Usaha bela & pupuk penulis perlu dipergiat demi martabatkan sastera Melayu SG
Anggaran Waktu Membaca:

(Gambar: NLB)
SINGAPURA: Usaha untuk membela dan memupuk bakat para penulis perlu dipertingkatkan melalui sokongan yang menyeluruh demi menyemarakkan dan memartabatkan lagi dunia sastera Melayu di Singapura.
Ini meskipun pelbagai wadah sudah disediakan bagi membantu para penulis mengharungi cabaran-cabaran semasa.
Mentelah lagi, mereka berdepan dengan cabaran-cabaran seperti kemajuan teknologi yang pesat dan sarat yang secara tidak langsung menyebabkan minat membaca berkurangan serta kelemahan masyarakat berhubung penguasaan Bahasa Ibunda.
Dalam pada itu, penyaluran hasil karya mereka untuk disebarkan kepada masyarakat juga sudah jauh berbeza pada ketika ini.
Presiden Angkatan Sasterawan '50 (ASAS '50) Encik Suraidi Sipan berkata: "Jika suatu ketika dahulu karya-karya mereka dapat disiarkan melalui akhbar dan majalah tetapi ketika ini mereka harus menyalurkan karya melalui media sosial (internet) tanpa imbalan honorarium. Tidak semua penulis yang dapat melakukan sedemikian."
Beliau menambah tidak semua penulis yang menghasilkan karya-karya mereka juga dapat diterbitkan melalui pencetakan seperti buku oleh syarikat-syarikat penerbit buku yang terdapat di Singapura.
USAHA MEMBELA PENULIS SG
Lantaran itu, Encik Suraidi menasihatkan para penulis supaya sedia maklum dengan badan-badan yang berupaya membela nasib mereka.
Beliau merujuk bagaimana ASAS '50 selama ini memelihara dan melindungi hak cipta penulis yang menghasikan karya melalui pertubuhan itu.
Walaupun ASAS '50 adalah sebuah pertubuhan bukan mencari untung, Encik Suraidi menekankan pertubuhan itu sentiasa membuka pintu kepada para penulis, baik ahli ASAS '50 mahupun sebaliknya.
"Setiap tahun ASAS ’50 menghasilkan sebuah antologi berbagai genre hasil karya penulis-penulis dari ahli dan bukan ahli. Sambutannya amat menggalakkan," jelas beliau.
Usaha dijalankan ASAS '50 itu selaras dengan visi pertubuhan tersebut sejak ia diasaskan iaitu melindungi hak dan kepentingan semua ahli dan penulis.
Badan-badan lain seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) juga kerap menganjurkan sesi-sesi sastera antarabangsa serta beberapa majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Hadiah Persuratan.
Langkah sedemikian selain mengiktiraf sumbangan para penulis, juga mengangkat serta membela mereka agar dipandang tinggi oleh masyarakat Melayu serantau.
TEBAR SAYAP KE LUAR NEGARA
Galakan untuk menebarkan sayap ke luar negara turut dipersetujui dua penulis mapan daripada generasi yang berbeza.
Penulis veteran Jamal Ismail berkata: "Tidak ada pilihan lain kerana dia ada satu pengalaman orang Singapura yang sangat unik yang perlu dikongsi di seluruh dunia.
"Karya-karya itu mungkin boleh diterjemahkan di peringkat awal dalam bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris."
Farihan Bahron yang baru-baru ini menerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2023 berpendapat apabila seseorang penulis berjaya ke luar negara, ia memperluaskan lagi skop dan daya kreativiti mereka sendiri.
Bagi Encik Suraidi, beliau menekankan proses penerbitan di Singapura mungkin tidak dapat dilakukan oleh sebilangan penulis.
Namun, perkara itu tidak sepatutnya menghambat dan menghalang mereka daripada terus berkarya.
"Mereka juga harus melalui proses-proses tertentu sebelum diterima untuk diterbitkan. Mereka juga harus melihat peluang-peluang penerbitan di luar dari Singapura," ujarnya.
USAHA MENGASAH BAKAT & PENDANAAN
Majlis Seni Kebangsaan (NAC) misalnya menyediakan beberapa skim pembiayaan dana untuk membantu para penulis menerbitkan karya-karya mereka.
Selain itu, NAC juga menganjurkan beberapa peraduan menulis dan pesta-pesta khusus bagi meningkatkan tahap kesusasteraan negara.
Encik Farihan berkongsi beliau sendiri pernah menyertai peraduan seperti Anugerah Pena Emas dan hadiah wang tunai menjadi sumber untuk beliau menerbitkan karya-karyanya.
Beliau menambah: "Saya kira kalau penulis mapan yang mereka yang sudah tulis berzaman, saya fikir mereka tidak perlu lagi hendak memikat hati para pembaca sebab bukan kerana mereka tidak mahu bergerak dengan zaman tetapi saya fikir mereka perlu menulis apa yang mereka fikirkan.
"Para penulis yang mungkin lebih muda sedikit. Mungkin perlu ada tolak ansur sedikit. Mereka mungkin perlu menyentuh lebih tentang konteks sosial masa kini."
Encik Jamal juga bersetuju bahawa wadah seperti pertandingan merupakan satu peluang yang baik untuk mencungkil dan kemudian mengasah bakat penulis muda.
"Itu adalah permulaan tetapi jangan berhenti di situ. Ertinya kita hendaklah terus mencari. Yakin diri bahawa kita perlu tulis sesuatu yang luar biasa baru dapat perhatian," kata beliau.
Sungguhpun demikian, memastikan generasi pelapis terus kekal berkarya juga merupakan satu cabaran.
Encik Suraidi akur bahawa dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini ada timbul sejumlah penulis baharu namun mereka tidak lama dalam bidang sastera Melayu Singapura.
"Bagi mengatasi permasalahan ini, kami mengharapkan semua
pihak harus berganding bahu.
Sebagai contoh, badan-badan pertubuhan masyarakat Melayu/Islam harus mengambil inisiatif menggalakkan kegiatan seperti peraduan mengarang atau menulis dalam bahasa Melayu," kongsi beliau.
Beliau menambah bahawa mereka yang telah dikenal pasti mempunyai bakat menulis harus terus diberi bimbingan dan tidak dibiarkan begitu sahaja.
Sebagai contoh, Encik Suraidi menekankan harus ada usaha untuk mengetengahkan mereka di forum-forum penulisan dan perbincangan.
Beliau berkata: "Sebenarnya banyak yang dapat dilakukan dan dapat dijadikan kenyataan andainya ada kerjasama dari semua pihak."
Sudah tentu sekali, ini melibatkan seluruh ekosistem bahasa Melayu itu sendiri termasuk dari peringkat bimbingan ibu bapa di rumah, didikan para guru di sekolah serta galakan masyarakat secara amnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di setiap peringkat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.