Skip to main content

Singapura

Usaha tangani perubahan iklim perlu perancangan jangka panjang, huraian berbilang fungsi: Zaqy

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Sep 2025 06:26PM Dikemas Kini : 04 Oct 2025 02:38PM
Huraian-huraian bagi perubahan iklim haruslah praktikal dan mempunyai berbilang fungsi sesuai dengan keperluan negara.

Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad mengulas lebih lanjut tentang isi ucapan beliau di Parlimen yang disampaikannya pada 22 September lalu.

Ia merupakan ucapan pertama yang beliau sampaikan berkenaan hal itu selaku Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran sejak menyandang jawatan tersebut pada Mei lalu.

Tidak seperti kebanyakan negara lain, Singapura lebih kecil dan memerlukan huraian yang praktikal seperti Bendungan Marina.

Selain berfungsi menjadi huraian bagi masalah banjir dan menjadi tempat takungan air, ia juga menawarkan tempat untuk melakukan kegiatan riadah serta menjadi kawasan pejabat.

Pendekatan ini dapat meningkatkan nilai huraian tersebut.

"Di merata dunia, kita melihat bagaimana mereka membuat adaptasi seperti benteng pesisiran tetapi di sini, kita mempunyai konsep yang berlainan di mana kita cuba meningkatkan nilai dan melakukan inovasi dan di Bendungan Marina misalnya, kita bukan saja membuat benteng tetapi kita juga membuat satu takungan air. Kita dapat menggunakan airnya untuk kita minum dan menggunakannya seharian," jelas Encik Zaqy.

"Pada masa kita melindungi kawasan pantai di Marina supaya kita dapat juga membangunkan pejabat, tempat rekreasi dan sebagainya tapi tempat itu juga hari ini menjadi ikon di mana kita mempunyai keluarga kita gunakannya sebagai tempat rekreasi dan sebagainya," tambahnya.

Projek baharu yang akan datang bagi huraian-huraian ini turut diberi pertimbangan yang serupa.
Related article image
Gambar fail Taman East Coast. (Gambar: Jeremy Long)
"Di sini kita melihat projek-projek yang akan datang, misalnya tanah tambak (polder) yang baharu di Pulau Tekong. Ia memberi bukan saja perlindungan kepada Pulau Tekong tetapi juga menjadi benteng air, tempat takungan air serta meluaskan kawasan bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk berlatih," kata Encik Zaqy

"Jika kita lihat pada projek Benteng East Coast pula, oleh kerana projek Long Island ini akan mengambil beberapa dekad, jika kita tidak bertindak sekarang, kawasan East Coast mungkin ditenggelami air pada masa yang akan datang. Dari itu, Projek Long Island ini akan membantu kita bukan sahaja sebagai benteng pesisiran dan tempat takungan air, ia juga akan dijadikan sebagai kawasan perumahan awam serta kawasan rekreasi," tambah Encik Zaqy Lagi.

KERJASAMA GLOBAL YANG MAKIN MELEMAH, SINGAPURA KEKAL KOMITED

Usaha menangani perubahan iklim ini juga kata Encik Zaqy memerlukan iltizam politik kerana ia boleh menjejas seluruh negara jika tidak ditangani dari awal.

Sebelum ini, pemerintah misalnya telah mengumumkan peruntukan $100 bilion bagi perlindungan pesisir pantai.

Di peringkat antarabangsa, ia lebih sukar kini kerana kerjasama antarabangsa makin melemah dengan beberapa negara kurang mengutamakan hal itu, malah ada juga yang menolaknya.

Walau bagaimanapun, pemerintah kekal komited.

"Bagi kami, ia memang penting supaya kita teruskan usaha ini walaupun kita hanya membuat pengeluaran sebanyak 0.1%. Ia juga penting kerana ia memberi keyakinan kepada masyarakat, syarikat dan industri di mana kita, sebagai satu negara yang mementingkan masa depan rendah karbon, juga mahu mempunyai efisiensi lebih tinggi bagi penggunaan tenaga, dan di sinilah kita dapat teruskan ekonomi kita dengan lancar dan lebih produktif kerana kita mempunyai produktiviti dan efisiensi kepada penggunaan tenaga," kata Encik Zaqy.

"Ini juga penting supaya Singapura teruskan komitmen kami untuk menjadi satu negara yang menggunakan karbon yang lebih rendah jika dibandingkan lain kerana ia juga meningkatkan daya tahan kami," tambahnya lagi.

Perancangan awal juga penting meskipun hasil atau impaknya belum dapat dirasakan.

"Jika kita tak melakukan apa apa hari ini, kita akan lihat apa yang akan jadi pada tahun 2100. Oleh kerana paras laut yang sedang meningkat, kita akan melihat bahawa hampir 30% daripada Singapura akan ditenggelami air," kata Encik Zaqy.

"Kita juga melihat di negara lain di mana mereka sudah dilanda banjir dan sebagainya. Oleh kerana ini satu isu yang melanda beberapa negara, mereka tetap mungkin tidak mempunyai pelan ataupun mereka telah menunggu hingga saat terakhir sebelum melakukan sesuatu. Bagi Singapura, kita masih mempunyai masa tapi jika kita tidak melakukan perubahan pada hari ini, kita akan melihat impak dalam 10, 20, 30 tahun akan datang," tambahnya lagi.
Related article image
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan bekalan makanan tidak terganggu dan mencapai sasaran 30 peratus makanan dihasilkan dalam negara sebelum 2030. (Gambar: SFA)
"Kita telah meningkatkan lagi penghasilan telur di Singapura yang hari ini kita mempunyai hasil sepertiga daripada daripada ladang tempatan jika dibandingkan dengan dulu," kata Encik Zaqy.

"Jadi hari ini, kita juga mempunyai import daripada 187 negara dan saya rasa ini penting di mana bukan sahaja telur tetapi ayam, daging dan sebagainya dan juga sayuran amat penting di mana kita teruskan kepelbagaian untuk kita membuat import dengan produktif," tambahnya lagi.

Ini lebih genting lagi apabila dunia bekalan makanan terjejas sewaktu COVID-19.

GUNAKAN PENGALAMAN UNTUK SAMA-SAMA TERAJUI MSE

Bagi Encik Zaqy sendiri, beliau akan menggunakan pengalamannya sebelum ini untuk sama-sama menerajui MSE.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat dalam kementerian Pembangunan Negara, Tenaga Manusia dan Pertahanan.

Ini merupakan kali pertama beliau menyertai MSE.

Meskipun baru memegang portfolio ini, Encik Zaqy menyatakan bahawa isu pertahanan negara, khususnya dalam aspek penghasilan makanan dan penyesuaian terhadap perubahan iklim, adalah sesuatu yang amat penting dan tidak asing baginya.
Related article image
Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad, menegaskan bahawa ia bukanlah tanggungjawab pemerintahsemata-mata. Sebaliknya, inisiatif daripada rakyat juga memainkan peranan penting.
Beliau menekankan bahawa apabila Singapura berdepan cabaran perubahan iklim, negara perlu meningkatkan daya tahan dalam pelbagai sektor.

Ini termasuk pengurusan banjir, penggunaan tenaga secara cekap serta keupayaan masyarakat untuk bersama-sama menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

“Bagi saya ia tidak begitu bezalah dengan Pertahanan Mutlak kerana kita mempunyai banyak persamaan dan kita juga melihat daya tahanan industri seperti industri pemakanan, air dan sebagainya. Saya rasa ini semua amat penting bagi Singapura dan masa depan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ia bukanlah tanggungjawab pemerintah semata-mata.

Sebaliknya, inisiatif daripada rakyat juga memainkan peranan penting.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita