Usaha gotong-royong penuhi impian pengantin palsi serebrum
(Dari kiri) Pasangan Encik Herman Abdullah dan Cik Roszana Ali, usahawan Cik Fatimah Mohsin, dan pengerusi galeri Fatimah Mohsin The Wedding Gallery, Cik Rozana (Mak Na). (Gambar: Syafeera Mohamed Sofian/BERITA Mediacorp)
Tersentuh dengan kisah kegigihan wanita luar biasa ini untuk merealisasikan majlis perkahwinan yang diimpi-impikan itu, ramai daripada pelbagai latar belakang tampil untuk bergotong-royong memenuhi impian Roszana.
BAGAIMANA DATANGNYA 'REZEKI' INI ...
Ia bermula dengan persinggahan Cik Roszana, 33 tahun ke satu acara pameran di Singapore Expo pada Jun 2024, dengan berbekal harapan yang tinggi.
Beliau menanam hasrat untuk merealisasikan impiannya yang dipendam sejak kecil lagi - mendapatkan khidmat andaman Fatimah Mohsin.
Ini sekalipun beliau agak khuatir wang S$2,000, yang disimpannya semata-mata untuk mendapatkan khidmat Cik Fatimah, tidak mencukupi untuk 'memenuhi impiannya' itu.
Mengenang detik-detik pertemuannya dengan Cik Roszana, Cik Fatimah berkata: "Saya sebak sebab orang sepertinya yang kurang upaya, masih gigih hendak capai impian. Dia sangat berdikari. Dia boleh kerja hari-hari. Kadang-kadang dapat S$30, kadang-kadang S$10. Hujan tak dapat kerja. Tapi, dia masih ada semangat yang besar seperti setiap wanita (lain yang) nak kahwin."
Kesungguhan Cik Roszana untuk mendapatkan khidmatnya jelas menyentuh hati Cik Fatimah sehinggakan beliau rasa terpanggil untuk melakukan sebaik mungkin demi memastikan impian wanita yang bersemangat waja itu menjadi satu kenyataan.
Lebih menyayat hati, pasangan Cik Roszana, Encik Herman Abdullah, 43 tahunyang bertugas sebagai pelayan dalam industri F&B, turut bergelut dengan masalah kesihatan. Ini meskipun beliau telah pulih daripada barah limforma yang dideritanya pada 2008.
Menyedari bahawa Cik Roszana mungkin tidak akan dapat mampu merealisasikan impiannya, Cik Fatimah mengorak langkah untuk berkongsi kisah wanita itu di wadah Instagramnya.
Tanpa disangka, perkongsiannya itu menerima sambutan yang memberangsangkan, sehingga beberapa perniagaan tampil untuk turut serta.
Ini turut tidak dijangka Cik Roszana, yang hanya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan yang sederhana sahaja.
SEKADAR INGIN MAJLIS DI KOLONG BLOK SAJA, TAPI DAPAT LEBIH DARIPADA ITU ...
Pasangan itu pada awalnya, merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka kira-kira setahun selepas mengikat tali pertunangan pada Oktober 2024.
Ini memandangkan mereka mahu memastikan cukup simpan wang sejak mula menabung tiga tahun lalu.
Melihat sokongan kukuh yang diterima daripada pelbagai pihak, Cik Fatimah, selaku sosok yang bertanggungjawab menyelaraskan majlis perkahwinan mereka, telah menyarankan agar Cik Roszana dan Encik Herman melangsungkan perkahwinan mereka sembilan bulan lebih awal.
Ditemui di kedai ‘Fatimah Mohsin The Wedding Gallery’ di Ubi Rd selang dua hari sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan itu, Cik Roszana meluahkan rasa terharu atas jasa orang ramai yang tampil, baik yang sudi menajanya mahupun yang mengirimkan doa.
Ini kerana beliau tidak meletakkan apa pun harapan untuk mendapat sumbangan mana-mana pihak bagi majlis perkahwinannya, dan malah, ingin membiayai kos perkahwinan dengan wang simpanan hasil titik peluhnya bersama Encik Herman.
Cik Roszana menganggap ini semua sebagai satu ‘mimpi’.
“Sebenarnya, rancang buat di bawah blok saja. Itu rancangannya. Nak biasa-biasa saja. Sekali dapat, pun meletup. Dapat lebih daripada itu. Alhamdulillah. Semoga murah rezeki semuanya,” ujarnya dengan penuh syukur sambil menitiskan air mata.
BUSANA PERLU DISESUAIKAN KHUSUSNYA BAGI PENGANTIN PALSI SEBRUM
Sungguhpun ini bukan pertama kali Cik Fatimah menyantuni pengantin yang kurang upaya, ia tidak semestinya menjadikan ia mudah bagi Cik Fatimah untuk memenuhi keperluan Cik Roszana.
Disebabkan palsi sebrum, Cik Roszana mempunyai keterbatasan pergerakan, sehinggakan beliau hanya mampu berada di kerusi roda kebanyakan masanya.
Lantas, sukar bagi Cik Roszana untuk mengenakan mana-mana busana yang sedia ada.
Ia bahkan, memerlukan tiga orang untuk membantunya menyarung sehelai busana pengantin.
Cik Fatimah sempat berkongsi kesukaran yang dihadapi dalam memastikan Cik Roszana mempunyai persalinan busana yang sesuai dan selesa bagi majlis perkahwinannya.
“Pada awalnya, kami hadapi kesukaran. Nak masuk dari atas tak boleh, nak masuk dari bawah tak boleh, sehingga terbaring. Saya pun cakap potong teruslah, ada juga cara untuk kami pakaikan baginya,” jelasnya.
Tiga busana berona putih dan warna firus (turqouise) direka rapi sendiri oleh Cik Fatimah, bukan sahaja demi memastikan keselesaan Cik Roszana, tetapi bahkan menyerlahkan pesonanya sebagai permaisuri sehari.
Daripada lokasi majlis perkahwinannya kepada berkat, Cik Roszana menerima tajaan daripada lebih 15 perniagaan dalam industri perkahwinan tempatan.
Antaranya termasuk De Hall (lokasi majlis), HMP Studio (khidmat gambar dan videografi), Salwah Omar Wedding Cake (kek perkahwinan) dan Fatimah Mohsin sendiri (khidmat andaman dan busana).
Cik Roszana bahkan, turut menerima tajaan bagi kerusi rodanya.
Kos majlis perkahwinan yang diadakan sedemikian rupa, dengan kira-kira 400 hadirin, mencecah sehingga S$20,000.
Yang pasti, rezeki tidak pernah salah alamat!
Cik Roszana melangsungkan perkahwinannya dengan pilihan hatinya, Encik Herman pada Sabtu (15 Feb).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.