Skip to main content

Singapura

Usaha Han Hui Hui, 5 yang lain isytihar langkah vaksinasi sebagai "salahi undang-undang' ditolak

Anggaran Waktu Membaca:
 Usaha Han Hui Hui, 5 yang lain isytihar langkah vaksinasi sebagai "salahi undang-undang' ditolak

Aktivis Han Hui Hui di Mahkamah Tinggi pada 3 Julai 2015. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 17 Jun 2022 08:15AM
SINGAPURA: Mahkamah Tinggi menolak percubaan aktivis politik, Han Hui Hui dan lagi lima individu lain, untuk membatalkan langkah-langkah berkaitan vaksin COVID-19 yang dilaksanakan Pemerintah.

Antara permohonannya termasuk permintaan agar mahkamah mengisytiharkan sebahagian arahan Pemerintah sebagai "menyalahi undang-undang" atau "tidak munasabah".

Menerusi pengadilan Hakim Singh Gill yang diterbitkan pada Khamis (16 Jun), beliau menolak hujah-hujah yang dikemukakan pemohon, sambil menambah statistik yang dipetik mereka tidak betul dan berdasarkan "anggapan yang tidak jelas".

Para pemohon mahu membatalkan makluman Pemerintah bahawa majikan boleh memberhentikan kakitangan yang memilih untuk tidak divaksin.

Mereka juga memohon untuk membatalkan "arahan" daripada Kementerian Kesihatan (MOH) yang menyatakan bahawa pesakit COVID-19 yang memilih untuk tidak divaksin harus membayar penuh kos bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Pada Oktober lalu, pihak berkuasa menyatakan majikan boleh memberhentikan pekerja mereka sebagai langkah akhir, jika aturan kerja alternatif tidak dapat dilaksanakan.

Ia juga mengumumkan bahawa mulai 8 Disember 2021, semua pesakit COVID-19 yang memilih untuk tidak divaksin harus membayar penuh bil perubatan mereka jika mereka dimasukkan ke hospital atau ke kemudahan-kemudahan rawatan COVID-19.

"Saya mendapati (pasukan bertindak berbilang kementerian) dan MOH mengambil langkah yang betul berdasarkan sebab-sebab wajar yang disokong oleh bukti-bukti objektif. Mereka tidak gagal dalam mengambil kira pertimbangan relevan mahupun yang tidak relevan," kata Hakim Gill.

Beliau menambah bahawa jelas pasukan bertindak berbilang kementerian dan Kementerian Kesihatan mempertimbangkan kajian-kajian bebas klinikal yang mengesahkan keberkesanan vaksin dan menimbangkan keadaan dengan menyokong langkah "memberi galakan menerusi insentif" kepada yang mengambil vaksinasi demi mengurangkan risiko terhadap masyarakat am.

Hakim Gill juga berkata jika pemohon berhujah bahawa mereka yang memilih untuk tidak divaksin perlu terus menerima subsidi penuh bagi bil perubatan mereka sekiranya dijangkiti COVID-19, ia bukan "perkara untuk diputuskan mahkamah".

Selain Cik Han, lagi lima pemohon yang dinyatakan namanya ialah Sng Su Hui, Yeo Sheau Yuen, Lim Beng Kwang, Lawrence Simon Anthony dan Muhammad Faizal Mustafa.

Semua enam pemohon itu diwakili peguam dan ahli politik pembangkang, Lim Tean.

STATISTIK TIDAK TEPAT, MENGELIRUKAN

Hakim Gill memutuskan bahawa makluman yang dikeluarkan pada Oktober tidak "dipengaruhi oleh penelitian kehakiman" memandangkan ia berasaskan "panduan yang dikeluarkan bebas daripada mana-mana kuasa berkanun dan tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang".

Para pemohon juga merujuk kepada statistik yang mereka sediakan sendiri berdasarkan data umum daripada MOH berhubung angka kematian dan mereka yang sakit teruk disebabkan COVID-19.

Mereka mendakwa bahawa lebih ramai orang yang sudah divaksin mati akibat COVID-19 berbanding mereka yang belum divaksin, setakat 5 Disember tahun lalu.

Mereka juga mendakwa terdapat lebih ramai orang yang sudah divaksin mengalami sakit teruk akibat COVID-19 dan dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) berbanding mereka yang belum divaksin.

Malah, mereka juga mendakwa data yang diterbitkan di laman MOH tahun ini pada 10 April menunjukkan "tidak seorang pun pesakit di ICU berusia 70 tahun dan ke atas dan belum divaksin sepenuhnya".

Berdasarkan statistik tersebut, pemohon berhujah bahawa tiada sebab munasabah bagi langkah-langkah yang diumumkan Pemerintah dan mereka "mengalami kemudaratan" akibat peraturan-peraturan berkaitan vaksin.

Peguam dari Pejabat Peguam Negara (AGC) berhujah bahawa cabaran pemohon "semata-mata berdasarkan statistik yang tidak tepat dan mengelirukan".

"Statistik kematian dan (yang sakit teruk) itu berdasarkan anggapan tertentu, yang tidak dijelaskan dengan terperinci atau mengandungi kesilapan."

Sekalipun jika mahkamah menerima perkiraan mereka, statistik itu hanya mengandungi jumlah kematian atau pesakit yang sakit teruk dan ia tidak mengambil kira kumpulan penduduk lebih meluas yang layak dan lengkap divaksin berbanding mereka yang belum divaksin.

Timbalan Pengarah Khidmat Perubatan (Kumpulan Kesihatan Awam) di MOH, Dr Heng Mok Kwee Derrick, membentangkan semula data yang menunjukkan bahawa angka kematian dan pesakit yang sakit teruk disebabkan COVID-19 adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang belum divaksin sepenuhnya berbanding yang sudah lengkap divaksin.

AGC juga menyatakan cara pemohon menggunakan statistik 10 April tersebut adalah "mengelirukan".

Mereka berhujah bahawa statistik yang digunakan pemohon adalah daripada tempoh yang singkat dan jangka waktu yang lebih panjang diperlukan untuk memperoleh data mencukupi untuk "membantu dalam penggubalan undang-undang".

Hakim Gill menambah bahawa "kumpulan kecil" individu 70 tahun ke atas yang belum lengkap divaksin "tidak wajar disifatkan sebagai perwakilan yang baik" bagi keseluruhan penduduk yang belum divaksin.

"Lebih tepat untuk membandingkan kadar insiden kes (pesakit tenat) dalam kalangan penduduk yang sudah lengkap divaksin dengan keseluruhan penduduk yang belum divaksin," kata beliau.

Hakim Gill berkata beliau akan secara berasingan mendengar permohonan bagi isu siapa yang harus membayar kos guaman dalam kes tersebut.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita