Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha pemulihan tahanan JI satu cabaran besar

Dengan perkembangan teknologi dan landskap pengganasan yang kian berubah, corak radikalisasi kini semakin sukar untuk dijangkakan berbanding dua dekad lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Dec 2021 09:44PM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 10:51AM

SINGAPURA: Dengan perkembangan teknologi dan landskap pengganasan yang kian berubah, corak radikalisasi kini semakin sukar untuk dijangkakan berbanding dua dekad lalu.

Golongan yang menjadi radikal semakin muda dan mereka terdedah kepada ideologi itu daripada kandungan online.

Sejak 2015, tujuh belia radikal berusia 16 hingga 19 tahun ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Adanya wadah-wadah baru bagi diayah ideologi pelampau merumitkan lagi menangkis pengaruh bahaya itu.

Istilah "jihad" sering digunakan bagi memperdaya dan menarik anggota baru kumpulan pengganas namun, pengertian di sebalik istilah itu merupakan satu tafsiran Quran yang kurang tepat dan sengaja direka-reka oleh kumpulan Jemaah Islamiyah sendiri.

"Bila kita tanya mereka tentang jihad, jihad yang mereka pelajari tak sama dengan kita memahami jihad," kata pengasas dan pengerusi bersama, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ali Haji Mohamed.

Oleh itu, memperbetulkan pemahaman sedemikian merupakan satu cabaran besar.

"Bilamana kita dapat melihat fahaman-fahaman yang sedemikian ini maka kita merasakan kewajipan kita menunjuk jalan mereka. Jadi, kita mengambil cabaran. Kita mengambil satu cabaran yang sangat berat," tambah Ustaz Ali.

TAHANAH JI DILAYAN DENGAN PERIKEMANUSIAAN

Konsep-konsep agama yang diputarbelitkan seperti itulah yang perlu ditangani para relawan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Dalam melakukan demikian, para pegawai dan relawan perlu menahan apabila dilemparkan kata-kata kesat selama berjam-jam.

Namun begitu, pendekatan yang digunakan RRG dan ISD untuk memulihkan tahanan JI itu bukanlah dengan kekerasan.

"Perlahan demi perlahan, saya mulai sedar bahawa 'Jihad' itu sendiri adalah luas dan bukan sahaja setakat perjuangan bersenjata. Ada banyak peluang untuk berjihad. Terutama dari segi pendidikan, kewangan dan menjaga keluarga dan untuk menjadi orang yang soleh," kata 'Johan' seorang bekas anggota JI yang menyertai kumpulan itu sekitar 1980-an.

Bagi seorang lagi bekas tahanan, 'Alif', pengalamannya semasa menjalani proses pemulihan merupakan sesuatu yang tidak dia jangkakan.

"Pada mulanya apabila saya ditahan, saya takut kerana saya fikir ISD akan menggunakan penyeksaan untuk mendapatkan maklumat daripada kami jadi sebab itu saya tidak bekerjasama pada mulanya," kata 'Alif' yang menyertai JI pada 1998.

"Tapi semakin hari berlalu dan saya melihat cara mereka menemubual saya, mereka bercakap dengan saya, mereka menghormati saya, mereka tidak berlaku buruk, tidak menyeksa saya," tambahnya.

KEWASPADAAN, KESEDIAAN MASYARAKAT PERTAHANAN TERBAIK TANGKIS ANCAMAN MASA DEPAN

Usaha ISD yang secara konsisten dan ikhlas untuk membina kepercayaan dan ketelusan akhirnya membuahkan hasil selepas berbulan-bulan.

Misalnya, lebih 90 peratus daripada mereka yang ditahan berjaya merubah kehidupan mereka dan kembali ke pangkal jalan.

"Daripada 56 (tahanan), 52 yang dipulihkan dan kemudiannya dibebaskan. Sekarang mereka semua sudah kembali ke pangkuan masyarakat, mereka semua dalam keadaan baik, mereka bersama keluarga dan mempunyai kerja dan menjalankan kehidupan seperti biasa," kata Encik 'Faisal', seorang Pegawai Operasi Kanan, ISD.

Kejayaan Singapura dalam memusnahkan rangkaian JI membantu meredakan ancaman daripada kumpulan-kumpulan pelampau di negara ini.

Sebagai sebuah masyarakat yang terbuka, Singapura akan sentiasa terdedah kepada perkembangan di luar negara dan ideologi-ideologi pelampau.

Namun sifat kewaspadaan, langkah-langkah menentang keganasan yang lebih kukuh serta kesediaan masyarakat merupakan pertahanan terbaik negara untuk menangkis segala jenis pengganasan dan radikalisasi pada masa hadapan.

Untuk ketahui bagaimana ancaman pengganasan di Singapura sudah berubah sejak penangkapan anggota JI di sini 20 tahun lalu, saksikan rancangan khas 'INSIGHT: The Evolution of Terror' di meWATCH.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan