Usaha tingkatkan kesedaran tentang dadah ada kemajuan dengan sokongan masyarakat: Dr Faishal
- Dr Faishal Ibrahim memuji kemajuan usaha kesedaran bahaya dadah hasil kerjasama kumpulan masyarakat dan pendekatan pelbagai generasi di Singapura.
- Kem Solat, hasil kerjasama The Kampung Bridge, Masjid Omar Salmah dan CNB, memberi bimbingan agama kepada kanak-kanak termasuk anak bekas pesalah.
- Program tiga hari sempena cuti sekolah ini diadakan di Masjid Omar Salmah dan menarik lebih 32 peserta, meningkat 20% berbanding tahun lalu.
- Firdaus Abdul Hamid dan sukarelawan menekankan pentingnya nilai agama dan sokongan masyarakat dalam membina masa depan belia.
Ini selain pendekatan yang pelbagai dan jangkauan yang lebih luas merangkumi pelbagai generasi termasuk kanak-kanak.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri berkongsi pemerhatiannya itu di luar acara Dadah Itu Haram oleh Biro Narkotik Pusat (CNB).
Pendekatan yang diambil juga kini lebih pelbagai termasuk menganjurkan kegiatan yang lebih santai untuk dekati pelbagai lapisan masyarakat seperti yang diadakan di HomeTeamNS Bedok Reservoir pagi tadi (6 Jun).
Ia menghimpunkan para peserta cilik Kem Solat dan kumpulan-kumpulan peminat motosikal.
Kem Solat merupakan hasil kerjasama antara 'The Kampung Bridge', Masjid Omar Salmah dan Biro Narkotik Pusat (CNB).
Tujuan utamanya ialah untuk memberi bimbingan agama seperti solat dan tazkirah kepada anak-anak bekas pesalah.
Sebelum ini, kem itu dianjurkan khusus buat anak-anak bekas pesalah namun tahun ini, ia dibuka kepada kanak-kanak lain juga.
"Kumpulan-kumpulan masyarakat, mereka berganding bahu untuk mengadakan acara bukan sahaja untuk dalam pendedahan mereka dari segi kesedaran dadah itu haram tetapi mengaitkan dengan unsur-unsur positif seperti Kem Solat ini," kata Dr Faishal.
"Ia juga membangunkan wadah-wadah untuk mempertingkatkan kesedaran, keupayaan dari segi keagamaan kita, rohani dan juga bagaimana kita boleh membangunkan golongan belia," tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, perkembangan tersebut mencerminkan kemajuan dalam usaha menangani isu-isu sosial sambil menyediakan ruang pembangunan menyeluruh kepada golongan belia, merangkumi aspek pendidikan, keagamaan dan kesedaran terhadap faktor-faktor yang boleh menjejas masa depan mereka.
'KEM SOLAT' WADAH PERKUKUH NILAI KEAGAMAAN DAN PEMBANGUNAN PESERTA
Sempena cuti sekolah ini, Kem Solat kembali diadakan buat kali kelima.
Program sepanjang tiga hari (4-7 Jun) itu memberi bimbingan agama seperti solat melalui sesi-sesi praktikal dan takzirah di Masjid Omar Salmah.
Pengasas bersama The Kampung Bridge, Firdaus Abdul Hamid berharap Kem Solat dapat meninggalkan kesan positif dalam diri peserta kanak-kanak.
"Saya memang teringin untuk berkongsi ilmu dan nilai-nilai ini dengan mereka. Tadi, kebanyakan peserta terdiri daripada (anak) bekas banduan, namun ramai juga yang sudah mempunyai pengetahuan asas tentang solat," kata Encik Firdaus.
"Saya juga berharap mereka membawa nilai-nilai ini pulang ke rumah. Ada dalam kalangan ibu bapa yang mungkin tidak menunaikan solat atau tidak tahu cara menunaikan solat. Apabila mereka melihat anak-anak mereka bersolat, mungkin ia dapat memberi dorongan kepada mereka untuk mencuba," tambahnya lagi.
"Walaupun ada nakalnya, mereka sangat bersemangat untuk mempelajari dan memahirkan diri mereka. Dalam kem ini, kami mengajar mereka tentang solat, doa, zikir dan pelbagai perkara lain," kata Haziq.
"Setelah meluangkan masa saya bersama mereka pada dua hari ini, saya rasa bahawa jika bukan kami yang dapat membantu mereka, siapa lagi yang di dalam masyarakat ini yang akan membantu mereka," tambahnya lagi.
Beliau menambah bahawa pengalaman meluangkan masa bersama para peserta sepanjang program itu mengukuhkan keyakinannya tentang pentingnya sokongan masyarakat terhadap golongan tersebut.
Seramai 32 belia telah menghadiri Kem Solat tersebut, termasuk anak-anak bekas pesalah.
Tahun ini, jumlah peserta meningkat lebih 20% berbanding tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.