Skip to main content

Singapura

Usaha sama CDL satu-satunya pembida tapak Zion Road; rancang bina 290 apartmen servis jika diberi tender

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha sama antara City Developments Limited (CDL) dan Mitsui Fudosan (Asia) merupakan satu-satunya pembida bagi sebuah tapak tanah di Zion Road yang ditetapkan bagi pembinaan projek perintis apartmen servis jangka panjang.

Mitsui Fudosan (Asia), yang syarikat induknya adalah pemaju hartanah terbesar Jepun berdasarkan permodalan pasaran, mengemukakan bida S$1,106,888,000 bagi tapak tanah yang mempunyai tempoh pajakan 99 tahun.

Tender bagi tapak tersebut ditutup pada Khamis (4 Apr). Keputusan akan diumumkan selepas bidaan diteliti, umum Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Jika usaha sama tersebut diberi tender tersebut, CDL menyatakan ia merancang untuk "membangunkan projek pelbagai guna" yang terdiri daripada dua blok, satu blok 69 tingkat dan satu lagi yang mempunyai 64 tingkat.

740 unit kediaman akan ditawarkan, serta kedai runcit.

CDL juga mahu membangunkan sebuah blok 35 tingkat dengan 290 unit apartmen sewa.

Apartmen sewa tersebut merupakan sebahagian daripada projek perintis URA bagi kelas apartmen servis jangka panjang baharu, yang diumumkan pada November tahun lalu.
Tapak di Zion Road itu terhubung langsung dengan stesen MRT Havelock di Laluan Thomson-East Coast dan dekat dengan Ekspreswe Central (CTE) dan Ekspreswe Ayer Rajah.

Ia juga terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah Great World.

PROJEK PERINTIS APARTMEN SERVIS

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERA Singapura, Marcus Chu berkata, usaha sama itu mungkin "meneroka komponen apartmen servis", memandangkan Singapura menarik pelancong perniagaan.

CEO Huttons Asia, Mark Yip, menarik perhatian bahawa harga sea harian bagi apartmen studio servis premium di kawasan tersebut bermula daripada S$300. Kadar itu "50 peratus lebih tinggi" berbanding harga sewa kondominium satu bilik di kawasan yang sama.

Pada Khamis, tender bagi satu lagi tapak tanah di Upper Thomson Road
ditutup, dengan hanya satu bidaan diterima daripada GuocoLand (Singapura) dan Intrepid Investments bernilai S$779,500,000.

Tapak di Upper Thomson Road itu bagi pembangunan perumahan kira-kira 940 unit, kata Encik Yip.

Tender bagi satu lagi tapak tanah di Upper Thomson Road yang ditetapkan bagi projek perintis apartmen servis jangka panjang kini dibuka.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita