Urus niaga flat jualan semula HDB naik 10.7% pada suku ke-3

(Gambar: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Urus niaga bagi flat-flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat 10.7 peratus pada suku ketiga 2022.
Perangkaan tersebut didedahkan oleh HDB pada Jumaat (28 Okt).
Pada suku ketiga 2022, sebanyak 7,546 urus niaga bertukar tangan berbanding 6,819 pada suku kedua.
Harga flat jualan semula HDB meningkat 2.6 peratus berbanding suku kedua, tinggi sedikit jika dibandingkan dengan 2.4 peratus yang diunjurkan oleh HDB pada awal bulan ini.
Indeks harga jualan semula, yang secara amnya menyediakan maklumat mengenai naik turun harga dalam pasaran jualan semula bagi perumahan awam, adalah 168.1 pada suku ketiga berbanding 163.9 pada suku sebelumnya.
Ini sekali gus menandakan pertumbuhan 10 suku berturut-turut pada indeks harga jualan semula.
Dalam kenyataan medianya, HDB juga menarik perhatian bahawa perangkaan jualan semula terkini turut mencerminkan keadaan pasaran sebelum langkah-langkah bagi meredakan pasaran hartanah dikuatkuasakan pada bulan lalu.
Menurut HDB, ia akan terus memantau pasaran jualan semula dengan teliti bagi memastikan perumahan awam kekal dimampui dan boleh diakses oleh rakyat Singapura.
Berdasarkan jenis flat, unit-unit 4 bilik adalah yang paling popular bagi pasaran jualan semula, dengan seramai 3,147 pemohon dicatatkan pada suku ketiga.
Ia kemudian disusuli oleh flat-flat 5 bilik dengan 1,913 permohonan dan 1,790 permohonan bagi flat-flat 3 bilik.
Harga jualan semula median tertinggi bagi flat-flat 4 bilik adalah S$860,000 di Queenstown, manakala yang paling rendah adalah pada harga S$460,000 di Jurong East.
Queenstown juga mencatatkan harga jualan semula median tertinggi bagi flat 5 bilik iaitu pada harga S$894,000.
Bagi pasaran sewa pula, HDB meluluskan sebanyak 8,192 permohonan pada suku ketiga berbanding 9,309 permohonan pada suku sebelumnya.
Menurut data HDB, jumlah permohonan yang diluluskan pada suku ketiga tahun ini adalah 21.4 peratus lebih rendah berbanding suku yang sama setahun lalu.
Pada penghujung suku ketiga 2022, sebanyak 56,372 flat HDB disewakan, naik 0.6 peratus berbanding suku kedua yang mencatatkan 56,014 unit.
Pada bulan depan, HDB akan menawarkan sekitar 9,500 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan-kawasan seperti Bukit Batok, Kallang Whampoa, Queenstown, Tengah dan Yishun.
Sekitar 2,900 hingga 3,900 flat BTO akan ditawarkan di bandar-bandar dan estet-estet seperti Kallang Whampoa, Queenstown dan Tengah pada Februari tahun depan.
Jumlah tersebut bagaimanapun mungkin berubah apabila lebih banyak projek dimuktamadkan lebih dekat dengan tarikh pelancarannya, menurut HDB, sambil mendedahkan bahawa sehingga 23,000 flat BTO akan dilancarkan pada tahun depan.
HDB turut menekankan bahawa ia bersedia untuk melancarkan sehingga 100,000 flat secara keseluruhannya dari tahun 2021 hingga 2025 jika perlu dan bergantung kepada permintaan semasa.
HDB menambah ia akan terus memantau permintaan perumahan dan menyesuaikan rancangannya jika perlu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.