Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Upacara korban di SG di Masjid Petempatan Melayu Sembawang berjalan lancar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meskipun hujan di kawasan utara negara pagi tadi, upacara korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang berjalan lancar hari ini (29 Jun).

Secara keseluruhan, sekitar 300 ekor kambing biri-biri disembelih di masjid tersebut.

Upacara kendalian syarikat Aaliyah's Pte Ltd itu bermula pada 9.30 pagi tadi selepas sesi terakhir solat Aidiladha di Masjid Petempatan Melayu Sembawang.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Untuk memastikan semuanya teratur dan berjalan lancar, para sohibul korban diberi jadual waktu terlebih dahulu untuk datang ke masjid.

Mereka juga akan diberikan tag nombor selepas mendaftar, untuk menanti giliran mereka mengambil daging korban mereka.

Para sohibul juga dibenarkan untuk menyaksikan upacara penyembelihan kambing.

Namun, kaedah digital digunakan kali ini di mana nombor tag mereka akan dipancarkan di skrin, apabila tiba masanya untuk mereka menyaksikan penyembelihan kambing.

Mereka sekaligus juga dapat menyaksikan kali pertama inovasi baru digunakan bagi mempercepatkan lagi proses ibadah korban.

"Kita akan menyembelih sebanyak 300 ekor kambing biri-biri iaitu daripada Australia dan seekor Insha-Allah kita akan memproses dalam insya-Allah hanya dalam 45 minit," kongsi Pengasas Aaliyah's, Encik Rafee Eunos.

"Ini bermaksud daripada proses sembelih sehingga sohibul itu menerima dagingnya, cuma mengambil masa dalam 45 minit," tambahnya.

KEADAAN DAN KESIHATAN KAMBING BIRI-BIRI DIPERIKSA TERLEBIH DAHULU

Dari Kiri: Dr Michael & Encik Rafee. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Dalam masa yang sama, keadaan dan kesihatan kambing itu sudahpun dipantau dari awal pagi itu.

"Saya sudah melakukan pemeriksaan untuk memastikan mereka sihat dan sesuai untuk dikorban," kongsi pegawai kebajikan haiwan itu, Dr Michael Patching.

"Kami ada kotak 'restrain' baru yang kami bina tahun ini, yang baik kerana ia bermakna kami tidak perlu mengangkat kambing ke atas meja, dan ada kekurangan tekanan apabila mereka bergerak. Jadi insya-Allah semuanya berjalan dengan baik dan lancar," tambah beliau.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagaimanapun, jumlah kambing yang diimport untuk korban kali ini lebih sedikit berbanding sebelum pandemik iaitu hanya satu pertiga jumlah pra-pandemik.

Ini dengan lebih ramai memilih untuk mendapatkannya dari Australia kerana kos.

Misalnya, kambing-kambing korban dari Australia yang disembelih di sana berharga S$380 manakala di sini pula, ia boleh mencecah sehingga S$780.

MAHU LIHAT KORBAN DEPAN MATA

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Namun begitu, ada juga keluarga yang masih memilih untuk mendapatkan kambing biri-biri secara fizikal di sini seperti sepasang suami isteri, Cik Nurul Nadia Suranee dan Encik Mohamad Hezal Mohamad Halid.

Kos yang tinggi tidak menjadi penghalang bagi pasangan ini, lebih-lebih lagi kerana ingin merasakan pengalaman baru, menyaksikan sendiri korban yang dilakukan depan mata mereka.

"Kita nak menyaksikan korban secara langsung sebab kita tidak pernah alami benda ini. Jadi untuk pertama kali, kita ingin melihat bagaimana prosesnya secara fizikal," kongsi Cik Nadia, 30 tahun.

"Kami (menempah) penyembelihan satu ekor kambing untuk anak kami, Mohammad Nor Hamzah. Kami jangkakan untuk mendapat 18 sehingga 20 kilogram daging. Kami akan membahagikan kepada saudara-mara, adik-beradik dan ibu bapa kami dan besan-besan kami," tambahnya.
Perasaan gembira turut dirasakan seorang lagi sohibul korban, Encik Husin Shah Latif Shah.

"Alhamdulillah, tahun ini kita dapat melakukan korban di Singapura lagi sekali atas usaha kerajaan kita. Jadi dengan itu, saya mengambil kesempatan untuk menempah dua ekor kambing," kongsinya.

Pernah menyaksikan upacara korban pada tahun-tahun sebelumnya, proses kali ini menurutnya "lebih mudah" daripada apa yang pernah beliau lalui.

"Kita akan mengambil tiga bahagian dan akan kita bagikan kepada saudara mara," tambah Encik Husin.

HAMPIR 1,000 ORANG HADIR DI PETEMPATAN MELAYU SEMBAWANG

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Melihat kemeriahan di masjid itu, pengerusi masjid, Encik Mohd Amin Abdul Latip, melahirkan rasa berbesar hati kerana ibadah korban kembali diadakan secara fizikal di masjid itu.

"Kalau ikutkan keseluruhannya, daripada mula tadi hingga ke petang, tidak kurang daripada 1,000 orang," kongsi Encik Amin apabila ditanya tentang jumlah sohibul korban yang datang bersama keluarga.

"Kita memang rasa berbesar hati yang masjid ini digunakan untuk ibadah korban. Ini bergantung kepada keadaan dan sebagainya daripada apa yang dilakukan hari ini, ia dalam keadaan baik dan sambutan begitu ghairah jadi saya rasa insya-Allah, tahun depan pun kita akan lakukan korban juga," tambahnya.

Secara keseluruhan, sekitar 500 kambing biri-biri akan dikorbankan di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pada hari ini (29 Jun) dan Sabtu (1 Julai) oleh Aaliyah's Pte Ltd.

Syarikat itu juga menguruskan korban 180 kambing dari Hay Dairies di Masjid Al-Firdaus di Choa Chu Kang.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan