Usaha silang agama 'Project Hallow' agih habuan makanan kepada lebih 300 keluarga
BERITAmediacorp: Seramai 400 sukarelawan berbilang kaum dan agama menggembleng tenaga sepanjang cuti panjang hujung minggu ini untuk menyediakan bungkusan barangan dapur dan menghantarnya kepada lebih 300 keluarga memerlukan pada Ahad (17 Apr).

Ini merupakan sebahagian daripada 'Project Hallow', satu kerjasama berbilang etnik dan agama yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan kewangan dan sokongan sosial.
Setiap keluarga menerima kotak barangan bernilai S$150 berisi makanan kering dan minuman serta baucar pasar raya NTUC.

Bagi mengelakkan pembaziran, habuan-habuan tersebut disesuaikan mengikut keperluan dan citarasa keluarga itu sendiri.
Inisiatif yang masuk tahun ketiga itu juga mencatat jumlah penerima terbanyak tahun ini iaitu sebanyak 300 keluarga, berbanding 200 sebelum ini.

Dianjurkan Humanity Matters, ia bertujuan untuk mengumpul sukarelawan dan syarikat daripada pelbagai kaum dan agama untuk menyediakan keperluan asas bagi keluarga yang memerlukan tidak kira latar belakang.
Ia lazimnya diadakan pada suku kedua setiap tahun dan pada tahun ini bulan April dipilih kerana bertepatan dengan sambutan keagamaan seperti Ramadan, Good Friday, Qing Ming dan dan Chitra Pournami.
Justeru, keluarga-keluarga penerima bantuan yang terpilih juga datang dari pelbagai latar belakang kaum dan agama.

"Sebenarnya kami tidak terfikir sama ada ia untuk sesuatu agama atau kumpulan etnik tapi kami rasakan Ramadan adalah masa yang baik kerana rakan-rakan Muslim kita berpuasa di siang hari dan selepas terbenamnya matahari, mereka ada sesuatu untuk makan.
"Saya rasa ini adalah semangat Singapura. Kita cuba untuk tidak melihat perbezaan sesama kita. Kita fikirkan sesuatu yang baik untuk kita lakukan, kita mulakan dan teruskan," kata Pengerusi Humanity Matters, Encik Ong Keng Yong.
SUMBANGAN MAKANAN BANTU RINGANKAN PERBELANJAAN SEHARIAN
Salah seorang penerima yang pertama kali menerima bantuan menerusi projek itu adalah keluarga Cik Sarina Siregar Yusop.
Selepas beliau dan suami diberhentikan kerja, mereka teruskan usaha mencari rezeki dengan berniaga dari rumah demi menyara anaknya yang menghidap sejenis penyakit tulang rapuh dan ibunya yang menghidap demensia.

Bagi Cik Sarina, pemberian habuan itu disifatkan sebagai rezeki beliau sekeluarga di bulan Ramadan.
"Saya amat berterima kasih atas pemberian habuan ini kerana paling tidak ia dapat meringankan perbelanjaan harian kami (sekeluarga)," kata Cik Sarina, dengan rasa syukur.
BERITAMEDIACORP SOKONG USAHA PROJECT HALLOW UNTUK SEBARKAN MESEJ MESRA ALAM
Antara barang yang juga disertakan di dalam kotak habuan tersebut adalah bekas makanan guna semula BERITAmediacorp, sebagai tanda sokongan kepada usaha itu.
Ia merupakan inisiatif untuk memupuk tabiat mencintai alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Para penerima seperti Cik Sarina dan anaknya, Tamimi Syawaludin Pohan teruja untuk mendakapi tabiat mesra alam itu.
"Saya akan menggunakan bekas ini untuk membawa pergi sekolah dan untuk membawa makanan seharian saya," kata Tamimi, 16 tahun.
Menurut Ketua Editor Berita & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Sujadi Siswo, kerjasama dengan badan-badan akar umbi dalam usaha murni seperti 'Project Hallows' itu memudahkan lagi penyebaran mesej menjaga alam sekitar dengan lebih berkesan lagi.
Di samping itu juga, keluarga-keluarga penerima bantuan itu tidak perlu memikirkan untuk membeli bekas-bekas makanan guna semula yang mungkin agak mahal.

"Dengan ini kita berharap bila mereka keluar membeli makanan di pusat penjaja ataupun membawa makanan ke tempat kerja, ke sekolah untuk anak-anak, menggunakan bekas-bekas seperti ini. Jadi mereka diberi kesedaran awal bahawa jangan menggunakan banyak plastik untuk memelihara alam sekitar," kata Encik Sujadi.
Selain BERITAmediacorp, insiatif 'Project Hallow' turut disokong pertubuhan seperti The Kampong Bridge, Yayasan Ng Kim Suan, Persatuan Peguam-peguam Muslim, Kuil Di Zang Lin, The Singapore Hindu Sabai dan Khidmat Kanak-kanak dan Masyarakat Cannossaville.
Di atas sokongan padu itu juga, inisiatif tahun ini mempunyai jumlah keluarga tertinggi yang dibantu berbanding hanya 200 keluarga buat dua tahun lepas.

Lantaran itu, Encik Ong berkongsi harapan agar lebih banyak lagi sokongan dapat diraih supaya bantuan dapat dipergiatkan.
"Pengalaman dua tahun lalu menunjukkan respons yang positif terhadap inisiatif ini. Tahun ini, kami berjaya mendapatkan lebih ramai untuk menyokong kami dari segi menyediakan bekalan yang diperlukan untuk keluarga-keluarga kurang bernasib baik.
"Jadi sudah tentu pada masa akan datang, kami mahu buat yang lebih besar lagi dari sekarang," tambah Encik Ong.
Project Hallow mula dianjurkan pada April 2020, sewaktu awal pandemik COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.