Usaha lanjut M³ bantu keluarga Melayu/Islam bakal dibentang di Parlimen; karyawan dipelawa pertingkat prestasi masyarakat
Semakin ramai karyawan, pemimpin masyarakat dan belia tampil untuk membantu dan mempertingkatkan kehidupan masyarakat Melayu/Islam di Singapura sejak rangkaian M³@Bandar ditubuhkan pada 2018.
SINGAPURA: Semakin ramai karyawan, pemimpin masyarakat dan belia tampil untuk membantu dan mempertingkatkan kehidupan masyarakat Melayu/Islam di Singapura sejak rangkaian M³@Bandar ditubuhkan pada 2018.
Perkembangan yang membanggakan ini dikongsi oleh Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Maliki Osman di laman Facebooknya pada Khamis (4 Feb).
Dalam catatannya itu, Dr Maliki berkata beliau berasa teruja dapat bertemu dengan para relawan dan pegawai dari beberapa M³@Bandar baru-baru ini.
Menurut Dr Maliki, mereka berkongsi dengannya harapan mereka untuk masyarakat Melayu/Islam secara amnya dan mereka juga mengetengahkan beberapa isu yang membelenggu fikiran para penduduk.
Atas keprihatinan mereka itu, Dr Maliki mempelawa para karyawan dan anggota masyarakat yang lain untuk sama-sama berganding bahu dengan M³ bagi meningkatkan prestasi masyarakat Melayu/Islam.
Menteri Di Pejabat Perdana Menteri itu turut mendedahkan bahawa dalam Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) yang akan datang, beliau akan berkongsi lebih lanjut bagaimana M³ dapat meningkatkan usaha untuk menjangkaui dan mendampingi para keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan.
Dalam catatan yang sama, Dr Maliki juga mengalu-alukan kerjasama Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA), Yayasan MENDAKI dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta badan-badan Melayu/Islam yang lain yang turut turun padang untuk mendampingi masyarakat Melayu/Islam.
Setakat ini, sembilan M³@ Bandar ditubuhkan di merata Singapura dengan pelancaran M³@ Bandar terbaru di Geylang Serai pada 23 Januari lalu.
Ia akan disusuli dengan dua lagi M³@Bandar di Bishan-Toa Payoh dan Jalan Besar pada awal tahun ini.
M³@Bandar adalah usaha tiga pihak - MUIS, MESRA dan MENDAKI - untuk menggembleng tenaga, kepakaran dan rangkaian relawan Melayu/Islam bagi membantu masyarakat Melayu/Islam di estet-estet perumahan dan kawasan-kawasan kejiranan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.