Skip to main content

Singapura

Usaha perkukuh sektor pengilangan Amerika boleh buka peluang baharu bagi syarikat SG: EnterpriseSG

Di sebuah kemudahan pengilangan di Austin, robot-robot yang mampu memprogramkan dirinya sendiri sedang melakukan sentuhan akhir pada komponen-komponen mesin dengan campur tangan minimum daripada manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha perkukuh sektor pengilangan Amerika boleh buka peluang baharu bagi syarikat SG: EnterpriseSG

Kemudahan milik syarikat tempatan Sunningdale Tech di Arizona, Amerika Syarikat. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 29 May 2026 04:54PM
  • Augmentus dan Sunningdale Tech, dua syarikat Singapura, mengembangkan operasi ke Amerika Syarikat untuk memanfaatkan pasaran pengilangan dan teknologi perubatan yang besar.
  • Augmentus memperkenalkan robot berasaskan AI di Austin, Texas, yang mampu memprogramkan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja mahir.
  • Sunningdale Tech meningkatkan kapasiti kilang di Arizona untuk memenuhi permintaan sektor teknologi perubatan dan merancang pengembangan lanjut melalui kerjasama serta pengambilalihan.
  • Walaupun peluang besar wujud akibat dasar kerajaan Amerika dan penstrukturan rantaian bekalan, syarikat menghadapi cabaran seperti kos operasi tinggi dan keperluan peraturan, dengan sokongan daripada EnterpriseSG.
Dijana oleh AI
AUSTIN: Di sebuah kemudahan pengilangan di Austin, robot-robot yang mampu memprogramkan dirinya sendiri sedang melakukan sentuhan akhir pada komponen-komponen mesin dengan campur tangan minimum daripada manusia.

Dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), sofwe tersebut membolehkan robot mengimbas komponen untuk menentukan geometri, menjana laluan peralatan sendiri dan menyesuaikan diri dengan variasi bentuk atau orientasi untuk menghasilkan keputusan pengeluaran yang tepat.

Di sebalik teknologi itu ialah sebuah syarikat pemula sofwe robotik Singapura, Augmentus.

“Masalah yang kami cuba selesaikan sebenarnya berkaitan tahap kesukaran yang tinggi dan tempoh henti operasi yang lama dalam sistem robotik konvensional,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Daryl Lim.
Related article image
Sofwe Augmentus membolehkan robot yang memprogramkan dirinya sendiri mengimbas model 3D untuk menjana laluan kerja. (Gambar: CNA)
Lazimnya, para pengilang memerlukan jurutera yang sangat terlatih untuk memprogramkan robot industri secara manual - satu proses yang boleh mengambil masa berhari-hari atau bahkan berminggu-minggu bagi satu komponen, khususnya jika ia rumit.

Dengan tempahan yang sentiasa berubah-ubah, keseluruhan proses itu lazimnya perlu diulang beberapa kali untuk memenuhi keperluan komponen yang berbeza-beza, sekali gus menjadikan pengeluaran lebih rumit.

Encik Lim berkata sofwe Augmentus mengurangkan tempoh penyediaan dan kos dengan ketara.

Syarikat itu menyediakan “mata dan otak” sistem tersebut - kamera, sofwe AI dan alat automasi - yang boleh disepadukan dengan pantas ke dalam barisan pengeluaran sedia ada dalam masa beberapa minit sahaja.

Syarikat tempatan itu membuka pejabatnya di Texas pada 2024 bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta mendapatkan akses kepada pasaran yang lebih besar, khususnya dalam sektor fabrikasi logam.

Teknologinya direka untuk digunakan dalam mana-mana peringkat proses pengilangan, daripada kerja kimpalan dan pengamplasan hingga pengisaran, penyemburan dan penyalutan.

“Amerika Syarikat ialah sebuah negara yang lebih seragam ... dengan pasaran yang jauh lebih besar. Banyak proses fabrikasi logam juga berada di Amerika,” kata Encik Lim.

Syarikat itu bertaruh bahawa usaha untuk membawa semula sektor pengilangan ke Amerika Syarikat akan mewujudkan peluang baharu bagi syarikat yang mempunyai keupayaan automasi yang canggih.

Encik Lim menambah bahawa peningkatan kos buruh turut mempercepatkan keperluan terhadap automasi merentasi pelbagai industri, sekali gus membuka peluang kepada syarikatnya untuk mengisi jurang itu.

“Automasi bukan lagi sesuatu yang baik untuk dimiliki, sebaliknya menjadi satu keperluan," kata beliau. “Dengan mengambil kira semua faktor ini, Amerika merupakan pilihan yang cukup jelas bagi kami untuk memperkukuhkan kehadiran syarikat,” kata beliau.

SYARIKAT TEKNOLOGI PERUBATAN PERLUAS KEHADIRAN DI AMERIKA

Satu lagi syarikat Singapura yang sedang mengembangkan kehadirannya di Amerika Syarikat ialah pengeluar komponen plastik, Sunningdale Tech, yang mengendalikan sebuah kilang di Arizona bagi memenuhi keperluan sektor teknologi perubatan.

Kemudahan itu menghasilkan komponen bagi produk-produk seperti alat pemantau glukosa dan barangan habis guna untuk penjagaan kencing manis.

CEO merangkap Pengarah Eksekutifnya, Khoo Boo Hor, berkata ketidaktentuan global menjadikan kehadiran fizikal di Amerika Syarikat semakin penting bagi para pembekal.

“Para pelanggan benar-benar sedang meneliti strategi rantaian bekalan mereka,” kata beliau. “Kehadiran (di Amerika Syarikat) memberi kami peluang untuk berada lebih dekat dengan mereka, berkembang bersama mereka dan terlibat dalam pembangunan produk baharu.”

Sunningdale sudah menggandakan kapasiti di kilangnya di Arizona dan menjangkakan perniagaan teknologi perubatannya di Amerika Syarikat akan berkembang pada kadar dua angka dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dengan Amerika Syarikat menempatkan pasaran teknologi perubatan terbesar di dunia, syarikat itu mahu mengembangkan perniagaannya di negara tersebut sehingga ia menyumbang separuh daripada keseluruhan pendapatan teknologi perubatannya.

Syarikat itu juga merancang untuk memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan sedia ada, di samping meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan untuk terus berkembang dalam pasaran Amerika Syarikat.

PELUANG DAN CABARAN

Enterprise Singapore (EnterpriseSG) menyatakan bahawa penstrukturan semula rantaian bekalan global boleh mewujudkan peluang besar bagi syarikat Singapura yang mempunyai keupayaan pengilangan yang kukuh.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjadikan usaha membangunkan semula asas perindustrian negara itu sebagai sebahagian daripada agenda penting ekonominya.

Sejak kembali ke Rumah Putih bagi penggal kedua pada Januari 2025, beliau melaksanakan tarif dan dasar-dasar yang bertujuan menggalakkan syarikat untuk menghasilkan lebih banyak produk di dalam negara serta mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar negara.

“Oleh kerana pemerintah sekarang sedang berusaha untuk mengembangkan keupayaan pengilangan Amerika Syarikat, kita pasti akan menyaksikan aktiviti pengilangan di negara itu berkembang dalam beberapa tahun akan datang,” kata Pengarah EnterpriseSG bagi rantau Amerika, Lim Seow Hui.

“Ini akan membuka lebih banyak peluang pengilangan bagi syarikat Singapura untuk bekerjasama dengan firma-firma Amerika.”

Beliau menambah bahawa syarikat Singapura merupakan rakan kongsi yang menarik kerana terkenal dengan piawaian pengeluaran yang bermutu tinggi, perlindungan harta intelek yang kukuh serta mempunyai rangkaian dan tapak pelancaran yang mantap di Asia.

Namun, pengembangan ke Amerika Syarikat turut disertai pelbagai cabaran.

Syarikat-syarikat perlu mengharungi peningkatan kos operasi, keperluan peraturan serta ketidaktentuan berkaitan tarif dan dasar perdagangan.

Augmentus menyatakan tarif pada awalnya meningkatkan kos bagi sebahagian daripada hadwe yang dihantar dari Singapura, sekali gus memaksa syarikat itu menilai semula strategi perolehan dan rantaian bekalannya.

Sunningdale pula menyifatkan peningkatan kos bahan mentah, tenaga kerja dan tenaga sebagai antara kebimbangan utama.

EnterpriseSG menyatakan ia terus memberi sokongan kepada syarikat- syarikat Singapura dengan menghubungkan mereka dengan penasihat undang-undang, perunding dan rangkaian tempatan bagi membantu mereka memahami peraturan serta mengembangkan perniagaan di luar negara.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita