Usaha relawan FITRAH, Ustazah Sarinah dan pengasas RSG, Ramli Abdullah bantu banduan, bekas pesalah diiktiraf
SINGAPURA: Usaha seramai 651 relawan serta rakan-rakan masyarakat diiktiraf menerusi Anugerah Sukarelawan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) tahun ini.
Jumlah itu adalah yang tertinggi pernah diagihkan sejak diperkenalkan pada 2007.
Anugerah itu meraikan sumbangan mereka serta menggariskan komitmen SPS dalam menggalak masyarakat untuk menyokong usaha-usaha pemulihan dan integrasi golongan banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka.
RAMLI ABDULLAH DAHULUNYA HIDUP DENGAN DADAH DAN ANGGOTA SAMSENG, KINI BANTU BANDUAN MULAKAN HIDUP BAHARU
Antara yang diberikan penghargaan tahun ini ialah pengasas Kumpulan Sokongan Pemulihan (RSG), Ramli Abdullah.
Beliau merupakan antara sembilan relawan yang menerima 'Anugerah Throughcare Hero' dalam majlis penyampaian anugerah pada Jumaat (8 Ogos).
"Apabila diberitahu saya akan menerima anugerah ini, sejujurnya apa yang datang di minda saya adalah arwah mak saya. Ini adalah janji-janji saya kepada arwah mak saya bahawasanya apabila beliau sudah tiada pun saya akan teruskan membuat yang terbaik melakukan yang terbaik dan membantu insan-insan yang memerlukan dalam perjalanan perubahan mereka," ujar Encik Ramli.
Disebabkan anasir dadah, beliau sudah masuk keluar penjara sebanyak sembilan kali.
"Saya bermula menagih dadah pada usia 12 tahun, dengan ganja. Ada juga terbabit dengan heroin, air batu atau Ecstacy," kongsi Encik Ramli kepada wartawan Nurhelmy Hakim.
"Terlibatnya dengan penagihan dadah dan kumpulan samseng kerana saya kurang perhatian daripada keluarga. Ibu bapa jauh sekali dengan saya waktu itu. Jadi pencampuran saya tidak dipantau. Jadi saya bercampur dengan sesiapa saja saya nak campur. Daripada kali pertama tu sampai kali ke 8 Kali tu saya tak pernah rasa serik untuk berubah ataupun menjadi yang terbaik," tambahnya yang kini sudah mencecah usia 51 tahun.
Selepas kali terakhir dibebaskan dari penjara pada 2014, Encik Ramli bertekad untuk memulakan hidup baharu.
Setahun kemudian, beliau menubuhkan Kumpulan Sokongan Pemulihan (RSG).
Kumpulan itu menyokong para individu dalam situasi yang sama dalam pemulihan serta juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahayanya dadah.
Selepas menubuhkan kumpulan tersebut, Encik Ramli banyak melakukan kerja relawan dengan para banduan serta mereka yang dalam proses dibebaskan.
Beliau juga mula menjadi relawan Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 2015.
Pada 2017, beliau melakukan kerja-kerja relawan bersama SPS pula.
Encik Ramli berkata: "Saya dan teman-teman mengendalikan program 'renunciation' di dalam penjara dan berikan kata-kata motivasi khas untuk golongan yang baru ditangkap. Apabila mereka ditangkap, mereka akan rasa diri mereka sudah tak berguna. Mereka akan jalani hukuman penjara yang lama. Jadi kita adanya kita di situ, kita memberi semangat kepada mereka agar mereka tidak berputus asa. Program-program ini dilakukan setiap minggu."
Encik Ramli juga menjayakan beberapa program kemasyarakatan bersama para anggota RSG setiap tahun, terutama sekali pada bulan Ramadan.
"Kebanyakan anggota RSG adalah bekas pesalah juga yang saya sudah melihat apa yang mereka inginkan, sudah capai. Mereka datang semula ke penjara untuk memberi kata-kata motivasi ataupun menjalankan program. Sebagai bekas pesalah ataupun bekas penagih dadah, untuk berubah bukan senang tetapi apabila mereka konsisten menjaga diri mereka di luar, saya tabik," ujar Encik Ramli.
"Mereka suka dengan program-program sebegini, agihan makanan kepada orang-orang yang susah ataupun untuk keluarga pesalah yang masih menjalani hukuman di dalam penjara, mereka merasakan diri mereka berbakti kepada masyarakat dan peluang untuk mereka berubah adalah terbuka. Pada pandangan saya, ini adalah satu sokongan daripada masyarakat untuk mereka berubah untuk ke jalan yang baharu," tambahnya.
Encik Ramli juga bersukarela secara aktif dengan Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA).
USTAZAH SARIMA JANTAN TERIMA ANUGERAH BAKTI SETIA ATAS USAHA RELAWAN SELAMA LIMA TAHUN
Lagi seorang penerima anugerah tahun ini ialah pegawai pembangunan sosial di Masjid En-Naeem, Ustazah Sarima Jantan.
Beliau menjadi antara 567 relawan yang diiktiraf dengan Anugerah Bakti Setia.
Pada asalnya, beliau menggunakan peluang itu untuk menepati keperluan masa praktikum bagi pendidikan diploma dalam jurusan Psikologi Kaunseling.
"Saya melakukan tugas relawan untuk praktikum saya di sebuah rumah peralihan di mana saya mendekati pesalah-pesalah yang dalam proses integrasi semula kepada ke dalam masyarakat. Secara khusus, saya mendekati mereka untuk mengetahui apakah aspirasi mereka. Bagaimana perancangan mereka nanti apabila di kalangan masyarakat dan bagaimana keadaan atau penerimaan mereka tentang program-program di masjid dan sebagainya," kata Ustazah Sarima.
Menerusi pengalaman itu, Ustazah Sarima memahami betapa beratnya tanggungjawab sebagai seorang relawan untuk bantu golongan banduan.
Beliau mengambil keputusan untuk terus menabur bakti sebagai sukarelawan FITRAH setelah pengajiannya itu tamat pada 2021.
"Secara peribadi saya merasakan bahawa kita semua ada tanggungjawab bersama untuk ke depan dan melakukan sesuatu untuk kebaikan masyarakat bersama. Mungkin, itu menjadi titik tolak untuk saya meneruskan kerja sukarelawan," ujar Ustazah Sarima.
Beliau lantaran itu mula menjadi relawan memberikan kaunseling keagamaan di dalam penjara untuk golongan banduan.
"Saya berjumpa dengan pesalah-pesalah di penjara dan mendekati mereka untuk mengetahui masalah, dan mendampingi mereka. Saya juga menjadi tempat untuk mereka mungkin berkongsi aspirasi mereka apabila mereka keluar dan dan juga adakalanya memberikan penerangan atau penjelasan tentang persoalan agama yang mereka rasa mereka perlukan pencerahan lanjut," jelas Ustazah Sarima.
Setiap minggu, beliau akan meluangkan masa sekurang-kurangnya dua jam di penjara untuk mendampingi para banduan.
Selain memberikan nasihat keagamaan, Ustazah Sarima juga menjadi relawan dalam program 'Community Befriender" untuk mendampingi golongan banduan yang akan dibebaskan dari penjara.
RELAWAN SEDIAKAN RUANG SELAMAT UNTUK PARA BANDUAN, BEKAS PESALAH
Ustazah Sarima dan Encik Ramli merupakan antara lebih 4,000 relawan SPS kini.
Jumlah itu meningkat kira-kira 20 kali ganda dalam tempoh 25 tahun.
Menurut tetamu terhormat di majlis penyampaian anugerah tersebut, Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, SPS cuma mempunyai 200 relawan pada tahun 2000.
"Peningkatan ini bukan sahaja tentang perangkaan, bahkan ia mencerminkan sifat ambil peduli yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat. Anda (penerima anugerah) semua sebagai relawan adalah peran contoh kepada golongan banduan dan bekas pesalah. Anda menyediakan ruang yang selamat untuk mereka suarakan masalah mereka. Bimbingan anda juga membantu mereka mengemudi cabaran-cabaran sambil mengekalkan fokus dalam perjalanan rehabilitasi mereka," kata Dr Faishal semasa menyampaikan ucapan di majlis itu.
Beliau menyanjung sumbangan para sukarelawan dan menekankan peranan penting mereka dalam proses pemulihan para banduan dan bekas pesalah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.