Usaha pikat tenaga kerja diperhebat demi pastikan operasi Lapangan Terbang Changi berjalan lancar
SINGAPURA: Sektor penerbangan sedang memperhebatkan usaha untuk memikat pekerja baru bagi memastikan Lapangan Terbang Changi dapat beroperasi dengan lancar sedang perjalanan udara disambung semula.
Demikian menurut Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Rabu (30 Mac).
Ini selepas sektor itu kehilangan "ramai pekerja" sepanjang dua tahun lalu angkara COVID-19.
Mempertingkatkan tenaga manusia agar sektor penerbangan dapat beroperasi pada kapasiti yang diperlukan akan menjadi "cabaran utama" Singapura, sedang negara ini melonggarkan kawalan sempadannya, menurut Encik Iswaran.
"Tahap ketirisan agak perbeza. Ia berbeza, saya difahamkan ia boleh mencecah sehingga separuh bagi sesetengah segmen sektor tersebut, sekitar sepertiga, seperti yang dimaklumkan kepada saya," menurutnya.
"Kita berdepan dengan ketirisan yang sangat ketara dan padahnya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh koronavirus."
Para pemain industri kini sedang merekrut tenaga kerja dari dalam dan luar negara seperti Malaysia, dengan matlamat untuk mempersiapkan diri sebelum permintaan kembali meningkat.
Encik Iswaran berkata: "Saya boleh katakan bahawa kita berada di paras antara dua pertiga hingga tiga suku daripada kapasiti yang pernah dicatatkan sebelum ini. Ia akan meletakkan kita dalam kedudukan yang baik untuk menangani jumlah permintaan yang meningkat."
Namun, tambahnya lagi, ia akan mengambil masa untuk melatih pekerja baru dan membiasakan diri mereka dengan operasi, terutama sekali kerana beberapa perkara yang pernah dilakukan dahulu mungkin sudah berubah sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Justeru, semuanya akan mengambil masa. Namun, berdasarkan apa yang sudah dilihat dan didengar, saya yakin rakan-rakan daripada masyarakat penerbangan sudah bersiap sedia untuk menangani peningkatan itu," menurut Encik Iswaran.
Encik Iswaran berkata demikian kepada para wartawan semasa melakukan lawatan ke Lapangan Terbang Changi menjelang pembukaan semula sempadan negara kepada semua pelawat yang sudah lengkap divaksin pada Jumaat (1 April).
Singapura akan menggugurkan semua laluan penumpang sudah divaksin (VTL) sedia ada dan aturan sepihak mulai 1 April.
Ia diumumkan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 24 Mac.
Tambah Encik Isawran, sebahagian besar kerja yang dilakukan bukan hanya untuk "mempertingkatkan kapasiti dan membuka semula sempadan," tetapi juga bagi memastikan lapangan terbang kita "berupaya membuat penyesuaian dengan pantas" jika perlu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.