Skip to main content

Singapura

Usaha baik pulih, pembinaan susuli tanah runtuh Clementi 'mungkin ambil masa beberapa bulan'

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha baik pulih, pembinaan susuli tanah runtuh Clementi 'mungkin ambil masa beberapa bulan'

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 05 Sep 2022 09:08AM
SINGAPURA: Usaha pemulihan dan pembinaan untuk membaiki kerosakan akibat tanah runtuh di Clementi "mungkin akan ambil masa beberapa bulan," kata Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee pada Ahad (4 Sep).

Ini termasuk mengalihkan tanah yang berada di Sungei Ulu Pandan, membaik pulih bahagian yang rosak pada penghubung taman Ulu Pandan dan membina semula cerun dan tembok penahan di tapak tersebut, tulis beliau dalam catatan Facebooknya.
Encik Lee berkata beliau sudah melawat tapak itu bersama Menteri Negara Kanan Kementerian Pembangunan Negara, Sim Ann, pada Ahad petang (4 Sep).

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Lembaga Taman Negara (NParks) dan agensi air negara PUB "bekerja sepanjang masa" pada hujung minggu "untuk segera menjalankan kerja-kerja baik pulih dan penstabilan cerun", kata Encik Lee.

"HDB dan kontraktor sudah meletakkan lapisan tipis konkrit untuk membantu menstabilkan cerun dan mewujudkan saluran untuk membolehkan pengaliran air melalui terusan untuk mengurangkan sebarang risiko banjir," tambah beliau.

Encik Lee berkata lebih banyak langkah tetap akan diambil untuk menstabilkan cerun sedang dijalankan. Ia diikuti dengan "usaha pemulihan dan pembinaan utama, yang mungkin mengambil masa beberapa bulan".
Para jurutera dari Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bersama dengan Orang Berkelayakan (Qualified Person) bagi projek tersebut - sama ada seorang arkitek atau jurutera - mengesahkan bahawa bangunan-bangunan yang terletak berdekatan kekal kukuh dari segi struktur," kata Encik Lee.

Beliau menambah BCA, HDB dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat punca kejadian.

"Dalam pada itu, keselamatan tetap menjadi keutamaan kami. Kami akan terus menyemak bacaan peralatan yang digunakan di dalam dan sekitar tapak itu untuk memantau keselamatan struktur dengan teliti sepanjang keseluruhan proses membaik pulih," kata beliau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita