Urus niaga flat HDB naik 30%, harga jualan semula susut sedikit pada suku kedua
Pasaran flat jualan semula HDB kembali rancak pada suku kedua tahun ini dengan jumlah flat yang bertukar tangan naik 29.8 peratus.
(Gambar: Alif Amsyar)
SINGAPURA: Pasaran flat jualan semula HDB kembali rancak pada suku kedua tahun ini dengan jumlah flat yang bertukar tangan naik 29.8 peratus.
Harga flat jualan semula susut sedikit, jatuh 0.2 peratus berbanding suku pertama. Demikian menurut anggaran awal Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Jumaat (26 Jul).
Indeks harga jualan semula - yang menyediakan maklumat tentang turun naik harga dalam pasaran perumahan awam - jatuh dari 131.0 kepada 130.8.
Harga jualan semula flat HDB merosot sejak tiga suku yang lalu. Harga susut 0.1 peratus pada suku ketiga dan 0.2 peratus pada suku keempat tahun lalu. Trend itu berterusan dengan harga jatuh 0.3 peratus pada suku pertama tahun ini.
Antara April hingga Jun tahun ini, jumlah flat jualan semula yang dijual naik lebih 1,400, kepada 6,275 unit dari 4,835 pada suku pertama.
Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, urus niaga jualan semula dalam suku kedua meningkat 5.6 peratus.
HDB akan menawarkan sekitar 3,300 flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di Punggol dan Tampines pada bulan depan. Lagi 4,500 flat BTO akan dilancarkan pada November di Ang Mo Kio, Tampines dan Tengah.
HDB juga akan menawarkan flat di bawah skim Tawaran Semula Baki Flat dan Penjualan Flat Baki pada bulan Ogos dan November.
PASARAN SEWA HDB
Jumlah urus niaga sewa bagi flat HDB naik sebanyak 4.8 peratus dari 11,775 dalam tiga bulan pertama tahun ini kepada 12,335 pada suku kedua.
Berbanding suku yang sama tahun lalu, urus niaga sewa naik sebanyak 2.6 peratus.
Setakat 30 Jun, sebanyak 58,528 flat HDB disewakan, meningkat sebanyak 1.3 peratus berbanding suku sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.