Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha kawal dadah lebih sukar dengan pengaruh 'dadah rekreasi' di luar negara

Lebih banyak negara sudah benarkan penggunaan dadah seperti ganja. Pendedahan media sosial antara sebab ia semakin diterima.

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha kawal dadah lebih sukar dengan pengaruh 'dadah rekreasi' di luar negara

Ganja. (Gambar: Juan Mabromata/AFP)

SINGAPURA: Kes Joseph Schooling dan Amanda Lim menarik perhatian umum tentang pengambilan dadah yang diberi jolokan 'Dadah Rekreasi' di luar negara.

Ini sedang lebih banyak negara sudah mula membenarkan penggunaan dadah seperti ganja.

Pendedahan media sosial di mana penyalahgunaan dadah disensasikan menjadikannya semakin diterima.

GANJA - DADAH TERLARANG PALING DISALAH GUNA

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kanabis, marijuana atau ganja adalah dadah terlarang yang paling banyak ditanam, diperdagangkan dan disalah guna di seluruh dunia.

Marijuana merujuk kepada daun dan lain-lain bahan mentah pokok ganja.

Selain marijuana, kanabis dan ganja, nama lain yang sering digunakan dalam kalangan penagih dadah adalah 'grass', 'sayur, 'tarik daun', 'weed', 'pot' dan sebagainya.

Sesetengah negara membenarkan ‘ganja’ untuk kegunaan ‘perubatan’ atau rekreasi.

Para penyokong menyifatkannya dadah ‘lembut’ yang ada ciri ubat.

Kelonggaran undang-undang juga dikatakan membantu ekonomi.

BANYAK NEGARA BENARKAN GANJA UNTUK REKREASI

Semakin banyak negara kini yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan dan rekreasi.

Di Amerika Syarikat misalnya, penggunaan ganja secara rekreasi adalah sah di 18 wilayah manakala 37 wilayah membenarkannya untuk tujuan perubatan.

Kanada telah membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan sejak 2001.

Di negara-negara lain seperti Itali, penggunaan dadah rekreasi dalam jumlah yang kecil dan untuk tujuan perubatan dibenarkan.

Bagaimanapun menjual dan menghasilkan herba itu adalah satu kesalahan jenayah.

Di Australia, Canberra menjadi wilayah pertama di negara itu yang membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi.

THAILAND NEGARA ASIA TENGGARA PERTAMA LONGGARKAN PENGGUNAAN KANABIS

Pada Jun lalu, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand kanabis yang tidak melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) dikeluarkan daripada senarai narkotik yang diharamkan.

Pada tahun lalu, Thailand juga mengeluarkan ketum iaitu spesies pokok kopi yang mampu mengurangkan kesakitan dengan sedikit kesan khayal.

Ia diharamkan di beberapa negara termasuk Singapura kerana wujud risiko ketagihan.

DADAH REKREASI BERBAHAYA
Gambar fail pil. (Gambar: AFP/Philippe Huguen)
Selain ganja, Biro Narkotik Pusat (CNB) turut memberi amaran tentang penyalahgunaan dadah rekreasi atau dadah 'parti' yang popular di kalangan golongan muda.

Pada lalu pula, Biro Narkotik Pusat (CNB) telah menyenaraikan lagi 13 bahan psikoaktif baru (NPS) disenaraikan sebagai dadah terkawal Kelas A.

Ini selepas Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah mengenal pasti sekurang-kurangnya 1,124 NPS pada hujung 2021.
USAHA KAWAL DADAH LEBIH MENCABAR

Ketua Rumah Peralihan PERTAPIS, Encik Muhammad Sufian Salim berpendapat usaha mengawal dadah di Singapura kini semakin mencabar.

"Informasi yang mereka menerima dari internet dan juga dari beberapa negara yang sedang melonggarkan pendapat tentang penggunaan seperti marijuana dan sebagainya akan juga akan merangsang atau merunsingkan mereka tentang kepentingan untuk mengelakkan diri daripada salah guna dadah.

"Jadi dalam masa yang sama, remaja–remaja kita yang terdedah pada informasi sedemikian mereka mungkin keliru atau runsing tentang adakah dadah ini untuk kegunaan perubatan ataupun digunakan untuk rekreasi," jelas Encik Muhammad Sufian kepada BERITAmediacorp.

Ramai yang menurutnya akhir terjebak dalam kancah dadah.

"Ada kalanya juga mereka berniat untuk bersantai tenteram minda mereka bersama rakan-rakan. Mereka terfikir tentang masalah yang dadah ini akan menimbulkan dari segi undang–undang, fizikal dan juga sosial," tambah beliau.

Encik Muhammad Sufian menekankan Singapura mempunyai toleransi sifar terhadap dadah dan kesalahan mengambil bahan terlarang sangat serius di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan