Urus niaga flat jualan semula HDB naik 19% pada suku ketiga; harga kekal mendatar
Jumlah urus niaga flat jualan semula meningkat hampir 19 peratus pada suku ketiga tahun ini, sedang harga terus mendatar.
(Gambar Fail: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Jumlah urus niaga flat jualan semula meningkat hampir 19 peratus pada suku ketiga tahun ini, sedang harga terus mendatar. Demikian menurut perangkaan yang dikeluarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (26 Okt).
Urus niaga jualan semula melonjak 18.9 peratus, dari 5,941 kes pada suku kedua kepada 7,063 kes bagi tempoh antara Julai hingga September. Berbanding setahun lalu, urus niaga flat jualan semula pada suku ketiga adalah 21.6 peratus lebih tinggi.
Indeks harga jualan semula susut sebanyak 0.1 peratus dari 131.7 pada suku kedua kepada 131.6 pada suku ketiga.
Harga flat jualan semula HDB sudah merosot sejak tahun lalu. Harga jualan semula susut 0.7 peratus pada suku ketiga pada 2017 dan 0.8 peratus pada suku pertama tahun ini, meskipun ia naik 0.1 peratus pada suku kedua.
3,800 FLAT BTO DITAWARKAN
HDB turut mengumumkan ia akan menawarkan 3,800 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Sembawang, Sengkang, Tampines, Tengah dan Yishun.
Mereka yang menempah flat di Sembawang, Sengkang dan Yishun akan dapat menikmati tempoh menunggu yang lebih singkat, selama dua tahun setengah, berbanding tiga hingga empat tahun sebelum ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.