Skip to main content

Singapura

Usaha kolektif dakap AI akan bentuk asas kejayaan perniagaan dan negara: Rahayu Mahzam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha kolektif untuk mendakap Kecerdasan Buatan (AI) akan membentuk asas kejayaan untuk perniagaan dan negara.

Lantaran itu, para peniaga sektor makanan dan minuman (F&B) digalak memanfaatkan AI untuk terus kekal berdaya saing dan relevan.

Tambahan lagi, penggunaan AI juga mampu menjana peluang perniagaan baharu.

Demikian ditegaskan Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Rahayu Mahzam semasa berucap di satu forum SSA Group pada Khamis (17 Jul).

Dalam ucapannya, Cik Rahayu memberi contoh bagaimana peniaga syarikat kecil dan sederhana (SME) khususnya boleh mengambil langkah secara bertahap-tahap dalam menggunakan teknologi AI dalam perniagaan mereka.

Beliau berkata: "Satu permulaan yang baik bagi golongan SME adalah untuk meneroka dan berinovasi menggunakan peralatan AI secara percuma dan mudah diakses, yang tersedia di dalam ekosistem AI yang lebih besar sekarang ini."

Tambah beliau, para peniaga bukan sahaja harus memanfaatkan AI, bahkan perlu mengecap kejayaan menerusi penggunaan AI.

"AI boleh menyokong perniagaan anda, dan membawa manfaat merentasi operasi dan pasukan anda. Dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat hari ini, saya menggesa kita semua untuk menerapkan sikap "tangkas membaca peluang, bijak menyusun langkah". Cepat mengenali peluang, dan bijak dalam memanfaatkan sumber yang ada pada setiap peringkat," jelas beliau.

Diadakan di Insitut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI), forum yang bertemakan “Reimagining F&B in a Growing AI Environment”, (Membayang Semula F&B dalam Sekitaran AI yang Berkembang Pesat) itu dihadiri lebih 50 peserta.

Ia diadakan sempena Festival SkillsFuture 2025.

FORUM GALAK PENIAGA SME DAKAP AI

Selama sekitar tiga jam, para anggota panel yang terdiri daripada peniaga F&B, penyedia khidmat huraian AI serta pakar transformasi digital antara lain berkongsi tentang penggunaan AI secara praktikal dan bagaimana untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi perniagaan.

Misalnya, para peserta dapat mempelajari cara mengurangkan kos menerusi penggunaan ramalan data, serta memperkayakan lagi interaksi dengan pelanggan dengan menggunakan aplikasi AI.

Ketua Pegawai Eksekutif SSA Group, Encik Suhaimi Salleh berkata: "Forum ini diadakan pada waktu yang sangat relevan, kerana industri F&B sedang menghadapi perubahan besar akibat perkembangan teknologi. Kepentingan forum ini ialah untuk membuka ruang dialog dan perkongsian, bagaimana teknologi Kecerdasan Buatan (Al) boleh dimanfaatkan secara praktikal — bukan sahaja untuk kekal relevan, tetapi juga untuk berkembang maju."

Ujarnya lagi, perniagaan kecil dan sederhana harus melihat AI sebagai alat yang boleh memeningkatkan kecekapan operasi dan perniagaan masing-masing.

"Al bukan lagi sesuatu yang hanya digunakan oleh syarikat teknologi besar. Hari ini, perniagaan makanan boleh menggunakan Al untuk pengurusan dapur, khidmat pelanggan, malah analitik data pelanggan," ujar beliau.

GUNA AI PERBAIKI PROSES OPERASI PERNIAGAAN, PEMASARAN

Pemilik bistro Eminami, Cik Emina Abdullah, antara peserta yang menyambut baik perbincangan tentang faedah penggunaan AI dalam perniagaan.

"Saya pelajari daripada forum ini untuk memanfaatkan AI bagi menggiatkan lagi usaha kandungan, pemasaran dalam laman perniagaan untuk mendapatkan lebih ramai lagi pelanggan."

"Sebelum ini, saya tidak tahu sangat tentang AI. Saya perlu bergantung kepada ramai orang untuk mempromosikan perniagaan saya. Sekarang, dengan adanya aplikasi percuma seperti ChatGPT, saya rasa ia dapat membantu peniaga kecil-kecilan seperti saya," kata pemilik bistro yang terletak di Kandahar St itu.

Seorang lagi peserta ialah Cik Rina Rasid, pemilik bersama kedai barbeku & steamboat, Perap.

"Salah satu perkara yang saya rasa membantu saya menerusi forum tadi ialah untuk memikirkan perkara yang tetap dan tidak berubah dalam perniagaan. Berbanding daripada kita sekadar mengejarkan AI, seperti saya ketinggalan, tetapi kita perlu lihat juga apa yang tidak akan berubah untuk masa depan, kita fokus kepada perkara itu. Apa yang boleh dan akan berubah, kita boleh gunakan AI."

"Saya baru juga menggunakan AI, saya pelajari cara-cara untuk memperkukuh perniagaan saya. Menerusi forum ini, kami boleh buat lebih daripada apa yang saya buat untuk lebih berdaya saing. Saya boleh cuba memastikan kami lain daripada para pesaing perniagaan kami. Kami juga boleh cuba untuk memperbaiki proses operasi perniagaan," tambahnya lagi.

Forum yang dianjurkan sempena Festival SkillsFuture itu turut disokong Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Pada minggu depan, SSA Group akan menganjurkan pula satu sesi webinar berkenaan AI, untuk karyawan dalam sektor sumber manusia.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita