Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha gigih Dr Nurul Ain capai cita-cita mahu jadi doktor

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Walaupun hasratnya untuk melanjutkan pengajian di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) tidak menjadi kenyataan, tidak sesekali terlintas dalam fikiran Cik Nurul Ain Rejap untuk melupakan impian menjadi seorang doktor.

Untuk itu, beliau berusaha gigih dan diterima masuk ke dalam program perubatan DUKE-NUS pada 2018.

Hari ini (28 Mei), impian Cik Nurul Ain itu menjadi kenyataan setelah menerima ijazahnya di majlis konvokesyen Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Beliau antara 67 penuntut yang diraikan di majlis yang turut dihadiri keluarga dan kenalan secara fizikal, pertama kali dalam masa dua tahun.

INGIN BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT

Minat Dr Nurul Ain berputik daripada keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat selepas melihat arwah neneknya terlantar di hospital.

Beliau sedar bahawa tugas kakitangan penjagaan kesihatan sangat mulia kerana mereka mengutamakan kepentingan pesakit.

"Arwah nenek saya adalah seorang pesakit kencing manis dan harus menjalani rawatan dialisis tiga hari seminggu. Beliau sering keluar masuk hospital. Saya merasa kasihan melihat keadaannya serta pesakit-pesakit lain. Dari situ hati saya tergerak untuk menjadi seorang doktor," kata beliau.

Semangat membara itu mendorongnya untuk menyertai pasukan beruniform St Johns sewaktu di sekolah menengah.

Selepas tamat pengajian di Maktab Rendah St Andrews, Dr Nurul Ain berusaha mendapat tempat di sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) tetapi gagal.

Beliau beralih arah dan meneruskan pengajian di NUS dalam jurusan Kimia.

"Tentunya saya merasa kecewa tetapi saya lihat dengan persepsi dengan lebih positif. Saya gunakan peluang tersebut untuk memikirkan sama ada saya benar-benar ingin menjadi seorang doktor kerana kerjaya tersebut memerlukan komitmen yang besar," kongsi beliau.

Beliau juga terus aktif dalam pasukan St Johns serta menjadi relawan pasukan kecemasan di acara-acara besar seperti Perarakan Hari Kebangsaan (NDP) dan Formula 1.

Berkat kesungguhannya, beliau akhirnya diterima Sekolah Perubatan Siswazah Duke- NUS selama empat tahun.
(Gambar: BERITAmediacorp)
JALANI LATIHAN SEWAKTU PANDEMIK

Meskipun perlu menjalani latihan sewaktu pandemik, Cik Nurul Ain dan rakan-rakannya berjaya menyesuaikan diri.

"Apabila pandemik berlaku, pergerakan di dalam wad dihadkan, kami hanya dibenarkan berinteraksi dengan sejumlah pesakit yang diperuntukkan untuk pasukan saya. Jadi kami tidak pergi ke wad lain untuk bertemu dengan pesakit-pesakit dengan penyakit lain. Namun kami dapat mengatasinya dengan berkongsi nota dengan rakan-rakan yang ditugaskan di wad-wad lain," dedah beliau.

Hari ini (28 Mei) anak sulung empat beradik seorang pemandu Grab dan suri rumah sepenuh masa itu kini berjaya memenuhi impiannya menjadi doktor.

Beliau dalam kalangan 67 graduan menerima ijazah mereka daripada Menteri Pendidikan Encik Chan Chun Sing.
(Gambar: BERITAmediacorp)
"Kolaborasi yang kukuh antara Duke dengan NUS sudah memberi manfaat kepada penuntut jurusan perubatan daripada pelbagai latar belakang, memperkasakan mereka untuk mencapai aspirasi mereka menjadi pegawai perubatan yang berkebolehan untuk merawat masyarakat kita atau berkhidmat sebagai saintis-klinisian dalam sektor jagaan kesihatan dan bioperubatan," kata Encik Chan

Kita akan terus meneroka untuk mencari kerjasama antarabangsa seperti itu untuk memperkayakan landskap pendidikan tinggi," tambah beliau.

Mengenai rancangan masa depannya pula, Dr Nurul Ain berkata beliau tertarik untuk bekerja di jabatan kecemasan (A&E).

"Saya tertarik dengan kerjasama doktor dan jururawat di jabatan kecemasan yang menangani berbagai-bagai jenis kes setiap hari dan ia sangat mencabar," kata beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan