Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

UOB naikkan kadar faedah bagi simpanan tetap setinggi 3%

Anggaran Waktu Membaca:
UOB naikkan kadar faedah bagi simpanan tetap setinggi 3%

Cawangan UOB di Singapura. (Gambar fail: Nurfarahhin)

SINGAPURA: United Overseas Bank (UOB) pada Isnin (3 Okt) naikkan kadar faedah promosi bagi akaun simpanan tetap dolar Singapura kepada setinggi 3 peratus setiap tahun untuk tempoh 15 bulan.

Kadar itu lebih tinggi berbanding kadar promosi bulan lalu sebanyak 2.8 peratus.

Bank ketiga terbesar di Singapura itu juga menawarkan kadar lebih tinggi sebanyak 2.9 peratus bagi simpanan tetap 12 bulan, naik daripada 2.6 peratus.

Kadar promosi 10 bulannya kini sebanyak 2.8 peratus, naik daripada 2.4 peratus sebelumnya.

Pelanggan perlu memasukkan deposit baru sekurang-kurangnya S$20,000 untuk menikmati kadar promosi terbaru itu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, bank di Singapura menawarkan kadar faedah bagi simpanan tetap yang menarik apabila bank pusat merata dunia menaikkan kadar faedah masing-masing.

Langkah terbaru UOB itu bermakna kadar faedah ke atas simpanan tetap bagi tempoh 12 bulan mencecah paras tertinggi dalam hampir 24 tahun.

Kali terakhir kadar faedah bagi simpanan tetap 12 bulan melebihi 2.9 peratus – iaitu kadar promosi UOB sekarang ini – ialah pada November 1998, apabila kadar ditawarkan ketika itu ialah 3.11 peratus, menurut data daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Pada bulan yang sama kadar faedah simpanan bagi tempoh tiga bulan dan enam bulan masing-masing mencapai 2.95 peratus dan 3.05 peratus.

Sepanjang 20 tahun lalu, kadar simpanan tetap di Singapura adalah di bawah 1 peratus.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan