan masyarakat dalam usaha mencegah barah pangkal rahim.

Cik Rahayu turut berkongsi adanya rancangan untuk memperluaskan usaha tersebut dengan melibatkan lebih banyak masjid dan kumpulan masyarakat di daerah barat negara.

PESERTA DAPAT UJIAN KENDIRI HPV PERCUMA

Di acara itu, warga tempatan atau penduduk tetap wanita berusia 30 hingga 69 tahun yang layak, ditawarkan ujian kendiri papilomavirus manusia (HPV) secara percuma.

HPV merupakan antara punca utama bagi barah pangkal rahim.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memudahkan akses kepada saringan barah pangkal rahim di bawah satu kajian yang dinamakan HPV Simple.

Kajian yang bermula sejak Mac tahun ini digerakkan oleh Tindakan Aktif Terhadap Papilomavirus Manusia (A4HPV) dengan kerjasama Persatuan Kolposkopi & Patologi Pangkal Rahim Singapura (SCCPS) dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Inisiatif pengagihan kit ujian kendiri itu juga sejajar dengan garis panduan saringan barah pangkal rahim yang diterbitkan SCCPS pada Mac tahun ini.

Ujian kendiri HPV itu dikatakan sebagai salah satu pilihan sesuai bagi saringan saringan barah pangkal rahim, di samping ‘Pap Smear’ dan ujian HPV dengan sampel yang diambil oleh pakar klinikal. 

Para hadirin juga dapat penjelasan lanjut dan nasihat daripada para pakar jemputan termasuk Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Athena Women’s Specialist, Dr Ida Ismail Pratt.
Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Athena Women’s Specialist, Dr Ida Ismail Pratt (tengah) antara yang sempat berkongsi kepada para peserta penjelasan lanjut dan nasihat berhubung pencegahan terhadap barah pangkal rahim. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Untuk wanita-wanita yang merasakan cara saringan tradisi menggunakan ‘Pap Smear’ kadang-kadang memalukan dan kadang-kadang boleh rasa tak selesa. Jadi, salah satu kaedah alternatif ialah menggunakan saringan sendiri HPV Simple ini," jelas Dr Ida.

"Matlamat kita adalah untuk memberikan akses kepada wanita yang mungkin merasa malu untuk pergi berjumpa dengan doktor," tambah Dr Ida yang juga merupakan Presiden SCCPS.
Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Athena Women’s Specialist, Dr Ida Ismail Pratt ditemui wartawan Syazwani Sanep di luar satu acara Kesihatan Wanita yang dianjurkan bersama M³@Jurong dan M³@Chua Chu Kang. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Setakat ini, sebanyak 200 kit ujian kendiri telah diagihkan di bawah kajian berkenaan.

Kajian tersebut menyasarkan untuk memperolehi 1,000 ujian kendiri secara keseluruhan.

PERANAN KAUM ADAM SOKONG WANITA CEGAH BARAH PANGKAL RAHIM

Dalam usaha mencegah barah pangkal rahim, kaum Adam turut memainkan peranan penting.

Peranan ini bukan sahaja merangkumi sokongan moral kepada wanita untuk menjalani saringan secara berkala tetapi juga langkah pencegahan yang boleh diambil oleh kaum lelaki sendiri.

Selain golongan wanita, lelaki juga boleh mendapatkan vaksin HPV untuk mencegah jangkitan.

"Kita tahu bahawa barah pangkal rahim ada vaksin untuk mencegah jangkitan daripada virus HPV yang menyebabkan barah pangkal rahim. Jadi, kaum Adam juga boleh mendapatkan vaksin HPV itu dan juga menyokong kaum wanita dan mereka juga untuk mendapatkan HPV vaksin," jelas Dr Ida.

Di Singapura, vaksin HPV telah ditawarkan kepada kaum Adam dan budak lelaki sejak 2020 sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan penularan HPV dan risiko barah berkaitan virus tersebut.

Anggota Parlimen Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim turut hadir untuk memberi perangsang dan galakan buat kaum lelaki dalam usaha melawan HPV.
Anggota Parlimen Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim turut menyertai dalam kegiatan Zumba, bersama para peserta. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Menjaga kesihatan bukan tugas individu. Ia adalah tanggungjawab bersama. Saya berharap lebih ramai lelaki akan menggalakkan ibu, isteri, anak perempuan, anak saudara perempuan dan rakan-rakan mereka untuk menjalani penjagaan pencegahan berkala dan bagi yang lebih muda, vaksinasi HPV. Apabila keluarga dan masyarakat berdiri bersama, kita melindungi satu sama lain," kata Encik Zhulkarnain.

DAPAT NIKMATI KEGIATAN KESIHATAN LAIN

Lebih 80 peserta menghadiri acara pada Sabtu (6 Dis) yang turut menyajikan kegiatan zumba yang disertai oleh Encik Zhulkarnain dan Cik Rahayu.

Para peserta juga berpeluang menimba ilmu dalam ceramah kesihatan, yang menampilkan Dr Ida sebagai antara barisan panel.

Salah seorang peserta, Cik Rosidah Abu, berkongsi bagaimana acara itu menyedarkannya betapa mudah untuk mengambil langkah pertama dalam mengesan awal barah pangkal rahim.
 
Cik Rosidah Abu, salah seorang peserta yang hadir di acara pada Sabtu itu (6 Dis). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Hari ini saya dapat tahu bahawa kita boleh melakukan ujian itu sendiri dan sampelnya akan dihantar ke makmal. Kemudian, kita akan menerima keputusan mengenai keadaan kesihatan rahim kita. Barah ini sebenarnya pembunuh senyap. Kita selalu tidak ambil peduli kerana sebagai ibu dan nenek, kita sering sibuk dan kurang memberi perhatian kepada kesihatan diri sendiri," luah Cik Rosidah.

Sebelum ini, M³@Chua Chu Kang dan M³@Jurong juga bekerjasama untuk menganjurkan acara kesihatan bagi kaum Adam.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita