Upacara Angkat Sumpah 2024: Ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam bahasa Melayu
Perdana Menteri Lawrence memulakan ucapannya dalam bahasa Melayu di mana beliau mengajak rakyat supaya bersatu hati untuk sama-sama melakar masa hadapan baharu yang lebih cerah lagi.

Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana pada 15 Mei, 2024. (Gambar: CNA/Sutrisno Abdul Rahman)
SINGAPURA: Satu era baharu bermula bagi Singapura setelah Encik Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada Rabu (15 Mei) bersama-sama dengan barisan Kabinet baharunya di Istana.
Dalam ucapan sulungnya sebagai ketua pemerintah, Encik Wong bercakap tentang bagaimana beliau dan pasukannya akan "memimpin dengan cara kita sendiri", dalam gaya yang berbeza daripada generasi sebelumnya.
PM Wong juga memberi penghormatan kepada pemimpin terdahulu - Encik Lee Kuan Yew, Encik Goh Chok Tong dan Encik Lee Hsien Loong - mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menyediakan asas di mana pasukannya akan menulis bab seterusnya dalam Kisah Singapura. Encik Wong menggesa rakyat Singapura supaya bekerjasama dengannya dalam membina sebuah Singapura di mana semua orang adalah penting - tanpa mengira titik permulaan mereka dalam kehidupan, umur atau keupayaan.
PM Wong berucap dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris.
Berikut ucapan beliau dalam bahasa Melayu.
Saudara saudari sekalian, malam ini saya mengambil alih sebagai Perdana Menteri daripada Encik Lee.
Saya berasa rendah diri dan berbesar hati kerana diamanahkan dengan tanggungjawa ini.
Saya berikrar untuk berkhidmat sebaik mungkin bagi semua rakyat Singapura.
Kita hidup dalam dunia yang sering bergelora dan tidak menentu. Walaupun masa hadapan semakin mencabar, terdapat juga banyak peluang baharu.
Sebagai rakyat yang bersatu-padu, saya yakin kita boleh merebut peluang-peluang tersebut demi membina Singapura yang lebih baik.
Sebagai Perdana Menteri, saya akan turun padang mendekati rakyat, dan bekerja keras untuk memperbaiki mutu kehidupan anda.
Ayuh, kita berganding bahu, dan bersatu hati untuk sama-sama melakar masa hadapan baharu yang lebih cerah bagi semua.
Terima kasih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.