Skip to main content

Singapura

Usaha baru untuk semarakkan kerjasama MMO dan M³ - Masagos

Antara bidang tumpuan itu termasuk memperkukuh unit keluarga, mempertingkat sokongan bagi banduan dan keluarga, serta membina keupayaan belia Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA:Masyarakat Melayu/Islam boleh menjangkakan lebih banyak program dan inisiatif di bawah kerjasama M³ - MUIS, MENDAKI, MESRA, dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO).

Dalam ucapan tahunannya di acara Perjumpaan Hari Raya Secara Maya Bersama Menteri hari ini (21 Mei), Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli mengumumkan bahawa dana akan disediakan bagi MMO menganjurkan projek-projek yang selari dengan bidang-bidang tumpuan M³.

Antara bidang tumpuan itu termasuk memperkukuh unit keluarga, mempertingkat sokongan bagi banduan dan keluarga, serta membina keupayaan belia Melayu/Islam.

PROSES LEBIH MUDAH, CEPAT MOHON DANA CLF

Dana yang boleh dimanfaatkan oleh MMO itu akan disediakan menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) kelolaan Yayasan MENDAKI.

Encik Masagos menjelaskan, "Dana CLF dapat memberikan sokongan tambahan bagi program-program ini. MENDAKI juga sedang menyemak proses permohonan bagi CLF untuk membuatnya lebih mudah dan kemas, termasuk memendekkan jangka masa permohonan, daripada 12 minggu ke 4 minggu,"

Jangka masa lebih singkat untuk memproses permohonan itu kata Encik Masagos akan memberi MMO lebih banyak waktu untuk melaksanakan program-program mereka.

Sepanjang tiga tahun lalu, sebanyak 225 program CLF dianjurkan oleh 92 rakan kerja CLF bagi menangani isu-isu masyarakat.

Program-program CLF dibiayai oleh Dana Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam (MMCDF) yang dibangunkan pada 1991.

Antara sumber MMCDF adalah sumbangan masyarakat menerusi sumbangan bulanan CPF mereka dan acara-acara kutipan dana serta geran pemadanan pemerintah.
Setiap tahun, sekitar S$2.6 juta diperuntukkan bagi membiayai program-program CLF.

Permohonan bagi pendanaan CLF bagi program-program yang bakal dianjurkan pada 2022 akan dibuka dari 1 hingga 15 Jun 2021.

Para pemohon akan mendapat tahu keputusan permohonan mereka dalam masa empat minggu bagi memberi mereka masa yang mencukupi untuk membuat perancangan program mereka.

Selain dana, MMO juga boleh memanfaatkan jangkauan meluas M³ kepada masyarakat menerusi rangkaian 11 M³@Bandar.

Antara contoh kerjasama MMO dengan M³ adalah projek PERTAPIS yang mengendalikan sebuah rumah tumpangan dan menjalankan usaha-usaha untuk membantu banduan Melayu/Islam.

PERTAPIS bakal bekerjasama dengan MUIS menerusi inisiatif pejabat FITRAH dengan menganjurkan program-program pengayaan dan amalan-amalan terbaik untuk menyokong banduan Islam serta keluarga mereka.

PROGRAM BARU PERKUKUH PEMBANGUNAN KEPIMPINAN

Encik Masagos juga mengumumkan satu program baru bagi memperkukuh pembangunan kepimpinan di kalangan warga muda dalam masyarakat sebagai pelapis.

Diberi nama 'Tunas Bersama M³', program tersebut akan memberi tumpuan pada usaha melatih dan memberi pendedahan kepada pemimpin muda yang memegang jawatan tinggi dalam MMO dan berusia 45 tahun ke bawah.

"Mereka akan berpeluang dilatih dalam bidang urus tadbir dan kepimpinan. Mereka juga akan menghadiri sesi bertukar-tukar fikiran bersama para pemimpin Pemerintah supaya lebih peka tentang isu-isu semasa dan konteks di sebalik dasar-dasar yang telah menyumbang kepada pembangunan Singapura," kata Encik Masagos.

Encik Masagos berharap peserta program baru itu akan dapat mengusulkan projek-projek baru yang dapat dilaksanakan di bandar-bandar M³.

Program itu juga akan disokong oleh MENDAKI menerusi CLF.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita