Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha kumpul dana untuk kajian barah CanCycle 2023 perlu lebih S$60,000 untuk capai sasaran

Usaha kumpul dana untuk kajian dan meningkatkan kesedaran mengenai barah 'CanCycle 2023' berjaya mengumpul hampir S$37,000 sejauh ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha kumpul dana untuk kajian dan meningkatkan kesedaran mengenai barah 'CanCycle 2023' berjaya mengumpul hampir S$37,000 sejauh ini.

Inisiatif anjuran Pusat Kajian Barah NUS (N2CR), Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS) dan Institut Sains Barah (CSI) Singapura menyasarkan mengumpul S$100,000 menerusi cabaran berbasikal secara maya.

SUAMI BERBASIKAL DEMI ISTERI

Salah seorang peserta yang menyahut cabaran tersebut adalah Encik Hasan Malik Abdul Qudoos, 59 tahun.

Beliau sudah berbasikal hampir 300 kilometer dan berjaya mengumpul derma sebanyak S$2,985 sejauh ini, seganda lebih banyak daripada sasaran asalnya,

'

"Saya berbasikal tiap-tiap hari Ahad dengan kawan-kawan saya. Saya akan berbasikal dari rumah ke kawasan Changi Village dan berbasikal pulang melalui Tanah Merah Coastal Road. Semua itu lebih kurang 50 kilometer," ujar Encik Malik.

Encik Malik merasa terpanggil untuk menyertai cabaran tersebut kerana penyakit itu dekat di hatinya.

Isterinya Cik Sarida Sannie, 57 tahun, menghidapi penyakit barah payudara sekitar 15 tahun lalu dan sedang menjalani rawatan di NCIS.

'
Cik Sarida pada mulanya disahkan bebas daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan selama enam bulan.

Namun, tanpa disangka, penyakit itu kembali 'menyerang' pada 2020 dan telah merebak ke bahagian tulang.

"Saya kini perlu menjalani rawatan dan mendapatkan suntikan setiap bulan untuk memperkuatkan tulang saya. Saya perlu menjalani rawatan ini sepanjang hidup saya," ujar Cik Sarida.

Meskipun akur akan penyakit barah yang membelenggu kehidupannya, Cik Saridah cuba berfikiran positif.

Cik Sarida berkata: "Saya cuba untuk terus melangkah ke depan. Saya bersyukur atas sokongan yang saya terima dan saya juga bersyukur saya masih boleh berjalan dan bergerak."

"Ada juga masa di mana saya akan berasa sedih tetapi saya akan selalu berbual dengan suami saya. Saya akan dengar nasihat beliau dan berfikiran positif untuk kebaikan saya," tambah beliau.

'

Encik Malik berkata beliau akan meneruskan usaha untuk mengumpul dan sehingga tarikh penutupnya pada Sabtu (11 Feb).

"Penyakit ini berat. Apabila ada kajian, akan ada ubat baru, rawatan baru, itu yang penting. ada harapan untuk para pesakit barah. Kita kalau buat kajian sekarang untuk kebaikan para pesakit akan datang juga. Kita dapat manfaat daripada kajian-kajian lama. Isteri saya sudah dapat manfaatnya. Jadi kita perlu membantu para pesakit akan datang," jelas beliau.

Cik Saridah juga berharap agar usaha CanCycle 2023 akan berjaya menepati sasarannya.

"Ini bukan tentang saya sahaja. Inisiatif ini adalah untuk menyumbang kepada usaha melawan penyakit ini. Sebagai pesakit barah, saya sangat berbesar hati dengan kajian-kajian mengenai barah yang sudah dijalankan sebelum ini. Dengan adanya lebih banyak sumbangan, saya berharap akan ada lebih banyak kajian mengenai barah pada masa depan," kata Cik Saridah.

Sejauh ini, inisiatif CanCycle 2023 berjaya mendapat penyertaan hampir 90 orang yang secara keseluruhannya sudah berbasikal sejauh 8,333 kilometer sejak inisiatif itu dilancarkan 27 Disember 2022.

'

Mereka yang berminat untuk menyertai inisiatif itu boleh berbuat demikian menerusi lelaman berikut - https://cancycle.sg/

Sumber : BERITA Mediacorp/hk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan