Skip to main content

Singapura

UOB akan potong kadar faedah maksimum bagi akaun simpanan utama mulai 1 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: UOB akan mengurangkan kadar faedah bagi akaun simpanan utamanya mulai 1 Mei. Ia sekali gus menjadikan UOB bank tempatan yang pertama untuk melakukan demikian sedang jangkaan pasaran kian meningkat tentang kemungkinan bank pusat Amerika Syarikat memotong kadar faedah pada bulan-bulan akan datang.

Dalam surat kepada pelanggannya pada Isnin (1 Apr), semakan semula kadar faedah bagi Akaun UOB One dilakukan "agar sejajar dengan jangkaan persekitaran kadar faedah jangka panjang".

Seperti akaun simpanan utama yang ditawarkan DBS dan OCBC, akaun One UOB menyediakan kadar faedah berperingkat yang naik apabila pelanggan menambah jumlah simpanan mereka atau perbelanjaan minimum pada kad tertentu dan transaksi lain dengan bank tersebut seperti pinjaman gadai janji.

Pada hujung 2022, bank setempat secara agresif menaikkan kadar faedah bagi akaun simpananu tama mereka di tengah-tengah persekitaran kadar yang meningkat, dengan UOB menawarkan kadar faedah maksiumum paling tinggi sebanyak 7.8 peratus.

Dengan langkah terbaharunya, kadar faedah berperingkat bagi pemegang akaun One UOB dengan jumlah simpanan sekurang-kurangnya S$100,000, memasukkan gaji mereka ke dalam bank itu dan memenuhi perbelanjaan minimum S$500 sebulan pada kad bank yang layak adalah antara 3 peratus hingga 4.5 peratus setahun.

Ia turun daripada sekitar 3.85 peratus hingga 7.8 peratus sekarang ini.

UOB juga memperkenalkan dua peringkat baharu bagi akaun tersebut, meskipun pemegang akaun perlu mempunyai jumlah simpanan melebihi S$100,000 untuk layak. Mereka juga perlu memenuhi kriteria gaji dan perbelanjaan yang sama.

Simpanan antara S$125,000 hingga S$150,000 akan memperoleh kadar faedah bonus maksimum sebanyak 6 peratus setahun, naik daripada 0.05 peratus sekarang.

"Dengan perubahan ini, anda kini boleh memperoleh jumlah faedah sehingga S$6,000 dalam setahun untuk deposit sebanyak S$150,000 apabila anda membelanjakan sekurang-kurangnya S$500 untuk Kad UOB yang layak dan mengkreditkan gaji anda melalui GIRO/PayNow setiap bulan kalendar," menurut UOB.

Buat masa ini, OCBC membayar maksimum 7.65 peratus setahun untuk akaun simpanan 360, manakala kadar tertinggi bagi akaun Multiplier DBS ialah 4.1 peratus setahun.

Mediacorp sudahpun menghubungi DBS dan OCBC untuk bertanya sama ada pihaknya akan menyemak semula kadar faedah mereka.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita