URA akan menilai semula pendirian terhadap mural Chinatown papar wanita samsui merokok

(Gambar: seanpdunston/Instagram)
SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menilai semula kedudukannya terhadap lukisan mural pada sebuah rumah kedai di Chinatown yang menggambarkan seorang wanita samsui muda yang merokok akibat maklum balas orang ramai, setelah memberi tuan tanah tarikh akhir untuk memadamkan lukisan rokok daripada karya seni tersebut.
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Sabtu (22 Jun), URA menyatakan bahawa kesemua cadangan bagi lukisan mural pada bangunan yang terpelihara perlu dihantarkan kepada kedua-dua pemilik bangunan dan URA untuk mendapatkan kelulusan sebelum dimulakan.
Namun, mural pada rumah kedai yang terpelihara di 297 South Bridge Road itu diselesaikan tanpa kelulusan terlebih dahalu dan URA menyatakan bahawa ia sudahpun memberitahu pemilik bangunan untuk menghantarkan cadangan mural untuk dinilai.
"Selepas konsultasi dengan pihak berkepentingan tempatan dan agensi-agensi yang relevan, cadangan itu tidak disokong kerana gambaran merokok pada mural tanpa kebenaran itu tidak sejajar dengan dasar antimerokok Singapura," menurut URA.
"Berdasarkan maklum balas orang ramai baru-baru ini, URA menilai semula pendiriannya terhadap mural itu."
Pelukis mural itu, Sean Dunston memberitahu Mediacorp bahawa dia berasa gembira URA akan menilai sekali lagi keputusannya, dan dia berharap URA akan membenarkan mural itu dikekalkan.
Perintah awal URA untuk menghilangkan lukisan rokok pada mural itu didedahkan apabila pelukisnya, Sean Dunston, mengetengahkan isu itu di Instagram dua hari lalu, mencetuskan perdebatan dan perbincangan online.
Dalam catatannya, artis itu menulis bahawa dia diberitahu "untuk menghilangkan rokok itu" sebelum 3 Julai dan beliau kini "memikirkan alternatif yang boleh diterima oleh URA."
Beliau juga berkata bahawa beliau diberitahu oleh URA bahawa ia menerima maklum balas oleh seorang anggota masyarakat, yang menyatakan bahawa mural itu "menyinggung perasaan" dan "tidak menghormati" wanita samsui.
Dia turut menyatakan bahawa wanita di dalam lukisan itu "kelihatan lebih seperti pelacur daripada seorang wanita samsui yang rajin".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.