Skip to main content

Singapura

Usaha Misi AI Kebangsaan sudah bermula: Josephine Teo

Singapura sudah memulakan usaha bagi Misi Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan yang bertujuan mengubah sektor utama ekonomi, kata Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo pada Rabu (20 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha Misi AI Kebangsaan sudah bermula: Josephine Teo

Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo bercakap kepada para wartawan di Lorong AI@One-North Space pada 27 Mac 2026. (Gambar fail: CNA/Ooi Boon Keong)

Diterbitkan : 20 May 2026 11:11PM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 06:41PM
  • Singapura melancarkan Misi Kecerdasan Buatan Nasional yang diselia Majlis AI Kebangsaan dipengerusikan Perdana Menteri Lawrence Wong.
  • Inisiatif ini memberi tumpuan kepada empat sektor utama iaitu keterhubungan, pengilangan maju, jagaan kesihatan dan kewangan, yang menyumbang lebih 40 peratus GDP negara.
  • Menteri Josephine Teo menekankan penggunaan AI untuk menangani cabaran dalam sektor penerbangan, maritim dan pengilangan, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
  • Kemas kini Strategi AI Kebangsaan diumumkan dengan 10 keutamaan baharu, bertujuan memperkukuh transformasi sektor, memperluas penggunaan AI dan membangunkan hab AI di Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura sudah memulakan usaha bagi Misi Kecerdasan Buatan (AI) Nasional yang bertujuan mengubah sektor utama ekonomi, kata Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo pada Rabu (20 Mei).

Berucap di 'ATxSummit' 2026, Cik Teo berkata Misi AI Kebangsaan akan dipacu oleh “masalah-masalah yang wajar diselesaikan, bukan hanya untuk Singapura tetapi juga dunia”.

“Ia bertujuan menjadi 'titik permulaan' bagi penggunaan AI yang mendalam dan membawa perubahan besar dalam sektor masing-masing,” kata beliau.

“Usaha sudah dimulakan.”

Misi AI Kebangsaan itu diselia Majlis AI Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Lawrence Wong.

Majlis tersebut akan memperluas penggunaan AI bagi seluruh ekonomi, membangunkan keupayaan kecerdasan buatan yang kukuh, selain menjadikan Singapura sebuah hab utama bagi inovasi AI, kata Cik Teo.

Empat sektor diberi keutamaan di bawah Misi AI Kebangsaan: keterhubungan, pengilangan maju, jagaan kesihatan dan kewangan.

“Singapura mempunyai kedudukan global dalam setiap sektor ini,” kata Cik Teo, sambil menambah bahawa sektor-sektor tersebut menyumbang lebih 40 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.

“Ia juga merupakan bidang-bidang di mana pemudah cara pemerintah seperti akses data dan ‘medan ujian terkawal’ boleh memangkin kemajuan AI,” kata beliau.

Dalam konteks itu, Cik Teo menyorot tiga bidang di mana AI boleh dilaksanakan: penerbangan, operasi maritim dan pengilangan maju.

Dalam sektor penerbangan, beliau merujuk kepada peluasan Lapangan Terbang Changi menerusi Terminal 5 yang akan datang. Peluasan itu akan menggandakan kapasiti pengendalian penumpang lapangan terbang tersebut daripada 70 juta penumpang setahun kepada 140 juta, dan hal itu menimbulkan cabaran yang melangkaui pembinaan infrastruktur dan akan memerlukan penilaian semula berhubung cara untuk mengoperasikan hab udara berkenaan, kata beliau.

Antara cabaran operasi yang dikenal pasti Cik Teo termasuk pergerakan penumpang antara pintu keberangkatan, penghantaran bagasi merentasi terminal serta penyelarasan pendaratan dan keberangkatan pesawat di landasan.

Beliau berkata Singapura juga memerlukan sistem pengurusan trafik udara generasi baharu yang mengutamakan keselamatan dan bukan sekadar jumlah penerbangan.

“Ini hanyalah satu daripada banyak peluang menarik di T5 yang boleh dibantu AI,” kata beliau.

Sektor maritim Singapura merupakan satu lagi bidang yang akan meneroka penggunaan AI.

Cik Teo turut merujuk kepada Pelabuhan Tuas, yang menurut beliau merupakan “terminal kontena automatik terbesar di dunia di sepanjang salah satu laluan perairan paling sibuk di dunia”.

Beliau berkata pelabuhan itu menghasilkan “set data yang berharga melibatkan operasi kompleks” yang boleh digunakan untuk membangunkan huraian baharu yang dikuasakan AI.

Dalam sektor pengilangan maju, Cik Teo menyorot potensi teknologi AI fizikal.
Cik Teo berkata Misi AI Kebangsaan Singapura menyediakan motivasi yang kukuh kepada firma AI terkemuka untuk berpangkalan di negara ini bagi membangunkan, menguji dan memperluas huraian AI yang diyakini dan relevan di peringkat global.

Beliau menambah bahawa Singapura juga sedang memanfaatkan AI dalam bidang-bidang lain seperti jagaan kesihatan dan pendidikan demi “kepentingan awam”, di samping meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kami akan berkongsi dengan lebih lanjut mengenainya di platform yang sesuai,” kata Cik Teo.

Pada Rabu, Cik Teo turut mengumumkan kemas kini kepada Strategi AI Kebangsaan Singapura (NAIS). Kemas kini itu dibina berlandaskan asas yang ditetapkan menerusi NAIS 2.0, yang dilancarkan Encik Wong pada 2023.

Beliau menyifatkan pembaharuan tersebut sebagai “usaha yang digandakan dan bukannya sistem yang dibina semula dengan sepenuhnya”.

Strategi yang diperbaharui itu memperkenalkan 10 keutamaan baharu yang tertumpu kepada tiga bidang utama: mengukuhkan transformasi berkaitan sektor dan sektor awam; memperluas penggunaan AI serta memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja; dan membangunkan sebuah hab AI.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita