Upacara angkat sumpah kabinet PM Wong berlangsung malam ini
Upacara angkat sumpah bagi kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong akan berlangsung di Istana pada Jumaat malam (23 Mei), dengan disaksikan Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Dari kiri: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Pertahanan Chan Chun Sing, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, Perdana Menteri Lawrence Wong, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dan Menteri Negara Jasmin Lau di sidang media pada 21 Mei 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Ini merupakan kabinet pertama PM Wong selepas beliau mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri daripada Encik Lee Hsien Loong tahun lalu.
Kabinet baharu PM Wong menandakan satu rombakan ketara yang merangkumi tiga Menteri Penyelaras dan hanya seorang Timbalan Perdana Menteri.
Mereka akan disertai 15 menteri penuh dan dua pemangku menteri.
Antara mereka termasuk Profesor Faishal Ibrahim yang dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, mengambil alih daripada Encik Masagos Zulkifli yang sudah menggalas tanggungjawab tersebut selama sekitar 7 tahun.
Profesor Faishal juga merupakan antara 12 Menteri Negara Kanan yang akan mengangkat sumpah pada Jumaat malam.
PM Wong turut melantik sembilan pemegang jawatan politik baharu, termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim yang akan menyandang jawatan sebagai Menteri Negara bagi Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Seorang lagi pemegang jawatan politik baharu ialah Dr Syed Harun Alhabsyi yang akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Negara merangkap Pendidikan.
Upacara angkat sumpah bagi kabinet baharu pimpinan PM Wong berlangsung kurang tiga minggu selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangan besar dengan lebih 65 peratus undi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.