Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha baru akan dilancar; bantu keluarga Melayu di flat sewa miliki rumah sendiri

Satu usaha baru akan dilancarkan bagi menghulurkan bantuan lebih menyeluruh kepada keluarga-keluarga Melayu yang menetap di flat-flat sewa. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu usaha baru akan dilancarkan bagi menghulurkan bantuan lebih menyeluruh kepada keluarga-keluarga Melayu yang menetap di flat-flat sewa.

Bantuan di bawah daya usaha yang diberi nama Projek DIAN@M³ itu meliputi bidang-bidang seperti pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan sokongan sosial.

TEKAD MASYARAKAT SOKONG PENGHUNI FLAT SEWA

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengumumkan usaha terbaru masyarakat itu kepada para wartawan dalam satu sesi taklimat oleh para pemegang jawatan politik Melayu mengenai dapatan banci penduduk 2020.

"Projek DIAN@M³ adalah satu inisiatif bagi mencerminkan azam masyarakat untuk menyokong keluarga-keluarga yang menetap di flat sewa menerusi penyepaduan aset dalam masyarakat untuk mendorong keluarga-keluarga ini ke arah pemilikan rumah," jelas Encik Masagos.

Bagi fasa pertama projek itu, ia akan dikendalikan di M³@Geylang Serai, M³@Bedok, M³@Jalan Besar dan selepas itu dikembangkan ke rangkaian lain di bawah inisiatif M³@Bandar.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman akan melancarkan projek itu tidak lama lagi dan bakal memberikan perincian lanjut mengenainya.

Usaha terbaru ini juga diharap dapat menangani peningkatan mendadak pada jumlah keluarga Melayu yang menetap di flat-flat sewa.

Menurut dapatan banci penduduk, jumlah keluarga Melayu yang menetap di flat sewa satu dan dua bilik, meningkat dari 9,100 pada 2010 kepada sekitar 18,600 pada 2020.

Encik Masagos turut menarik perhatian bahawa ada dalam kalangan keluarga tersebut yang merupakan keluarga baru yang memerlukan tempat tinggal sementara sedang mereka memantapkan kedudukan kewangan keluarga.

Menurut beliau, aturan menetap di flat sewa ini patut dijadikan sebagai huraian sementara sahaja sedang mereka berusaha untuk memiliki rumah mereka sendiri.

"Kami khuatir mereka akan terus hidup di sana tanpa memikirkan bagaimana mereka dapat memiliki rumah sendiri. Apatah lagi mereka juga bekerja dalam bidang-bidang seperti ekonomi gig di mana tidak ada simpanan CPF," kata Encik Masagos.

Selain golongan itu, terdapat juga keluarga-keluarga yang kehilangan flat lama mereka disebabkan oleh pelbagai faktor dan ada juga warga emas yang tidak mendapat sokongan keluarga dan berpindah ke flat sewa, tambah Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

Tambahnya lagi, "Bagi warga emas yang tinggal di flat sewa awam, Projek DIAN@M³ akan cuba menstabilkan keadaan sosial dan ekonomi mereka."

RAMAI KELUARGA MELAYU PINDAH DARI FLAT SEWA KE RUMAH SENDIRI
Walau bagaimanapun, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata trend pemilikan rumah dalam kalangan keluarga Melayu yang menetap di rumah sewa agak memberangsangkan.

Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar; BERITAmediacorp)

"Kita lihat trend lima tahun yang lalu, sekurang-kurangnya 40% dalam kalangan mereka yang pindah dari flat sewa ke rumah beli adalah masyarakat Melayu dan juga mereka yang sedang tunggu untuk membeli rumah atau untuk mengambil kunci rumah mereka masa kini (berpindah) dari flat sewa kepada rumah beli, 40 peratus adalah daripada masyarakat Melayu," kongsi Dr Faishal.

"Jadi ini menunjukkan apa yang kita lakarkan sedang membuahkan hasil di mana kita telah memberikan ruang dari segi geran-geran yang ada dari segi pendekatan untuk masyarakat kita berpindah ke rumah beli."

Di peringkat nasional pula, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) juga akan bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan rakan-rakan kerja yang lain untuk sama-sama menyediakan sokongan bagi keluarga-keluarga yang menetap di flat-flat sewa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan