Upin & Ipin berdangdut dalam 'Teater Muzikal Upin & Ipin'; elemen khas bagi edisi S'pura
Dari 'Kampung Durian Runtuh' ke Stadium Tertutup Singapura pula.
SINGAPURA: Dari 'Kampung Durian Runtuh' ke Stadium Tertutup Singapura pula.
Buat pertama kalinya, watak-watak popular animasi 'Upin & Ipin' akan menjelajah ke Singapura untuk sebuah pementasan teater muzikal.
Ini sekali gus menjadikan Singapura sebagai perhentian pertama jelajah muzikal itu di rantau ini.
(FB/Biz Trends Media Pte Ltd)
Menurut pengarahnya, Cik Siti Rohayah Atan, terdapat beberapa elemen baru akan dipersembahkan dalam 'Teater Muzikal Upin & Ipin: Pin Pin Pom!' pada Ahad (18 Dis).
Ini meskipun pementasan itu baru sahaja diadakan di Kuala Lumpur pada 3 dan 4 September lalu.
"Orang KL ada kerugian sikit, sebab di Singapura kita buat sesuatu yang lain. Ada satu, dua babak yang ada perbezaan berbanding dengan pementasan kita September lalu di Dewan Plenary, KLCC," kata Cik Rohayah, yang sudah menjayakan lebih 60 pementasan sepanjang dua dekad.
(Petikan skrin)
Sambil tertawa, beliau berkongsi: "Babak yang tidak ada di Kuala Lumpur, mereka akan berdangdut lagu ‘Goyang Upin & Ipin’."
Sebelum ini, muzikal 'Upin & Ipin' pernah dipentaskan juga pada 2012.
Berlangsung sepanjang sebulan di Istana Budaya, Malaysia, ia terpilih memasuki Buku Rekod Malaysia.
PERSIAPAN SEJAK 2019; LEBIH 50 PESERTA TERLIBAT
Kali ini, teater muzikal mengisahkan pengembaraan pasangan kembar itu untuk menyelamatkan teman-teman mereka daripada si Nenek Kebayan.
Sepanjang satu jam, penonton akan dihiburkan dengan gelagat lucu dan persembahan bertenaga dengan kesan seni visual khas yang bakal ditampilkan.
(FB/Biz Trends Media Pte Ltd)
Persiapan bagi persembahan tersebut bermula sejak 2019, namun jadual persembahan terpaksa ditangguhkan akibat pandemik.
Lebih 50 pelakon dan kru terlibat dalam menjayakan muzikal itu untuk satu pementasan sahaja.
"Kita nak bagi pengalaman yang baru untuk penonton tonton persembahan. Jadi kali ini kita banyak eksperimen dengan banyak genre. Contohnya ada rok, tradisional, dikir barat, dan rap juga tapi lagu itu mesti ada rasa macam satu keluarga boleh nikmati dan yang kita buat itu bukan sahaja pada lagu tetapi lirik itu sendiri. Kita tak nak lirik itu macam cakap kosong. Kita nak bentuk nasihat," kata Pengarah Muzik dan Audio, Encik Mohamad Zaki Ishak.
TEATER MUZIKAL UJI KEBOLEHAN SUARA LATAR, ASYIELA PUTRI
Meskipun sudah 13 tahun menjadi suara latar bagi watak kembar kegemaran ramai itu, cabaran bagi menjayakan muzikal kali ini berbeza bagi Asyiela Putri Azhar.
Selain berlakon, beliau juga menyanyikan kesemua 11 lagu dalam muzikal tersebut.
"Teater 'Upin & Ipin' ini dia pakai maskot. Jadi maskot tak ada reaksi muka sangat. Jadi cabaran untuk rakaman suara itu, Asyiela punya lakonan suara itu kena lebihkan lagi, kena lebih jelas lagi," kata Asyiela, 22 tahun.
(Petikan Skrin)
Memandangkan usianya semakin meningkat, Asyiela akur, beliau harus 'menghaluskan' suaranya supaya dapat terus membawakan watak kanak-kanak lelaki lima tahun itu.
"Kalau Ipin itu dia kecil sedikit. Cara cakap dia macam manja lebih sikit daripada Upin ini. Jadi itulah Asyiela cuba untuk bezakan," tambah Asyiela yang turut berminat mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik.
Selepas Singapura, pihak penerbitan merancang untuk membawa pementasan ini ke Indonesia pula pada tahun hadapan.
Tiket-tiket berharga S$78 dan S$98 masih lagi boleh didapatkan di SISTIC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.