Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Urus niaga pengurup wang SG makin rancak selepas sempadan dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beberapa perniagaan pengurup wang di Singapura sedang menikmati urus niaga 80 peratus lebih tinggi semasa musim perayaan ini berbanding tahun lalu.

Ia hasil perjalanan udara yang semakin beransur pulih selepas pembukaan semula sempadan.

Namun, pengurup wang juga mengambil kira kos operasi yang lebih tinggi sedang masalah buruh terus mencengkam.

Di kedai Encik Syed Habeeb misalnya, ramai orang kelihatan sedang beratur untuk menukar kepada mata wang asing buat percutian mereka.

Mata wang seperti ringgit Malaysia, baht Thailand dan rupiah Indonesia mendapat permintaan tinggi.

Permintaan bagi lira Turki dan dirham Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut meningkat kerana semakin ramai rakyat Singapura menimbangkan destinasi-destinasi eksotik sedemikian.

PEMBUKAAN SEMULA SEMPADAN

"Ia amat melegakan bagi kami berbanding dua tahun yang lalu. Tahun lepas, terdapat banyak sekatan perjalanan," kata Encik Syed Habeeb, pengarah NewsCrest Exchange dan naib presiden Persatuan Pengurup Wang.

"Selepas April tahun ini, pemerintah menarik balik sebahagian besar sekatan dan ramai orang sudah mula melakukan perjalanan.

"Ia sangat memberangsangkan sekarang. Bagi November dan Disember, ia adalah cuti panjang dan cuti sekolah, jadi ramai orang melancong."

Kedai beliau juga menerima jumlah pelancong yang ramai termasuk warga Indonesia dan India sedang permintaan perjalanan global semakin meningkat.

Namun kedainya belum lagi kembali ke tahap sebelum pandemik.

Para pelancong membentuk sekitar 20 peratus daripada pelanggannya.

Sepanjang tempoh yang sama pada tahun lalu, hampir kesemua pelanggannya adalah penduduk Singapura.

Persatuan Pengurup Wang menyatakan sekitar 20 peratus pengurup wang di Singapura atau sekitar 50 kedai menghentikan operasi perniagaan mereka semasa kemuncak pandemik COVID-19.

Namun, keadaan kini sudah bertambah baik.

MASIH PRIHATIN

15 kedai sudahpun menyambung semula operasi dalam masa tiga bulan yang lalu manakala lagi 25 dijangka akan dibuka semula dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Sungguhpun demikian, Encik Habeeb masih bimbang kerana ekonomi diramal meleset dan gelombang baru COVID-19 di China akan menjejas pendapatannya.

Tambahan pula, kos sewa yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja masih menjadi keprihatinan utama.

Clifford Gems and Money Exchange misalnya, pernah menggajikan seramai 15 kakitangan sebelum pandemik.

Sekarang, jumlah kakitangannya sudah dikurangkan kepada sembilan orang dan syarikat itu sedang bergelut untuk mencari pekerja.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan