Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha kumpul dana bagi mangsa banjir M'sia berjaya kumpul hampir $100,000 dalam kurang sehari

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam masa kurang 24 jam sahaja, satu usaha mengumpul dana bagi mangsa banjir di Malaysia, berjaya mengumpul hampir S$100,000.

Sejak usaha yang diterajui Ustazah Sharifah Haslinda dari Aspire Institute itu diuar-uarkan semalam (22 Dis), beratus-ratus kotak baju dan barang keperluan juga didermakan orang awam.

Disebabkan oleh keterbatasan ruang dan logistik, pihaknya tidak dapat lagi menerima sumbangan orang ramai sejak 10 pagi tadi (23 Dis).

Sebaliknya, mereka kini amat mengalu-alukan para relawan untuk tampil membantunya membungkus barang-barang yang didermakan agar dapat menghantarnya ke Malaysia menjelang Ahad ini.

Namun, sehingga tengah hari tadi, masih ramai berduyun-duyun datang untuk menghantar barang-barang yang ingin didermakan kepada para mangsa banjir di Malaysia.

Ini meskipun Ustazah Sharifah Haslinda sudah memaklumkan di laman media sosialnya awal pagi tadi bahawa pihaknya tidak lagi menerima sebarang wang derma serta barang sumbangan.

BERJAYA KUMPUL HAMPIR S$100,000 DALAM SEHARI

Inisiatif itu pada asalnya hanya menyasarkan untuk mengumpul S$10,000.

Namun, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan sehingga berjaya mengumpul hampir S$100,000 setakat ini, hanya selepas usaha ini dilancarkan semalam.

Ustaz Yazid Muhammad Salleh, CEO & Founder Aspire Institut berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau amat terharu dengan sokongan yang diberikan.

"Pada mulanya kita tidak menjangkakan respons lebih daripada jangkaan ini. Pada mulanya kita ingat ia hanya skala kecil, kita cuma nak bantu dalam kemampuan kita tapi semalam sebelum kita buka pusat pun barang-barang dah sampai untuk membantu mangsa banjir di Malaysia. Pada pukul 2.00 petang tak berhenti-berhenti barang ni sampai," kata Ustaz Yazid.

Inisiatif tersebut tercetus apabila Ustazah Sharifah menulis catatan Facebook untuk bertanya jika ada di antara kenalannya yang tahu cara untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Malaysia.

Beliau juga berbesar hati apabila mendapat sokongan majikannya untuk mengizinkannya menggunakan ruang dan pekarangan pusat pengajian itu di Tampines sebagai tempat mengumpul dan membungkus barang sumbangan.

Meskipun baru semalam kutipan bantuan tersebut dijalankan, 80 peratus daripada ruang di sini sudah penuh sesak dengan sumbangan daripada para penderma.

(Gambar: Nur Arina Ahmad Anis/BERITAmediacorp)

Malah kesemua bilik-bilik juga dipenuhi dengan telekung, pakaian, makanan ringan dan juga selimut bagi para mangsa di Malaysia.

Ustazah Sharifah berkata beliau terharu melihat kesungguhan warga Singapura mahu membantu mangsa banjir di seberang tambak.

Justeru itu, beliau sebenarnya berat hati perlu menolak lebih banyak sumbangan daripada para penderma.

Ustazah Sharifah berkongsi: "Bila mereka menyerahkan sedekah ada di antara mereka yang menitikkan air mata dan menelefon saya untuk mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada mereka untuk membantu. Jadi saya berasa amat berat hati untuk menolak."

LEBIH RAMAI RELAWAN DIPERLUKAN KINI

Meskipun sudah menyenaraikan 13 barang keperluan asas untuk didermakan, pihaknya masih menerima barang-barang lain seperti langsir, beras dan pinggan mangkuk.

Itulah antara cabaran yang kini dihadapi Ustazah Sharifah.

"Ada yang tidak mengikut senarai yang diberikan. Kenapa kami menetapkan senarai itu adalah kerana barang-barang ini harus melalui kastam dan kastam memerlukan pengisytiharaan apa barang-barang yang akan dibawa keluar. Kita perlukan ramai relawan untuk datang membantu kami buat pengisihan, pembungkusan," menurut Ustazah Sharifah.

Antara barangan keperluan asas yang disenaraikan termasuk alas kaki seperti selipar atau kasut, telekung, tuala serta keperluan mandi seperti berus gigi dan sabun mandi.

(Gambar: Nur Arina Ahmad Anis/BERITAmediacorp)

Satu lagi cabaran adalah kaedah pemberian dana.

Meskipun sudah dimaklumkan akan hanya menerima sumbangan menerusi PayNow, ramai terutamanya warga emas yang ingin memberikan wang tunai.

Namun, beliau terpaksa menolak kerana memerlukan bukti transaksi.

Selain itu, mereka kini memerlukan bantuan para relawan untuk turun padang membungkus barang sumbangan bagi memastikan bantuan itu dapat 'sampai' ke para penerimanya di Malaysia secepat mungkin.

Menurutnya, para relawan dialu-alukan untuk datang ke cawangan Aspire Institut di Tampines esok pada pukul 8.00 pagi.

"Jadi untuk membantu kami, kami berharap tidak ada lagilah barang bantuan dihantar kepada kami sehingga kami selesaikan apa yang kita ada sekarang ini," ujar Ustazah Sharifah lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan