Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha kawal pembiakan nyamuk di 'zon merah' dipergiatkan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Usaha-usaha mengawal pembiakan nyamuk di kawasan kejiranan dipergiatkan dengan kes denggi dijangka akan menjangkaui rekod tertinggi mingguan.

Ini termasuk kawasan Choa Chu Kang, salah satu yang dikenal pasti sebagai 'zon merah'.

Menurut laman NEA, setakat 8 Jun Choa Chu Kang adalah salah satu daripada 130 kawasan dianggap berisiko tinggi dengan 10 kes atau lebih.

Maka itu, pihak majlis bandaran serta para aktivis akar umbi Choa Chu Kang giat meningkatkan pemeriksaan selain berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan para penduduk.

BERITAmediacorp sempat menyertai Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Encik Zhulkarnain Abdul Rahim pada Selasa (7 Jun) untuk melihat antara langkah pencegahan yang dilakukan di Choa Chua Kang.

STRATEGI PELBAGAI PENJURU CEGAH PEMBIAKAN NYAMUK AEDES

Sejak lebih banyak kes jangkitan denggi dikesan di kawasan undi Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan para aktivis akar umbinya mempergiatkan lagi usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan para penduduk.

"Kami masih meneruskan projek Wolbachia di kawasan ini yang dimulakan dua tahun lalu. Nyamuk jantan yang membawa bakteria Wolbachia dilepaskan di kawasan awam dalam usaha mengurangkan populasi nyamuk Aedes aegypti,"

"Ramai penduduk yang mengadu tentang kehadiran nyamuk yang tinggi jadi kami menerangkan kepada mereka mengapa ia harus dilakukan. Kami kongsi bersama mereka langkah-langkah lebih proaktif yang boleh mereka ambil untuk mencegah pembiakan nyamuk.

Di bawah projek Wolbachia, nyamuk jantan yang membawa bakteria Wolbachia dilepaskan di kawasan awam dan apabila ia mengawan dengan nyamuk betina, telur-telur yang dihasilkan tidak akan menetas dan ini dijangka boleh menurunkan jumlah nyamuk denggi dalam sekitaran.
Gambar: Rosli A Razak

Selain itu, pihak Majlis Bandaran telah juga mendapatkan khidmat sebuah syarikat swasta untuk memasang perangkap nyamuk.

"Kami telah meletakkan 11 mesin MN Ultron di merata kawasan Choa Chu Kang dan Bukit Batok Street 11. ia dietakkan dalam jarak 300 meter antara satu masa lain memandangkan jarak terbang nyamuk Aedes aegypti terbatas sekitar 150 meter.

"Nyamuk betina akan tertarik dengan air yang sudah dicampur dengan bahan kimia di dalam mesin itu dan kemudian bertelur di dalamnya. Kaki nyamuk betina akan diselaputi dengan bahan kimia dan ia akan membawa bersamanya ke takungan air lain. Nyamuk-nyamuk jantan yang hinggap di takungan air itu kemudian akan mati," jelas pengarah Empire Cleaning & Pest Control Pte Ltd, Encik Andrew S Chuck.

Menurut AP Encik Zulkharnain, usaha-usaha berterusan yang dijalankan di GRC tersebut kian menunjukkan hasil.

"Cuma ada tiga kelompok denggi di Keat Hong dan kurang daripada 10 kes denggi yang masih aktif di dalam masyarakat ini. Walau bagaimanapun, satu kes tu sudah banyak bagi kita. Kita bersyukur kerana ramai penduduk mengambil langkah dengan kita untuk mencegah pembiakan nyamuk ini," kata Encik Encik Zhulkarnain.

Gambar: Rosli A Razak
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menggesa orang ramai supaya mengambil tindakan segera bagi menangani lonjakan kes.

Jumlah kes mingguan pada Jun ini dijangka melepasi 2,000 kes iaitu melepasi rekod sebanyak 1,787 kes yang dicatatkan pada 2020.

FAKTOR CUACA DAN SEROTIP DENV-3 PUNCA LONJAKAN KES TAHUN INI

Menurut seorang ahli entomologi, Cik Jo Lynn Teh, terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada jumlah kes denggi yang tinggi tahun ini.

"Faktor pertama yang lain dari tahun-tahun sebelum ini ialah cuaca lebih panas dan lembab baru-baru ini. Cuaca sebegini lebih kondusif untuk pembiakan nyamuk.

"Kita ada hujan dan corak hujan yang turun sekali sekala dengan kuantiti yang banyak. Jadi setiap kali kita hujan turun sebegini ia akan menambah air takungan dan selepas hujan itu, ia akan diikuti dengan suhu yang panas yang akan mempercepatkan perkembangan telur nyamuk dari telur ke dewasa," kata beliau.

Ini selain kemunculan semula serotip virus DENV-3.

"Kita tidak pernah mengalami wabak denggi yang disebabkan oleh DENV 3. Selama 30 tahun, kita sudah biasa dengan serotip DENV-1 dan DENV-2 dan sudah mempunyai imuniti kelompok.

"Risiko kita tahun ini berbanding dengan tahun-tahun yang sebelum, semua orang yang masih belum mengalami DENV-3 akan terdedah kepada risiko ini terutamanya kalau kita masih belum mengawal pembiakan nyamuk dan leka mencegah gigitan," tekan beliau.

PEMBIAKAN DI KAWASAN PERUMAHAN ANTARA PENYUMBANG UTAMA KEPADA KES DENGGI

Hasil pemeriksaan yang dibuat, NEA mendapati kawasan perumahan masih merupakan antara tapak pembiakan nyamuk utama di sini dengan peratusan lebih kecil bagi kawasan umum, disusuli dengan tapak binaan.

Cik Jo Lynn juga menarik perhatian kepada dapatan kajian epidemiologi yang dijalankan NEA dan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock pada Ogos 2020.

Ia mengkaji kesan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ke atas bilangan tinggi jangkitan denggi yang dilaporkan.

"Saya ingin menekankan bahawa salah satu cabaran dalam usaha untuk mengawal nyamuk ialah kerana semua operasi ini tidak ada akses ke kediaman peribadi. Oleh itu tanggungjawab untuk memastikan kediaman peribadi tidak menyebabkan pembiakan nyamuk jatuh ke tangan individu–individu yang tinggal di kediaman tersebut," nasihat beliau.

Antara punca yang dikesan adalah masalah air bertakung di baldi, pasu-pasu bunga dan juga tempat mengeringkan pinggan mangkuk.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/rr

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa