Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Urus niaga flat jualan semula HDB melonjak 19.4% pada suku ketiga, harga cecah paras rekod

Urus niaga flat jualan semula HDB melonjak 19.4 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sebelumnya, menurut perangkaan Lembaga Perumahan dan Pembangunan pada Jumaat (22 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Urus niaga flat jualan semula HDB melonjak 19.4% pada suku ketiga, harga cecah paras rekod

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 11:08AM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 11:15AM

SINGAPURA: Urus niaga flat jualan semula HDB melonjak 19.4 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sebelumnya, menurut perangkaan Lembaga Perumahan dan Pembangunan pada Jumaat (22 Okt).

Antara Julai hingga September, 8,433 flat bertukar tangan berbanding 7,063 permohonan pada suku kedua.

Harga jualan semula pada suku ketiga juga meningkat, tumbuh 2.9 peratus berbanding suku kedua. Ia tinggi sedikit berbanding kenaikan 2.7 peratus dalam anggaran awal yang dikeluarkan HDB awal bulan ini.

Indeks harga jualan semula, yang menyediakan maklumat mengenai turun naik harga di pasaran jualan semula perumahan awam, meningkat kepada 150.6 berbanding 146.4, menurut data HDB.

Ia lebih tinggi daripada rekod sebelumnya iaitu 149.4, yang dicatatkan pada suku kedua 2013.

(Sumber: HDB)

(Sumber: HDB)

Permintaan dalam segmen perumahan awam "sangat hangat", kata Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie.

"Penjualan luar biasa telah mendorong harga flat jualan semula ke paras rekod baru pada suku lalu. Harga rumah mencatat rekod ekoran permintaan yang melebihi bekalan di banyak lokasi," tambahnya.

"Tambahan pula, kerancakan pasaran disokong oleh ekonomi yang sedang pulih, kadar gadai janji yang rendah, dan permintaan pembeli baru ekoran kelengahan dalam binaan flat baru BTO (Bina Ikut Tempahan)."

Berdasarkan jenis flat, flat empat bilik terbukti paling popular, dengan 3,593 permohonan penjualan semula dicatat untuk kategori ini pada suku ketiga. Ini diikuti oleh 2,268 permohonan bagi flat lima bilik, dan 1,831 urus niaga bagi flat tiga bilik.

(Sumber: HDB)

(Sumber: HDB)

Di pasaran sewa, HDB meluluskan 10,417 permohonan untuk menyewa flat pada suku ketiga, turun 5.1 peratus daripada 10,979 kes pada suku kedua.

Setakat hujung suku ketiga, terdapat 57,321 flat HDB yang disewakan, susut 0.8 peratus berbanding 57,755 unit pada suku sebelumnya.

"Dengan Singapura membuka semula sempadannya melalui aturan perjalanan bagi pengunjung sudah divaksin (VTL), kita boleh menjangkakan lebih banyak warga Singapura, PR dan warga asing kembali ke sini. Banyak syarikat juga mungkin meningkatkan pengambilan kerja ekspatriat asing, yang akan mendorong permintaan bagi rumah sewa," kata Cik Sun.

HARGA AKAN TERUS MENINGKAT

Pada November, HDB akan menawarkan sekitar 4,400 flat BTO di Choa Chu Kang, Hougang, Jurong West, Kallang Whampoa dan Tengah. Projek-projek tersebut sedang disemak, dan perincian lanjut akan diumumkan kelak.

HDB menyatakan ia berada di landasan yang tepat untuk melancarkan sekitar 17,000 flat BTO tahun ini, lebih tinggi daripada 14,600 dan 16,800 flat yang dilancarkan pada 2019 dan 2020.

Mengambil kira sekitar 5,300 flat dalam Jualan Baki Flat (SBF) dan tempahan terbuka, kesemuanya 22,300 flat akan ditawarkan tahun ini.

"HDB akan terus menambah bekalan flat ke paras yang lebih tinggi, dan melancarkan lebih daripada 17,000 flat pada 2022, untuk memenuhi permintaan yang kukuh," tambahnya.

Ini termasuk sekitar 2,000 hingga 3,000 flat BTO di Geylang, Tengah dan Yishun pada Februari. Bekalan itu mungkin disemak dan lebih banyak butiran akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran, kata HDB.

Memandang ke hadapan, Cik Sun berkata "permintaan pembeli yang kukuh melebihi bekalan" dijangka akan menyebabkan harga terus meningkat, namun pada rentak yang lebih perlahan tahun depan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan