Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha tangani fahaman radikal perlukan perancangan pendidikan, sosio-ekonomi cermat

Ideologi radikalisme boleh dikaitkan dengan fahaman monolitik yang dipegang sesetengah pihak tentang agama.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ideologi radikalisme boleh dikaitkan dengan fahaman monolitik yang dipegang sesetengah pihak tentang agama.

Ini kerana fahaman monolitik menolak kepelbagaian dalam pandangan mengenai agama.

Ia antara isu yang mendapat perhatian dalam satu bengkel mengenai perkembangan Islam di Asia Tenggara anjuran ISEAS-Institut Yusof Ishak hari ini (16 November).

Dalam ucapan utama beliau di bengkel yang diadakan itu, pengarah eksekutif sebuah pusat penyelidikan Amiriah Arab Bersatu, Kalam Research & Media, Encik Sohail Nakhooda berkata bahawa usaha menangani fahaman radikal memerlukan perancangan pendidikan dan sosio-ekonomi yang cermat buat jangka masa panjang.

Beliau menegaskan bahawa pemahaman tidak kira apa sahaja mazhabnya, tidak patut menghambat kerencaman dan keragaman budaya setempat tetapi sebaliknya memperkayakannya.

Antara isu lain yang dibincangkan di bengkel ini termasuk pengaruh Timur Tengah dalam aspek siasah, undang-undang serta pendidikan khususnya di Singapura, Indonesia dan Malaysia.

Selepas pedagang Arab, pengaruh dari Timur Tengah terus dibawa masuk ke rantau ini menerusi para siswazah tempatan yang menuntut di universiti-universiti seperti di Mesir dan Arab Saudi.

Dengan kemajuan teknologi kini, aliran ilmu dan pemikiran dari sana ke sini menjadi lebih mudah dan meluas menerusi wadah seperti media sosial.

Namun, dalam kita meraikan kerencaman pemikiran dan fahaman dari Timur Tengah, pihak panel bengkel hari ini mengingatkan perlunya agar masyarakat berhati-hati dalam menilainya.

Para pensyarah yang diundang, rata-rata bersetuju bahawa masyarakat perlu mengkaji pemikiran dan fahaman itu secara menyeluruh serta menilai sejauh mana kesesuaiannya dengan konteks sejarah dan sosio-budaya masyarakat itu sebelum ia diterima dan diamalkan dalam kehidupan beragama setempat.

"Jika kita melihat pengaruh Timur Tengah itu pelbagai dan kita melihat pengaruh Sufi, Salafi dan Ikhwanul Muslimin dan banyak sekali dinamika-dinamika yang berlaku di Timur Tengah itu sendiri dimainkan juga di rantau ini," jelas Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

Beliau juga berpendapat kita tidak boleh mengkhususkan satu bentuk pengaruh sahaja dari Timur Tengah kerana sifatnya yang amat pelbagai.

Sumber : BERITA Mediacorp/ag

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa