Usaha diperluas untuk asah bakat kepimpinan belia Melayu/Islam menerusi ekspedisi ke luar negara
SINGAPURA: Pengalaman membantu golongan memerlukan di luar negara boleh membina daya tahan dan bina kemahiran kepimpinan kumpulan belia Melayu/Islam ini.
Itulah antara yang harap dapat dicapai Emaan Catalyst Community (ECC) menerusi program khidmat-pembelajaran di luar negara.
Sepanjang hampir 10 tahun, ECC sudah membawa sekitar 2,000 relawan belia berusia antara 15 hingga 35 tahun bagi projek-projek di Indonesia, Kemboja dan Vietnam.
Antara yang meraih manfaat daripada usaha itu ialah Sayyid Harith Mohd Haron.
Beliau dan kumpulannya, APEXpedition Project ACE 2024 akan ke Lombok Disember ini untuk menghulur bantuan dan berkongsi ilmu di sana.
"Sejauh ini, kami telah melakukan pelbagai aktiviti untuk mempersiapkan kami untuk menjalankan projek ini yang akan berlangsung pada bulan Disember. Setakat ini, kami telah melakukan aktiviti seperti merancang garis masa dan juga perancangan perbelanjaan, untuk memastikan kami ada kewangan yang baik untuk melakukan projek ini," kongsi Pengarah Projek Bersama, Sayyid Harith Mohd Haron kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Kami telah melakukan kunjungan 'recce' ke tempat yang kami akan melakukan projek itu iaitu di Lombok, Indonesia dan antara contoh tempat yang kita akan pergi ialah di Gerung di mana kami akan bekerjasama dengan para pelajar sekolah rendah mereka untuk mengajar mereka tentang kebersihan diri, mengajar mereka tentang menggunakan teknologi seperti komputer riba dan sebagainya. Dan selama ini kami juga telah bekerja rapat dengan pihak ECC kerana mereka mempunyai pengalaman menganjurkan projek-projek seperti ini," tambah belia berusia 25 tahun itu.
PELAJARI CARA LAKUKAN PROJEK DI LUAR NEGARA
Menerusi bimbingan ECC juga, pasukan itu dapat mempelajari cara-cara melaksanakan projek di luar negara.
Ini termasuk berurusan dengan pihak di luar negara itu dan mendapatkan persetujuan mereka akan program-program yang dilakarkan serta penerimaan projek itu terhadap masyarakat tempatan di sana.
Di Lombok juga, pasukan itu bakal berkongsi ilmu dengan kanak-kanak di sana tentang penghargaan terhadap alam persekitaran.
"Satu aktiviti yang kita akan lakukan untuk mengajar mereka tentang aspek ini ialah penghasilan kompos dengan sisa-sisa makanan yang mereka ada. Mereka akan dapat kompos dan gunakan tanah itu dan juga gas yang dihasilkan untuk memasak," jelas Encik Sayyid.
"Aktiviti terakhir yang kita akan lakukan di sana ialah kita akan dapat mempelajari dan mendekati dengan perusahaan sosial di sana dan kami dapat akan mempelajari tentang projek-projek yang dilakukan di sana," tambah beliau.
Encik Sayyid turut berkongsi manfaat menjalani projek sebegitu sebagai seorang belia di Singapura dalam mempertingkatkan kemahiran mereka untuk pelbagai aspek.
"Dalam pembangunan diri dan kepimpinan kerana kami harus menerajui projek ini dengan satu pasukan yang agak besar dan akan ke luar negara dan tambahan lagi kepada itu, kami akan perlu belajar dan dapat manfaat tentang kemahiran komunikasi. Kita harus berkomunikasi dengan pelbagai pihak untuk memastikan projek ini akan berjaya. Jadi dari segi manfaat yang lain juga, kami telah mempelajari banyak tentang penduduk-penduduk tempatan di Lombok di Indonesia dan kami pun akan dapat belajar konsep menjadi 'Global Citizen' atau penduduk global di Singapura," ujar Encik Sayyid.
"Kita pun dapat mempelajari dan memahami tentang kehidupan mereka setiap hari di Lombok dan bagaimana mereka dapat menjana pendapatan dan juga dapat memperkasakan ekonomi mereka di sana juga," tambah beliau.
LUASKAN EKSPEDISI KEPADA LEBIH BANYAK NEGARA DENGAN GERAN
Malah, dengan kerjasama bersama Pasukan Belia Singapura (YCS), ECC dapat memperluaskan lagi ekspedisi-ekspedisi khidmat-pembelajaran kepada lebih banyak penerima bantuan di tempat-tempat yang kurang mendapat perhatian di Asia.
Mereka dapat melakukan demikian dengan dana yang diperoleh menerusi satu kerjasama yang dijalinkan bersama Majlis Belia Kebangsaan di bawah geran pendanaan program YEP.
Dengan sokongan daripada YCS untuk tempoh April 2024 hingga Mac 2025, ECC akan memperluaskan lagi pengalaman khidmat-pembelajaran kepada lebih banyak negara.
Ini membuka pintu kepada lebih ramai belia Singapura, kumpulan masyarakat dan pasukan korporat berusia 15 hingga 35 untuk menyertai ekspedisi pembelajaran-khidmat di ASEAN, China dan India.
"Kita boleh mereka program-program yang (memberi) lebih kesan bukan hanya kepada masyarakat yang kita tolong tetapi juga kepada sukarelawan atau belia-belia yang menyertai ekspedisi kami. Dahulu, kami hanya memberi tumpuan kepada tiga buah negara tetapi sekarang dengan adanya dana ini, kami boleh mengembangkan sayap kepada lagi tujuh buah negara. Antaranya adalah China, India dan Thailand," kongsi Pengurus Program ECC, Encik Muhammad Suhaimi Pa’at.
"Kita harap dengan mengadakan program berkesan ini, ia akan memberi belia yang menyertai ekspedisi ini dengan lebih banyak pengalaman yang lebih global dan yang terkini untuk mereka menggunakan apabila mereka habis ekspedisi ini," tambahnya.
ECC AKAN LAKARKAN PROGRAM BAHARU
Encik Suhaimi turut berkongsi tentang beberapa program baharu yang akan dilakarkan ECC dengan geran tersebut.
"Antara program baharu yang kami melakarkan memberi tumpuan kepada tiga. Satu adalah mengenai mutu kepimpinan dan yang kedua adalah keusahawanan sosial. Yang ketiga adalah kesedaran global. ECC juga sedang melakarkan program-program yang kami juga telah laksanakan seperti STEM modul, yang kami ajarkan kepada murid-murid atau pelajar daripada sekolah yang kurang kemampuan," jelas Encik Suhaimi.
"Kami juga menawarkan projek-projek yang sedang kami lakarkan dan juga laksanakan antaranya adalah 'Clean Water Project' atau Projek Air Bersih. Yang kedua adalah mengenai wakaf ladang nangka dan juga kami membuat pengumpulan dana bagi biasiswa untuk pelajar-pelajar cemerlang dari keluarga yang tidak kemampuan," tambahnya.
Ini juga berikan mereka peluang untuk melebarkan sayap kepada lebih banyak negara.
"Dengan adanya penambahan dana ini, kita dapat mengembangkan sayap kami. Dulu kita memberi tumpuan hanya di negara Kemboja sahaja. Di kemboja, apa yang kita telah lakukan antaranya ialah membina asas dan membuat sekolah di sana tetapi dengan dana ini, kita dapat mengembangkan sayap itu. Kita dapat membawa mereka ke Lombok. Di Lombok, kita memberi tumpuan hanya kepada dua iaitu pembinaan keupayaan juga. Yang kedua adalah kemampanan sekitaran," tambah beliau.
Sepanjang hampir sedekad, ECC sudah membawa sekitar 2,000 relawan belia berusia antara 15 hingga 35 tahun dari sekolah, institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat.
Menerusi inisiatif itu, mereka sudah menghulurkan bantuan kepada 100,000 penduduk Asia Tenggara terutama di Kemboja, Indonesia dan Vietnam.
BELIA DIGALAK SERTAI EKSPEDISI ECC
Sokongan tambahan ini juga membolehkan lebih ramai relawan belia meraih manfaat daripada projek ini.
"Emaan Catalyst memainkan peranan yang strategik iaitu menjadi jambatan kepada semua MMOs di Singapura, madrasah-madrasah tempatan di Singapura dan juga masjid-masjid untuk mereka mengetahui adanya program-program ini dan juga mendapat geran-geran yang dapat kami berikan kepada mereka," ujar Encik Suhaimi.
"Justeru, kami menyeru dan mengalu-alukan kepada semua MMO di sana, belia-belia, masjid dan juga madrasah-madrasah untuk menyertai program atau ekspedisi kami yang berkesan ini, melalui YEP. Insya-Allah dengan adanya geran ini, ia dapat membantu mereka untuk melakarkan atau merekakan program-program yang lebih berkesan lagi kepada masyarakat yang memerlukan," tambahnya.
Dengan geran tersebut, sehingga 50 peratus biaya projek akan ditanggung menerusi pendanaan YEP.
Lebih banyak maklumat tentang inisiatif ECC dan cara mengambil bahagian dalam YEP boleh didapatkan di laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.