Skip to main content

Singapura

Usaha mencari 2 pendaki Singapura diteruskan susuli letusan Gunung Dukono; 7 bakal pulang ke tanah air: MFA

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha mencari 2 pendaki Singapura diteruskan susuli letusan Gunung Dukono; 7 bakal pulang ke tanah air: MFA

Orang ramai melihat asap naik selepas letusan Gunung Dukono di Kabupaten Halmahera Utara, Maluku Utara, Indonesia, pada 8 Mei 2026. (Gambar: Jhon Frengki Manipa melalui REUTERS)

Diterbitkan : 09 May 2026 11:08PM

SINGAPURA: Gerakan mencari dua pendaki Singapura yang hilang selepas letusan Gunung Dukono di Indonesia sedang dijalankan, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (9 Mei), manakala tujuh lagi yang dibawa turun akan pulang ke tanah air pada Ahad (10 Mei).

Gunung Dukono di wilayah Maluku Utara meletus pada pagi Jumaat, menghamburkan abu setinggi 10km ke langit.

Tiga orang - termasuk dua rakyat Singapura - hilang semasa letusan itu, manakala 17 pendaki - tujuh rakyat Singapura dan 10 rakyat Indonesia - dipindahkan pada hari itu.

"Para pegawai dari Kedutaan Singapura di Jakarta kini berada di Gunung Dukono, Halmahera Utara, dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan bagi dua rakyat Singapura yang hilang, dan memudahkan kepulangan tujuh rakyat Singapura lain dalam kumpulan yang terjejas," jelas MFA dalam satu kenyataan.

"Kumpulan tujuh orang itu kini dalam perjalanan ke Jakarta dan akan pulang ke Singapura pada Ahad, 10 Mei 2026."

"Kementerian Ehwal Luar merakamkan penghargaan yang mendalam atas usaha berterusan pihak berkuasa tempatan di Halmahera Utara, di mana operasi SAR diteruskan dalam keadaan yang sangat mencabar."

MFA menyatakan pada Jumaat bahawa ia sedang bekerjasama dengan Indonesia untuk menyediakan bantuan dan sokongan kepada rakyat Singapura yang terjejas oleh letusan Gunung Dukono di Indonesia.

Pada Jumaat, agensi mencari dan menyelamat tempatan mengenal pasti dua pendaki Singapura yang hilang sebagai Heng Wen Qiang Timothy, 30, dan Shahin Muhrez bin Abdul Hamid, 27, ketika ia menerbitkan senarai mangsa yang terselamat dan hilang.

Agensi pengurusan bencana Indonesia, BNPB, berkata kedua-dua rakyat Singapura itu dikesan berada kira-kira 20m hingga 30m dari kawah utama gunung berapi itu, tetapi usaha menyelamat tidak dapat diteruskan kerana keadaan muka bumi yang amat sukar dan peningkatan aktiviti gunung berapi di sekitar Gunung Dukono.

Anggota penyelamat pada Sabtu menemui jasad seorang warga Indonesia. Pihka berkuasa percaya ia mayat seorang wanita bernama Angel, kata Iwan Ramdani, ketua agensi menyelamat tempatan, kepada pemberita. Mayat itu akan dibawa ke hospital serantau untuk dikenal pasti.

Seorang pemandu pelancong tempatan, yang menukil rakan pemandu pelancong, berkata bahawa mangsa nampaknya telah mengambil laluan yang lebih pantas tetapi lebih berbahaya semasa mendaki Gunung Dukono, walaupun masih belum jelas sama ada ia laluan tidak rasmi.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita