Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Urus niaga flat jualan semula HDB menguncup 7% pada suku pertama

Jumlah urus niaga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) merosot pada suku pertama tahun ini di tengah-tengah penularan COVID-19, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat (24 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Urus niaga flat jualan semula HDB menguncup 7% pada suku pertama

Gambar hiasan. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 24 Apr 2020 02:07PM Dikemas Kini : 24 Apr 2020 02:14PM

SINGAPURA: Jumlah urus niaga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) merosot pada suku pertama tahun ini di tengah-tengah penularan COVID-19, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat (24 Apr).

Sejumlah 5,893 flat dijual pada tempoh antara Januari dengan Mac, iaitu kemerosotan 7 peratus berbanding 6,339 flat yang dijual pada suku keempat tahun lalu.

Bagaimanapun berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, jumlah urus niaga meningkat 21.9 peratus, menurut data HDB.

Harga kekal stabil, dengan indeks harga jualan semula - yang menyediakan maklumat tentang pergerakan harga dalam pasaran perumahan awam jualan semula - kekal tidak berubah dari suku sebelumnya pada 131.5.

Data HDB juga menunjukkan bahawa jumlah flat yang disewakan merosot 4 peratus dari 12,079 pada suku keempat kepada 11,591 pada suku pertama. Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, jumlah flat yang disewakan menguncup 1.6 peratus.

Setakat 31 Mac, 57,652 flat disewakan, meningkat 0.7 peratus berbanding suku sebelumnya.

HDB juga menyatakan bahawa pelancaran flat-flat baru yang dijadualkan pada Mei akan ditangguhkan sehingga pemberitahuan kelak, sejajar tempoh "pemutus rantaian" yang dilanjutkan hingga 1 Jun.

TEKANAN HARGA JIKA COVID-19 BERTERUSAN: PENGANALISIS

Kemerosotan dari suku ke suku dalam urus niaga jualan semula menunjukkan bahawa pandemik COVID-19 dan langkah-langkah pemutus rantaian telah mula menjejas pasaran perumahan awam, kata Cik Christine Sun, ketua kajian dan rundingcara di OrangeTee & Tie.

Dengan tempat-tempat kerja bukan khidmat penting dan sekolah-sekolah ditutup dan orang ramai tidak digalakkan keluar rumah, lawatan tinjau rumah juga dihentikan.

Memandang ke depan, harga-harga flat jualan semula mungkin menguncup jika wabak virus korona berterusan meskipun penjualan mungkin rancak semula apabila langkah jarak selamat dilonggarkan bertahap-tahap, kata Cik Sun.

"Para pembeli yang tulen dan mereka dengan keperluan perumahan mendesak mungkin akan kembali ke pasaran apabila tinjauan flat diteruskan semula," kata Cik Sun.

"Harga dimampui bagi flat-flat HDB mungkin menjadi daya penarik kepada sesetengah pembeli terutamanya mereka yang lebih gemar pilihan perumahan pada harga lebih rendah atau pinjaman perumahan lebih kecil memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang," tambahnya. 

Sumber : CNA/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan