Skip to main content

Singapura

Usaha SG pikat bakat pelaburan global berdepan ujian lebih besar: Mampukah warga tempatan raih jawatan kanan?

Kejayaan usaha Singapura memikat karyawan pelaburan terkemuka dari seluruh dunia, pada akhirnya mungkin akan dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah pekerjaan yang diwujudkan, menurut para pemerhati.

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha SG pikat bakat pelaburan global berdepan ujian lebih besar: Mampukah warga tempatan raih jawatan kanan?

Para pekerja pejabat berjalan di kawasan Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Singapura. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 07 Sep 2026 03:16PM
  • Pemerhati industri menekankan bahawa kejayaan Singapura menarik bakat pelaburan global harus diukur melalui kemajuan kerjaya warga tempatan, bukan sekadar jumlah pekerjaan.
  • Singapura membawa masuk karyawan pelaburan berpengalaman untuk memperkukuh industri pengurusan aset dan membina ekosistem yang menyokong pembangunan bakat tempatan.
  • Kekurangan bakat di peringkat tertinggi merupakan cabaran global, dan pengalaman serta pendedahan bekerja bersama pakar asing dianggap penting untuk kemajuan warga tempatan.
  • Pendedahan kepada proses membuat keputusan dan pengurusan portfolio kompleks membantu warga Singapura mencapai peranan kepimpinan serantau dan global dalam industri kewangan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kejayaan usaha Singapura memikat karyawan pelaburan terkemuka dari seluruh dunia, pada akhirnya mungkin akan dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah pekerjaan yang diwujudkan, menurut para pemerhati.

Para pemerhati industri berpendapat ukuran yang lebih penting adalah sama ada kepakaran mereka dapat membantu warga Singapura melangkah ke jawatan yang lebih kanan.

Singapura berharap usaha memikat bakat asing yang berpengalaman untuk berpangkalan di negara ini dapat memperkukuh industri pengurusan aset dan melahirkan lebih ramai karyawan tempatan.

BAKAT YANG MENJANGKAU JAWATAN TERTINGGI

Ketua Bersama Asia Pasifik di Alternative Investment Management Association, Kher Sheng Lee, mengibaratkan karyawan pelaburan kanan seperti pengurus portfolio sebagai “pemandu kereta lumba”. Namun, setiap pemandu disokong oleh pasukan yang jauh lebih besar.

“Peluang pekerjaan sebenarnya ada di bengkel, pejabat korporat dan makmal penyelidikan,” kata beliau.

Ini termasuk penganalisis, pedagang, karyawan risiko dan pematuhan, serta pasukan operasi dan teknologi. Ekosistem lebih luas yang merangkumi pentadbir dana, broker utama, peguam dan juruaudit turut menyokong tugas mereka.

Industri pengurusan aset Singapura menggajikan hampir 25,000 orang, dengan sekitar 80 peratus daripadanya merupakan warga tempatan.

Menurut para pemerhati, isu yang dihadapi bukanlah kekurangan karyawan kewangan secara keseluruhan, tetapi kekurangan bakat di peringkat tertinggi – individu yang mempunyai kepakaran khusus dan pengalaman pelaburan yang luas.

Pusat-pusat kewangan di seluruh dunia bersaing untuk mendapatkan bakat berkemahiran tinggi yang terhad.

“Bakat yang kita cari sangat terhad. Kekurangan bakat di peringkat tertinggi merupakan cabaran global,” kata Encik Lee sambil menambah bahawa pusat kewangan seperti New York dan London berdepan cabaran yang serupa.

Menurutnya, bidang pelaburan bukan sahaja memerlukan kemahiran teknikal, malah keupayaan untuk membuat keputusan sukar di bawah tekanan. “Anda membuat pertimbangan melibatkan simpanan dan pelaburan orang lain. Itu satu tanggungjawab yang amat besar.”

Sifat dan kemahiran sedemikian mengambil masa bertahun-tahun – dan perlu melalui beberapa kitaran pasaran – untuk dibangunkan, tambah beliau. “Sebab itulah individu seperti ini sangat diperlukan.”

Strategi Singapura adalah untuk membawa sebahagian daripada karyawan berpengalaman itu ke negara ini, kemudian membina pasukan dan kegiatan pelaburan di sekeliling mereka.

Profesor Lawrence Loh dari Jabatan Strategi dan Dasar di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) menyifatkan perkara tersebut sebagai pendekatan yang “memikat bakat utama terlebih dahulu sebelum memperluaskan kesannya”.

“Kita bukan sekadar melihat mereka sebagai individu. Sebaliknya, kita melihat keseluruhan sektor, rantaian nilai dan saluran bakat,” kata beliau.

MENGUBAH PENDEDAHAN KEPADA KEMAJUAN KERJAYA

Namun, para penganalisis berkata manfaat kepada para pekerja Singapura tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pekerjaan semata-mata.

Ukuran yang penting adalah sama ada warga tempatan yang bekerja bersama karyawan global tersebut memperoleh pengalaman dan pendedahan yang diperlukan untuk maju dalam kerjaya mereka.

Karyawan kanan di Institut Profesional Sumber Manusia (IHRP), Khairil Baharudin, berkata pembelajaran seperti itu sukar untuk diperoleh menerusi latihan rasmi semata-mata.

“Anda belajar dengan melakukan kerja bersama seseorang yang sudah melalui beberapa kitaran pasaran,” kata beliau.

“Anda dapat melihat bagaimana mereka menilai risiko, membuat keputusan di tengah pasaran tidak menentu dan menggunakan pertimbangan apabila tiada jawapan yang jelas tersedia. Jadi, ini agak berbeza daripada sekadar menghantar seseorang untuk mengikuti satu lagi program latihan.”

Walaupun latihan kekal penting, Encik Khairil berkata pendedahan, mobiliti kerjaya, kemajuan dan perancangan bagi penggantian merupakan petunjuk yang lebih kukuh untuk menilai sama ada pemindahan keupayaan benar-benar berlaku.

Ini bermakna warga Singapura mendapat lebih banyak pendedahan kepada proses untuk membuat keputusan pelaburan, mengendalikan portfolio yang semakin kompleks dan akhirnya menyandang jawatan di peringkat serantau, global atau peranan-peranan yang melibatkan aspek kepimpinan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita