Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha bantu penjaga warga emas secara menyeluruh sedang dikemas kini - Rahayu

Selain menyediakan lebih banyak bantuan bagi para penjaga menerusi Geran Penjagaan di Rumah, Pemerintah juga sedang mengemas kini Pelan Bertindak Bantuan Penjaga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selain menyediakan lebih banyak bantuan bagi para penjaga menerusi Geran Penjagaan di Rumah, Pemerintah juga sedang mengemas kini Pelan Bertindak Bantuan Penjaga.

Ini bermakna, para penjaga - terutama sekali wanita - tidak lama lagi akan mendapat sokongan menyeluruh yang lebih baik. Contohnya, aturan kerja yang fleksibel dan lebih banyak akses kepada khidmat jagaan sementara.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam ketika mengulas tentang pengumuman-pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkaitan isu wanita.

Semasa menggulung Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura, Perdana Menteri Lee Hsien Loong antara lain mengumumkan bahawa satu skim agihan S$200 sebulan akan dipertingkat demi membantu para penjaga tertentu.

"Kita dalam usaha untuk mengemas kini pelan ini (Pelan Bertindak Bantuan Penjaga) dan melihat bagaimana kita dapat terus menambah kepada usaha ini. Misalnya, bagaimana kita dapat memberikan sokongan untuk 'respite care' (khidmat jagaan sementara) kerana itu adalah sesuatu yang banyak dipersoalkan.

"Kita juga lihat di mana, dalam estet-estet tertentu, kita ada masyarakat mesra demensia," kata Cik Rahayu yang juga merupakan pengerusi bersama usaha Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura.

TUGAS JAGA KELUARGA "AMAT BERAT" PADA WANITA

Semua usaha yang sedang dijalankan Pemerintah ini diharap dapat membantu khususnya golongan wanita.

Cik Rahayu menarik perhatian betapa satu tinjauan terkini ke atas 2,000 orang mendapati para penjaga memang memerlukan lebih banyak sokongan dan ramai dalam kalangan mereka adalah kaum Hawa.

Yang memprihatinkan adalah, tuntutan seperti ini boleh menghambat mereka daripada mengejar aspirasi masing-masing.

"Daripada tinjauan itu kita dapat lihat kemungkinan wanita melakukan tanggung jawab di rumah adalah lima kali lebih tinggi daripada lelaki. (Wanita juga) empat kali lebih berkemungkinan daripada lelaki untuk meninggalkan kerjaya mereka kerana ingin menjaga keluarga.

"Jadi ini menunjukkan bagaimana tugasan menjaga keluarga itu diletakkan amat berat sekali kepada wanita," kongsi Cik Rahayu.

Tanggungjawab dalam keluarga seharusnya boleh digalas bersama-sama, kata beliau sambil menambah, sememangnya ada juga kaum Adam yang tampil untuk memainkan peranan.

(Gambar fail: Try Sutrisno Foo)

Namun ada satu lagi hambatan, iaitu persepsi tentang siapa yang seharusnya menjaga orang tua atau anak. Masalah ini dikongsi sendiri oleh para peserta lelaki dalam Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura.

"Mereka menceritakan tentang bagaimana kadangkala mereka juga (berdepan) cabaran kerana adanya persepsi masyarakat ataupun majikan tentang tugasan. Misalnya kalau seorang ayah itu kalau nak mengambil cuti apabila isterinya bersalin, kalau nak ambil cuti banyak-banyak rasanya macam bersalah begitu. Jadi masyarakat juga harus memberikan sokongan untuk lelaki mengambil atau menggalas tanggungjawab itu," tambah Cik Rahayu.

Di sinilah, wanita juga boleh ikut serta membanteras stereotaip seperti ini, kata beliau lagi.

PM Lee semalam (18 Sep) sudahpun berikrar sebuah Kertas Putih mengenai isu-isu wanita akan dibentangkan di Parlimen tahun depan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan