Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha murni sekumpulan rakan sekolah lama agih 10,000 naskhah Muqaddam di Kemboja

Kumpulan yang dinamakan Al-Akrab itu mendapatkan khidmat pencetakan di Kemboja untuk mencetak Muqaddam pada bahan plastik berkualiti tinggi. Ini supaya ia tidak mudah rosak jika terkena air pada waktu ribut dan hujan lebat.

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha murni sekumpulan rakan sekolah lama agih 10,000 naskhah Muqaddam di Kemboja

Usaha murni sekumpulan rakan sekolah lama agih 10,000 naskhah Muqaddam di Kemboja. (Gambar: Mustapha Kamal Osman/Facebook)

BERITAmediacorp: Apabila ribut, banjir dan hujan lebat melanda, Muqaddam kanak-kanak Islam di Kemboja habis rosak.

Oleh itu mereka terpaksa berkongsi Muqaddam yang berjaya diselamatkan.

Ada kalanya senaskhah Muqaddam dikongsi sehingga lima orang.


(Gambar: Mustapha Kamal Osman/Facebook) 

Apabila mengetahui tentang hal itu, sebuah kumpulan projek amal dari Singapura mendapat ilham untuk mengatasi masalah itu.

Kumpulan yang dinamakan Al-Akrab itu mendapatkan khidmat pencetakan di Kemboja untuk mencetak Muqaddam pada bahan plastik berkualiti tinggi.

Ini supaya ia tidak mudah rosak jika terkena air pada waktu ribut dan hujan lebat.

"Bila kita lihat keadaan Muqaddam itu, sebab sebelum ini Muqaddam itu kertas. Jadi bila di negara seperti Kemboja ini yang sering hujan, banjir dan sering berlakunya ribut dan sebagainya, Muqaddam ini rosak," ujar Encik Mustapha Kamal Osman, anggota Al-Akrab.


(Gambar: Mustapha Kamal Osman/Facebook) 

Encik Mustapha merupakan penyelaras projek yang dinamakan 'Muqaddam For Children of Cambodia'.

Beliau dan sekitar lagi 10 orang anggota yang merupakan kawan sekolah lama dari Sekolah Menengah Teknik Dunearn, kini sedang berada di Kemboja bagi mengagihkan hampir 10,000 Muqaddam.

Mereka berangkat ke Kemboja semalam (16 Sep) untuk mengagihkan Muqaddam itu kepada kanak-kanak Muslim di tiga wilayah iaitu Kampong Cham, Koh Kong dan Sihanoukville.


(Gambar: Mustapha Kamal Osman/Facebook) 

Selain mahu mencetak sendiri kerana ingin menggunakan bahan khas dan berkualiti tinggi, mereka juga melakukannya kerana mendapati agak sukar untuk mencari bekalan Muqaddam yang begitu banyak di negara itu.

"(Muqaddam) itu satu asas bagi Quran dan kemudian untuk anak-anak ke pusat tahfiz, mereka harus mempunyai asas dahulu. Mereka harus boleh membaca dan menghafal beberapa surah dengan lancar baru mereka dapat memasuki pusat-pusat tahfiz di sini," kongsi Encik Mustapha kepada BERITAmediacorp.

SUDAH AGIH 20,000 NASKHAH NAMUN MISI TERHENTI AKIBAT PANDEMIK


(Gambar: Mustapha Kamal Osman/Facebook) 

Misi itu sebenarnya sebahagian daripada misi pertama yang dilakukan pada 2020 tapi terhenti seketika akibat pandemik COVID-19.

Lebih 20,000 naskhah Muqaddam diagihkan kepada lapan wilayah di Kemboja pada masa itu.

Dana bagi usaha itu pula dikumpul menerusi wadah Facebook, serta daripada kenalan-kenalan mereka, dengan senaskah Muqaddam bernilai S$4.

Setakat ini mereka berjaya mengumpul dana sebanyak sekitar $35,000 bagi projek itu.


(Gambar: Mustapha Kamal Osman/Facebook) 

Apabila sekatan perjalanan dilonggarkan, mereka mula membuat perancangan untuk ke Kemboja bagi menjalankan amanah itu.

"Bila setiap anak-anak ini kita dapat lihat bila mereka dapat Muqaddam itu ada yang terus mendakapnya macam mendapat satu hadiah istimewa dan dengan kata orang itu, ia bagi satu kesedaran bagi diri kita," ujar Encik Mustapha.

Sebelum projek ini, mereka juga pernah mengagihkan barangan makanan buat penduduk Islam di sana pada bulan Ramadan dan bantuan makanan pada waktu banjir.

Dalam kesempatan berada di Kemboja kali ini, mereka juga meneroka ke beberapa lokasi di Kemboja untuk meninjau kawasan-kawasan yang sesuai bagi membina sebuah masjid.


(Gambar: Mustapha Kamal Osman/Facebook) 

Mereka juga merancang untuk meneruskan lagi usaha mereka bagi mendapatkan lebih banyak Muqaddam untuk diagihkan kepada kanak-kanak di Kemboja.

Ini bagi memenuhi sasaran mereka iaitu mengagihkan secara keseluruhannya 60,000 naskah Muqaddam buat kanak-kanak di sana.

Bagi misi kali ini, mereka akan berada di sana hingga Isnin ini (19 Sep).

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan