Skip to main content

Singapura

Usaha bawa seni batik lebih dekat kepada golongan berkeperluan khas sempena ulang tahun ke-10 Enabling Village

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seni dapat menyatukan tidak kira latar belakang mahupun keupayaan.

Itu antara faktor yang mendorong Pengasas Restoran AMGD Superfood, Rita Zahara untuk menganjurkan sebuah program khas di restorannya yang terletak di Enabling Village sempena ulang tahunnya yang ke-10.

Bagi program ‘Artist-in-Residence’ itu, beliau mengundang pelukis batik, Ika Zahri Sarkasi, iaitu anak kepada Almarhum Sarkasi Said, mencanting batik di restoran tersebut.

"Acara ini dapat membuat ruang kepada masyarakat untuk lebih mengenali batik, berinteraksi dengan artisnya, mengenali tentang coraknya dan warnanya dan seni itu bukan sahaja hiasan, tetapi sesuatu yang mereka boleh berinteraksi bersama," kata Cik Rita.

"Saya rasa ini adalah ruang yang baik untuk mempromosikan lagi seni melalui batik dan kami ingin melakukan lebih banyak lagi program seperti ini di masa hadapan," tambahnya lagi.

Ia juga sebagai satu penghormatan buat Almarhum Sarkasi Said.
Pengunjung ke Enabling Village dan orang awam boleh menyertai sesi melukis batik dan beberapa program lain yang disediakan.

"Kita ingin menunjukkan cara kita membuat batik jadi orang ramai tahu kerana tidak ramai yang tahu macam mana cara kita membuat batik," kata Encik Ika.

"Satunya di restoran, jarang orang membuat batik. Kita dapatkan idea daripada restoran-restoran yang lain. Di restoran terdapat 'live band', ada orang main piano dan segalanya. Jadi, batik pun sama juga kerana kita dapat menunjukkan lukisan dan orang bertanya, kita menjawab," tambahnya lagi.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, ia turut dapat memupuk minat masyarakat, terutamanya golongan muda.

"Ini merupakan sesuatu perkara yang unik kerana ia sangat jarang dilakukan. Jadi, jika kita boleh melakukannya di restoran kita adakan lukisan, kita boleh melukis supaya mereka dapat melihat gambar-gambar batik yang kita pamerkan di restoran tu. Itulah satu caranya untuk kita pupukkan minat daripada golongan golongan muda, yang tua dan sebagainya," kata Encik Ika.

BAWA SENI BATIK LEBIH DEKAT LAGI KEPADA GOLONGAN BERKEPERLUAN KHAS

Selain memupuk minat terhadap seni batik, ia juga satu usaha untuk membawa seni itu lebih dekat lagi kepada golongan berkeperluan khas di Enabling Village, sekali gus menjadikannya lebih inklusif.

"Kami ingin seni batik ini lebih inklusif di mana mereka yang kurang upaya dapat mengekspresikan diri mereka dan juga dapat berinteraksi dengan pelukis-pelukis yang lain," kongsi Cik Rita.
Related article image
Rita Zahara (kanan). (Gambar: Hidir Ezat)
"Ini adalah ruang yang selamat untuk mereka merasakan mereka dapat menjadi diri mereka sendiri dan kami rasa lebih ramai dapat mengenali mereka yang kurang upaya kerana seni boleh menjadi platform untuk mendekati masyarakat dengan mereka yang kurang upaya," tambahnya lagi.

Acara tersebut akan berlangsung di Restoran AMGD Superfood, Enabling Village hingga hari Khamis (11 Dis).
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita