Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usah lupa pengajaran sewaktu pandemik: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedang negara mula melangkah ke arah keadaan hidup bersama COVID-19, pengajaran yang ditimba semasa pandemik tidak harus dilupakan.

Demikian nasihat Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli semasa berucap di majlis berbuka puasa di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) pada Jumaat malam (8 April).

Menurut beliau, banyak penyesuaian dalam kehidupan seharian terpaksa dilakukan demi kemaslahatan orang-orang yang disayangi.

"Wabak ini telah banyak mengajar kita untuk membuat penyesuaian dalam kehidupan seharian kita demi memastikan keselamatan orang-orang yang kita sayangi. Penyesuaian serta perubahan yang kita lalui boleh dianggap sebagai suatu penghijrahan. Bukan sahaja dari segi pemindahan fizikal, juga penghijrahan minda dan amalan," kata Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Ramadan ini lebih istimewa dan lebih bermakna bagi RKM.

Majlis berbuka puasa tersebut adalah yang pertama diadakan secara fizikal sejak ia berpindah ke premis barunya di Elias Road pada Jun tahun lalu selepas 10 tahun di Bedok North.

Encik Masagos berkata beliau gembira dengan premis baru RKM sekitar 3,500 kaki persegi di persisiran pantai Pasir Ris.

"Saya juga difahamkan bahawa model penjagaan anak-anak telah dipertingkat untuk memberi lebih tumpuan kepada kes-kes yang memerlukan perhatian sewajarnya, khususnya yang berlatarbelakangkan trauma."

Encik Masagos sempat beramah mesra dengan para pegawai dan penghuni RKM sebelum dibawa melihat-lihat beberapa kemudahan seperti kediaman para penghuni, Hab Pembelajaran dan juga Galeri Seni.

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan