URA, SLA anjur peraduan sumbang idea naik taraf Changi Point; guna semula Hospital Lama Changi
Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Khamis (15 Apr) melancarkan peraduan untuk mendapatkan buah fikiran bagi mempertingkatkan Changi Point.
SINGAPURA: Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Khamis (15 Apr) melancarkan peraduan untuk mendapatkan buah fikiran bagi mempertingkatkan Changi Point.
Peraduan yang diberi nama Charmingly Changi itu mempelawa orang ramai untuk menyumbang idea bagi meningkatkan "daya pesona" dan "ketenangan" kawasan itu, menurut pihak berkuasa.
Sumbangan idea terbaik akan menerima hadiah wang tunai bernilai sehingga S$6,000. SLA dan URA juga akan menggunakan idea dan konsep daripada peraduan itu untuk melakar reka bentuk dan membuat perancangan bagi kawasan itu.
Ruang yang diperuntukkan bagi peraduan itu meliputi kawasan seluas sekitar 42 hektar di Changi Point, dibatasi oleh Loyang Avenue dan Pangkalan Udara Changi (Barat) di bahagian selatannya dan Kelab Golf Changi pada sebelah timur.
Menurut SLA dan URA, kedua-dua pihak juga mempelawa sumbangan idea untuk mengukuhkan ketersambungan dengan kawasan perairan untuk meningkatkan akses orang ramai kepada kawasan tepi pantai dan saranan-saranan untuk memanfaatkan hartanah-hartanah negara seperti Hospital Lama Changi dan bekas bangunan berek tentera di Hendon Road.
“Changi Point adalah sebuah kawasan tepi pantai yang terkenal dengan banglo percutian, deretan chalet yang menghadap laut, kelab sukan dan pelantar laluan kayu dan juga merupakan gerbang ke Pulau Ubin. Dengan dikelilingi oleh pemandangan yang hijau dan subur, ia menjadi tempat rehat yang indah di mana para pencinta alam boleh menikmati daya pesona yang menakjubkan, warisan yang kaya dan banyak ruang riadah yang disediakan di sepanjang laluan tepi pantai,”menurut URA dan SLA.
KAWASAN TEPI PANTAI YANG MEMPESONA
Kawasan tersebut turut terkenal dengan bangunan-bangunan yang dibina oleh para askar British sebagai sebuah pangkalan tentera dari sekitar lewat 1920-an dan ia juga merupakan sebahagian daripada kawasan yang dikenali sebagai 'Greater Rustic Coast', yang merangkumi kawasan kehijauan, warisan dan ruang riadah sepanjang 50 kilometer di bahagian pantai utara Singapura.
Ketua Eksekutif SLA Colin Low berkata terdapat sejumlah bangunan lama pemerintah yang dibina pada lewat 1920-an yang terletak di Changi Point dan ia kini disewakan untuk kegunaan tempat makanan dan minuman, riadah, hotel dan kediaman.
Ketua Pegawai Eksekutif URA Lim Eng Hwee berkata, saranan-saranan daripada orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan akan menjadi "bahan penting" bagi membantu pihak berkuasa untuk melakar dan merealisasikan rancangan yang lebih relevan dan inklusif.
3 HADIAH UTAMA BAGI SETIAP KATEGORI
Peraduan itu yang terbuka untuk individu atau pasukan akan merangkumi dua topik.
Topik pertama adalah "Pelan Induk Konsep bagi Changi Point" di mana para peserta diminta untuk merangka pelan induk konsep untuk dijadikan sebagai panduan untuk menaik taraf Changi Point.
Para peserta mesti menunjukkan "keseimbangan antara usaha untuk mengekalkan ciri-ciri santai" kawasan itu dan pada masa yang sama, menjalankan kerja-kerja naik taraf yang akan meningkatkan daya tarikan Changi Point.
Topik kedua pula adalah untuk "Merangka Tujuan Semula Hospital Lama Changi" untuk mendapatkan idea bagi menggunakan semula tapak bekas hospital itu dan menyuntik nafas baru di samping mengekalkan ciri-ciri seni bina bangunan-bangunan lama di kawasan itu.
Para peserta akan terbahagi kepada dua kategori. Kategori Pengajian Tinggi dibuka kepada para mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan reka bentuk, sementara Kategori Terbuka pula adalah untuk para peserta dari pelbagai latar belakang.
Panel juri bagi peraduan itu terdiri daripada para wakil dari sektor awam dan swasta dari pelbagai disiplin yang berkaitan.
Tiga hadiah utama akan diberikan untuk setiap kategori. Tiga pemenang Kategori Terbuka akan menerima S$6,000, S$4,000 dan S$2,000 sementara para pemenang bagi Kategori Pengajian Tinggi akan masing-masing menerima S$3,000, S$2,000 dan S$ 1,000.
Mereka yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut dan mendaftar untuk peraduan ini secara online. Pendaftaran akan ditutup pada 9 Jun 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.