Skip to main content

Singapura

Urusan kemasukan ke politeknik, JC, ITE digabung jadi satu proses tunggal mulai 2028

Tiga urusan kemasukan berasingan akan digabungkan menjadi satu mulai 2028, sekali gus mengubah cara para pelajar memohon kemasukan ke institusi pos-menengah, umum Kementerian Pendidikan (MOE) pada Selasa (3 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:
Urusan kemasukan ke politeknik, JC, ITE digabung jadi satu proses tunggal mulai 2028

Pelajar di Singapura menerima keputusan peperiksaan. (Gambar fail: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 03 Mar 2026 02:02PM Dikemas Kini : 03 Mar 2026 02:03PM
SINGAPURA: Tiga urusan kemasukan berasingan akan digabungkan menjadi satu mulai 2028, sekali gus mengubah cara para pelajar memohon kemasukan ke institusi pos-menengah, umum Kementerian Pendidikan (MOE) pada Selasa (3 Mac).

Urusan kemasukan tunggal itu akan merangkumi semua laluan pos-menengah termasuk maktab rendah (JC), Institut Millennia (MI), politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Perubahan itu dilaksanakan supaya ia dilakukan serentak dengan kohort pertama pelajar di bawah skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) yang menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Menengah (SEC) Singapura-Cambridge pada 2027.

Para pelajar itu akan menjadi kohort pertama yang membuat pendaftaran kemasukan di bawah proses baharu tersebut pada Januari 2028.

Urusan Kemasukan Pos- Menengah (PSE) yang baharu akan menggabungkan Urusan Kemasukan Bersama (JAE), Urusan Kemasukan Program Asas Politeknik dan Urusan Kemasukan Bersama ITE yang kini dijalankan pada waktu berbeza sepanjang tahun.

Laluan urusan kemasukan lain - seperti Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) ke maktab rendah dan urusan kemasukan awal ke politeknik dan ITE, yang biasanya diadakan sebelum peperiksaan SEC - kekal tidak berubah.

Setiap laluan pendidikan itu kini mempunyai portal permohonan dan garis masa yang berbeza, menurut Menteri Negara Kanan Pendidikan David Neo di Parlimen pada Selasa (3 Mac).

"Oleh demikian, para pelajar perlu memantau beberapa proses permohonan dan garis masa, yang boleh menimbulkan lebih banyak ketidakpastian mengenai pilihan sekolah mereka," katanya.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI

Para pelajar akan menerima keputusan SEC pada Januari, di mana selepas itu tempoh permohonan selama enam hari akan dibuka.

Portal PSE yang boleh diakses melalui Singpass, membolehkan para pelajar untuk menghantar sehingga 12 kursus pilihan di beberapa institusi, yang disusun mengikut pilihan masing-masing.

Keputusan pendaftaran kemasukan akan diumumkan menjelang awal Februari.

Para pelajar yang diterima masuk ke JC atau MI akan melaporkan ke sekolah baharu masing-masing pada hari persekolahan seterusnya, manakala mereka yang diterima masuk ke politeknik dan ITE akan berbuat demikian pada April.

Apabila pelajar dengan skor agregat bersih yang sama bersaing bagi tempat terakhir dalam sesebuah kursus, pematah seri berikut akan digunakan mengikut urutan: kerakyatan, susunan pilihan, skor agregat kasar dan pengundian berkomputer.

Skor agregat kasar merujuk kepada skor pelajar sebelum sebarang mata bonus dipotong.

Di bawah Urusan Kemasukan Bersama (JAE), mata bonus yang diperolehi menerusi pencapaian CCA, program-program bahasa atau gabungan sekolah akan dipotong daripada skor kasar pelajar untuk meraih skor bersih mereka.

Dengan mengambil kira urutan pilihan sebagai pematah seri, MOE menyatakan ia berharap dapat menggalakkan para pelajar supaya berfikir dengan lebih berhemah mengenai pilihan mereka.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita